PERSELISIHAN dan perpecahan dalam masyarakat sekarang banyak berpunca daripada perebutan kuasa dan kepimpinan politik.

Tidak salah berpolitik, tetapi politik yang pentingkan kuasa dan memecahbelahkan rakyat dan ummah bukan sahaja merugikan bangsa, malah merugikan negara juga. Politik yang mementingkan jawatan dan kuasa juga akan merugikan parti.

Pencapaian kemajuan dalam bidang pentadbiran, ekonomi, pendidikan, sosial turut juga terjejas berikutan krisis kepimpinan seperti perebutan jawatan Menteri Besar (MB) Selangor. Sepatutnya selepas pilihan raya tiada lagi kempen untuk memenangi hati rakyat.

Usaha membangunkan negeri dan negara sepatutnya menjadi agenda yang penting dan diutamakan. Masa pemimpin dan rakyat banyak terbuang dengan sia-sia apabila sentiasa berpolitik dan sesuatu jawatan penting ditukar ganti.

Kempen politik seharusnya tidak berlaku kecuali jika ada pilihan raya kecil. Berpolitik untuk menguatkan parti dan memperkukuhkan usaha kepada kebajikan rakyat tidak salah. Ini juga sangat penting.

Baik parti pembangkang mahupun pemerintah sewajarnya menjurus pembangunan negeri dan negara. Salah-menyalah, fitnah-memfitnah tidak perlu lagi.

Pergolakan dan perselisihan dalaman parti dan cita-cita besar dalam diri pemimpin sendiri juga menyebabkan hal ini. Pengaruh kuasa untuk mendapatkan jawatan telah menjadikan pemimpin lupa akan tugas dan peranannya untuk memajukan kampung, daerah, negeri dan negara ke arah kesejahteraan.

Bila masanya pemimpin berkhidmat untuk rakyat. Di peringkat bawahan juga berlaku pergolakan seumpama ini. Rakyat berpecah-belah disebabkan pemimpin atasan berlainan selera dan ikutan.

Peranan pemimpin parti seharusnya memahami perkara ini. Rakyat khususnya pengundi yang telah memilih pemimpin mereka sebenarnya sudah tidak mampu lagi mendengar pelbagai fitnah, tohmahan dan hasutan yang membawa perselisihan dan perpecahan dalam kalangan ummah di peringkat bawahan.

Begitu juga perselisihan dalam parti ada fitnah dan kata mengata pemimpin nombor satu tidak mendapat sokongan daripada pemimpin nombor dua. Akhirnya rakyat kehilangan punca.

Peranan pemimpin atasan seharusnya penting dan perlu diikuti dan dipatuhi dalam menentukan dasar dan arah tuju sesuatu parti serta dari segi suara dan kredibilitinya.

Kejayaan sesebuah parti politik jika dilihat dengan teliti adalah bergantung kepada parti yang dapat membantu rakyat dan membawa kesejahteraan hidup rakyat di dunia dan akhirat.

Begitu juga kejayaan pemimpinnya yang takwa dan memimpin orang bawahan mengikut apa yang dijelaskan oleh Nabi SAW. Kepimpinan Baginda seharusnya dijadikan pedoman dan teladan bagi mengelakkan perselisihan.

Renungi dan fikirkan apa yang diperingatkan dan dinasihatkan oleh Nabi SAW “Daripada Abu Najih bin Sariyah r.a. berkata, Rasulullah SAW pernah menasihati kami dengan nasihat perpisahan yang meluluhkan hati dan mencucurkan air mata.

Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, seperti ini adalah nasihat perpisahan, oleh itu berilah kami nasihat.” Baginda bersabda, “Aku wasiatkan kepada kamu untuk tetap menjaga ketakwaan kepada ALLAH SWT tunduk taat (kepada pemimpin) meskipun kamu dipimpin oleh hamba sahaya.

Kerana orang yang hidup sesudahku akan melihat pelbagai perselisihan. Hendaklah kamu berpegang teguh pada sunahku dan sunah Khulafa’ Al-Rasyidin yang mendapat petunjuk.

Peganglah kuat-kuat sunah itu dengan gigi geraham kamu dan hindarilah ajaran-ajaran yang baharu (dalam agama), kerana semua bidaah itu sesat.” (Riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Oleh itu, dalam kehidupan seharian apa yang penting adalah ketakwaan kepada ALLAH, mendalami semua bidang ilmu, kemudian tunduk (mengikut apa yang baik) iaitu menunjukkan rasa hormat, taat kepada pemimpin iaitu raja dan pemerintah dan seterusnya mengikut suruhan agama bagi mengelakkan perselisihan dan perpecahan ummah setelah pemimpin itu dipilih oleh rakyat.

Maka berpegang kuatlah pada sunah Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan berpolitik dan mematuhi pemimpin yang menegakkan agama.

Akhirnya kita tunggu siapa MB Selangor baharu yang akan mengangkat sumpah Selasa ini, yang akan menduduki kerusi panas yang menyebabkan politik negeri sentiasa bergolak.