ANAK-anak muda sememangnya terkenal dengan idea segarnya, semangatnya dan tenaganya.

Golongan ini perlu diberi perhatian demi menjamin mada depan umat dan negara.

Jika disingkap semula sejarah perjuangan agama Islam, pemuda merupakan antara tonggak utama yang menerajui pasukan tentera dan ilmuwan.

Sumbangan anak-anak muda begitu signifikan terhadap pembangunan umat Islam dan tamadun kemanusiaan.

Satu ungkapan yang cukup istimewa bagi mengiyakan betapa besarnya peranan anak muda ialah, “Jika mahu melihat masa depan negara, lihatlah pemuda dan pemudinya pada hari ini.”

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, ada beberapa kejadian telah berlaku yang menggambarkan komitmen dari golongan anak-anak muda.

Banyak demonstrasi jalanan diadakan yang banyak melibatkan penyertaan dari orang muda seperti demonstrasi Bantah GST dan Bersih.

Penulis merasakan demonstrasi-demonstrasi berkenaan tidak mungkin berlaku sekiranya tiada komitmen dari golongan anak-anak muda.

Bukan itu sahaja, banyak perkara yang telah diperjuangankan oleh gerakan-gerakan yang terdiri daripada anak-anak muda.

Pemboikotan rejim Zionis, kebebasan akademik, Perjanjian Transpacific Partnership (TPP) dan Pengajaran dan Pebelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) antara isu yang diperjuangkan oleh mereka.

Para pemimpin negara seharusnya berterima kasih kepada mereka kerana begitu komited terhadap pembangunan negara.

Dalam kehangatan perjuangan ini, ada beberapa perkara yang perlu diambil kira oleh anak-anak muda  tidak kira yang sedang aktif, yang baru sahaja nak sertai mahupun yang kurang ambil peduli  mengenai dua perkara, iaitu ilmu dan adab.

Semangat anak-anak muda yang cepat membara sifatnya seharusnya disulami dengan kedua-dua perkara tersebut agar perjuangan tidak disandarkan hanya semangat dan ikutan semata-mata.

Ilmu Pengetahuan

Anak-anak muda perlu mengetahui sekurang-kurangnya tujuan mereka berjuang dan memahami tentang perkara asas isu yang diperjuangkan.

Matlamat perjuangan anak-anak muda tidak boleh semata-mata sekadar ikutan atau mempunyai kepentingan peribadi.

Perjuangan haruslah mempunyai visi yang jelas iaitu mencapai keredhaan ALLAH serta demi kepentingan rakyat.

Seterusnya anak-anak muda harus tahu tentang ilmu asas isu yang diperjuangkan.

Jika mereka mahu membantah pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), mereka perlu memahami apa itu GST (bukan sekadar makna literal GST) dengan mendapatkan sumber-sumber yang pelbagai bagi membantu mereka menilai GST dengan baik.

Sebaik-baik perjuangan ialah menuntut ilmu sehingga menjadi pakar dalam setiap bidang yang diceburi.

Kita amat memerlukan pakar-pakar dari anak-anak muda untuk membantu dalam membangunkan tamadun kemanusiaan dan mencapai status umat yang cemerlang.

Adab

Selain ilmu pengetahuan, anak-anak muda seharusnya menjaga adab dan menanamkan nilai-nilai Islami dalam diri mereka supaya mereka dapat membataskan diri mereka daripada memperjuangkan sesuatu perkara dengan mengikut hawa nafsu.

Banyak kerosakan boleh berlaku sekiranya perjuangan mereka kerana terikut-ikut dengan hawa nafsu dan emosi.

Prof. Syed Naquib Al-Attas antara ilmuwan yang banyak membicarakan tentang soal adab dan beliau pernah menyatakan bahawa adab akan membawa pada keadilan.

Nasihat-nasihat daripada orang yang lebih dewasa harus didengari oleh anak-anak muda kerana mereka mempunyai pengalaman yang mana pengalaman-pengalam tersebut bisa menjadi pengajaran yang penting untuk membimbing perjuangan anak-anak muda.

Dr Siddiq Fadzil pernah menyatakan bahawa orang tua kaya dengan pengalamannya dan orang muda kaya dengan cita-citanya.

Maka, golongan tua seharusnya menjadi rujukan oleh golongan anak-anak supaya dapat memandu perjuangan mereka ke arah yang betul.

Penulis begitu merisaukan dengan sebahagian anak-anak muda yang sukar untuk mendengar nasihat-nasihat dari orang yang lebih tua kerana merasakan diri mereka sahaja yang betul.

Hal ini akan menyebabkan perjuangan mereka menjadi berisiko untuk tersasar daripada matlamat yang sebenar.

Sekiranya anak-anak muda mahukan suara mereka didengari, mereka harus belajar untuk mendengar suara orang lain terlebih dahulu.

Sikap rendah diri merupakan kunci untuk merendahkan keegoan dalam diri mereka.

Kedua-dua golongan ini iaitu golongan tua dan muda perlu diharmonikan kerana partisipasi dari mereka amat diperlukan dalam proses pembangunan masyarakat dan negara.

Sememangnya adab antara ciri-ciri utama untuk menjaga keamanan dan keharmonian masyarakat.

Kesimpulannya, ilmu , adab dan semangat perlu ada dalam diri anak-anak muda.

Ilmu pengetahuan dapat membantu mereka untuk menilai mana yang baik dan buruk serta dimanfaatkan untuk tujuan pembangunan.

Adab untuk membantu mereka menjadi insan yang berakhlak mulia serta tidak lari dari matlamat sebenar perjuangan dan semangat yang positif yang dibatasi dengan adab dan ilmu pengetahuan.


Muhammad Adam Roslan,
Pelajar Jurusan Sarjana Muda Perakaunan,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia