KETIKA artikel ini ditulis, saya telah terbang ke Australia selama 10 hari. Kecoh satu Malaysia tentang kebebasan akademik. Seolah-olah di negara kita ini langsung tidak ada kebebasan akademik. Akta Hasutan mesti dimansuh daripada mengelakkan ahli akademik atau siapa sahaja, dikenakan tindakan.

Artikel saya dalam Sinar Harian, suatu ketika dahulu pun disiasat di bawah Akta Hasutan, kenapa tidak ada seorang pun yang tampil membela atas dasar kebebasan akademik? Kenapa siswa-siswi tidak lancarkan hartal bersama pembangkang?
Nampak sangat berlaku double standard di situ. Bila pendapat dan kata-kata kita pro-pembangkang, maka itulah kebebasan akademik. Tetapi, apabila pendapat kita tidak sehaluan, maka itu dikatakan pro kerajaan atau rasis. Tidakkah sepatutnya kita menerima kedua-duanya sekali?

Definisi kebebasan akademik mengikut Barat tidak boleh dipakai sepenuhnya, kerana mereka sekular. Menurut Shaharir M Zain (2004), kebebasan akademik itu bermaksud ialah kebebasan untuk melahirkan pendapatnya dalam sesuatu isu sahaja.
Bukannya untuk kita tunjuk perasaan atau memberi pengucapan umum bagi menyatakan sesuatu pandangan. Kebebasan akademik ini memberi ruang untuk kita nyatakan pendirian dalam seminar dan penulisan, itu yang penting. Bukan nak jadi macam ahli politik.

Kalau di Malaysia ini, peranan intelektual tidak ada sebab kita telah dibahagi dua, sama ada pihak kerajaan atau anti kerajaan, yang di tengah di antara ini tidak ada, dan tidak dibenarkan tumbuh. Itu yang saya selalu cakap, kenapa tidak dibenarkan tumbuh! Kadang-kadang nampak dia bercakap pro kerajaan, kadang-kadang nampak dia bercakap pro-pembangkang. Itu baru peranan intelektual.
Kebebasan akademik tidak membolehkan kita bercakap atau menulis apa yang kita suka sewenang-wenangnya. Kita masih tertakluk kepada undang-undang dan budaya politik setempat. Inilah yang sedang hangat dibahaskan.

Persoalannya, mereka yang terlalu obses menyokong Azmi Sharom mahukan kebebasan yang bagaimana? Sehingga berani mengkritik dan mencemarkan maruah raja-raja. Saya akui raja bukan malaikat dan tidak maksum dan boleh dikritik, tetapi perlu berhemah.

Benar, kita bercakap dari perspektif kepakaran masing-masing. Pada masa sama, kita kena belajar juga budaya politik sesebuah negara. Sekadar pakar dalam bidang, masih belum mencukupi. Tata susila perlu beriringan.

Sebagai umat Islam, kebebasan akademik tertakluk kepada panduan al-Quran dan Sunnah. Kita tidak boleh sama sekali bertindak sewenang-wenang sehingga boleh menimbulkan masalah. Misalnya, menghina atau mengkritik al-Quran dan Nabi Muhammad SAW.

Sebab itu kita lihat, seluruh dunia bangkit apabila musuh-musuh Islam mengkritik agama Islam atau mengkatunkan Nabi Muhammad SAW. Masalahnya, kebebasan akademik selalu dipolitikkan ultra kiasu. Kenapa mereka tidak tampil memberikan sokongan penuh kepada kerajaan apabila ada isu yang bersifat pro?

Tidak ada yang bebas sepenuhnya dalam dunia ini, hatta negara jaguh demokrasi seperti Amerika Syarikat, Britain, Singapura dan sebagainya. Semua negara ini ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kenapa kita tidak melakukan protes terhadap mereka? Lebih malang lagi, ISA ini digunakan untuk memangsakan umat Islam dilabelkan sebagai pengganas.

ISA digunakan oleh Barat untuk mematikan semangat jihad umat Islam yang kononnya melakukan keganasan. Siapakah yang mengebom menara berkembar? Sehingga kini masih belum berjaya dibuktikan siapakah pelakunya? Tetapi yang menjadi mangsa adalah umat Islam. Termasuk kezaliman yang dilakukan mereka di Iraq dan Afghanistan.

Kenapa pejuang demokrasi, penentang ISA dan Akta Hasutan tidak melakukan hartal atau demonstrasi? Di negara kita, isu agama, bahasa, hak istimewa dan raja-raja Melayu, tergolong dalam perkara sensitif.

Jika mahu menulis atau berhujah, pandang-pandang, jangan terlalu mahu menunjuk pandai, seolah-olah kita adalah pakar segala-galanya, walhal bukan pakar banyak mana pun.
Saya lihat siswa-siswi hari ini sudah mula tertipu, terutama orang Melayu (Islam).

Mereka tidak kenal agenda jahat ultra kiasu. Saya amat yakin, jika ultra kiasu memerintah, akta lebih keras digunakan bagi menangani masalah ini. Apakah mereka akan benarkan kebebasan atau demonstrasi yang boleh merosakkan dan menjatuhkan imej negara?
Justeru, marilah kita lakukan muhasabah diri. Kita perlu bertanggungjawab apa yang kita buat. Soalan UPSR bocor heboh satu Malaysia, tetapi soalan dalam kubur yang sudah sejak awal bocor, orang buat tidak kisah. Orang tidak mahu ambil tahu pun. Mereka sibuk dengan kebebasan akademik. Dunia... dunia...