APA itu patriotisme? Bagi sesetengah pihak, patriotisme itu mengagungkan lambang-lambang kebangsaan. Patriotisme itu memasang bendera pada bumbung kereta, berdiri tegak semasa lagu kebangsaan dimainkan dan berikrar untuk taat setia kepada negara.

Apabila seseorang itu tidak menzahirkan patriotisme mereka melalui simbol-simbol negara seperti bendera, lagu dan logo, maka orang itu dituduh sebagai tidak patriotik dan tidak cinta kepada negara. Terlalu mudah untuk kita membuat kesimpulan tentang patriotisme seseorang hanya dengan merujuk kepada sama ada orang itu mengibarkan bendera atau menyanyikan lagu.

Patriotisme adalah jauh lebih kompleks. Teras kepada patriotisme adalah perasaan cinta kepada negara.

Dan perasaan cinta kepada negara ini lahir daripada perasaan cinta kepada rakyat di dalam negara ini. Tanpa perasaan cinta kepada warganegara, sukar untuk lahir sebuah perasaan cinta kepada negara.
Salah satu manifestasi patriotisme adalah melalui tentangan yang sah (legitimate dissent). Bukan menentang negara itu sendiri, tetapi menentang apa dibuat oleh mereka yang berkuasa atas nama negara.
Ada yang percaya bahawa patriotisme itu bermaksud tidak mempersoalkan langkah kerajaan kerana bagi mereka, tanggungjawab seseorang warganegara itu adalah untuk taat dan setia kepada kerajaan. Maka apabila apa yang dibuat atas nama negara itu dipersoalkan, ia seperti mempersoalkan negara itu sendiri.
Ini tanggapan yang salah tentang patriotisme dan konsep taat setia.
Tentangan yang sah adalah satu bentuk patriotisme yang jauh lebih murni daripada patriotisme yang mengagungkan simbol-simbol kenegaraan. Ini kerana, tentangan yang sah, termasuklah mempersoalkan langkah diambil oleh negara dan menentang undang-undang tidak adil, lahir daripada rasa tanggungjawab seseorang itu terhadap negara dan warganya.
Bekas Presiden Amerika Syarikat, Theodore Roosevelt pernah berkata: “Patriotisme itu adalah berdiri bersama negara. Ia tidak bermakna berdiri bersama dengan presiden atau mana-mana pegawai kerajaan, melainkan secara khusus pada darjah yang mana mereka berdiri bersama negara. Ia adalah patriotik untuk menyokong mereka sekiranya mereka berkhidmat dengan berkesan untuk negara. Ia bukanlah tidak patriotik untuk menentang mereka sejauh mana, akibat ketidakberkesanan atau sebaliknya, mereka telah gagal untuk berkhidmat untuk negara. Dalam apa jua keadaan sekalipun, ia bukanlah tidak patriotik untuk bercakap benar, sama ada mengenai Presiden atau sesiapa yang lain”.

Tentangan adalah suatu amalan penting dan menjadi tunjang kepada sistem demokrasi sesebuah negara. Tentangan dapat menjadi penyekat dan pengimbang kepada kuasa kerajaan bagi memastikan mereka yang memegang tampuk kuasa itu tidak melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya.

Menurut ahli fikir Perancis, Jean Jacques Rousseau, “Sejurus sahaja seseorang warga itu mengatakan tentang hal ehwal negara, ‘apa aku peduli tentangnya', maka negara itu boleh dianggap gagal”. Ia tanggungjawab kita, sebagai warganegara, untuk sentiasa ambil peduli hal ehwal negara, dan membantah jika terdapat sebab untuk membantah.

Memang diakui, ada jenis tentangan yang tidak sah dan tidak patriotik. Menggulingkan kerajaan yang dipilih melalui cara tidak mengikut undang-undang. Bekerjasama dengan musuh negara untuk menjatuhkan negara juga bukan bentuk tentangan yang patriotik. Kita harus membezakan di antara tentangan seperti ini dan tentangan yang sah.

Kita tidak harus melihat tentangan sebagai suatu yang negatif. Kita tidak wajar melihat tentangan itu sebagai suatu cabaran kepada status sedia ada. Tentangan yang sah, suara-suara yang berbeza dan perbezaan pendapat seharusnya dialu-alukan demi membina sebuah negara lebih baik. “Tentangan (dissent) adalah bentuk patriotisme yang paling tinggi”, kata Howard Zinn, seorang sejarawan Amerika.


*penulis adalah seorang peguam muda