WARGA asing mendominasi perniagaan terutamanya bidang makanan dan minuman bukanlah perkara baharu. Ada di antara mereka sudah menjadi majikan di negara ini sekali gus  bergelar jutawan di kampung halaman mereka.

Ironinya, ramai warga Thailand berniaga restoran tomyam, warga India bekerja di kedai gunting rambut dan restoran mamak,  warga Indonesia pula mendominasi perniagaan runcit, manakala pendatang Myanmar berniaga sayur di pasar borong dan ada yang menjadi kontraktor binaan.

Sudah pasti sesiapa yang rajin berusaha, boleh berjaya di bumi Malaysia yang sememangnya menawarkan banyak peluang perniagaan.

Kehadiran warga asing ke negara ini mungkin menjadi kekangan kepada pihak berkuasa tetapi tidak kepada rakyat tempatan. Tanpa sedar, rakyat tempatan menjadi penyumbang kepada ekonomi mereka kerana menggunakan perkhidmatan dan barangan yang dijual.

Bagaimanapun, mengapa pendatang asing memperoleh peluang perniagaan di negara ini sedangkan mereka sepatutnya bekerja dan bukannya menjalankan perniagaan.

Adakah mereka mendaftarkan  perniagaan masing-masing sedangkan hanya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang layak menjadi pelabur dan pedagang di negara ini.

Pekerja asing sepatutnya bekerja dan bukannya menjalankan perniagaan. Mereka hanya layak bekerja dalam lima sektor yang dibenarkan kerajaan Malaysia iaitu perkilangan, perladangan, pertanian, pembinaan dan 15 jenis pekerjaan dalam sektor perkhidmatan. Tak ada pun disebutkan mereka dibenarkan berniaga.Justeru kita kupas isu ini.


Menyewa daripada penduduk tempatan

Tindakan penduduk tempatan yang mahu keuntungan cepat tanpa bersusah-payah, sanggup memberikan sewa kepada pendatang asing berniaga di premis mereka.

Peniaga Indonesia, Hartini Abdullah, 45 mengakui, kebanyakan kawan- kawannya menjadi penjaja ubat tradisional dan kain di sekitar Kuala Lumpur terutamanya di Jalan Masjid India, Jalan Chow Kit, Kompleks Kota Raya tetapi tidak diambil tindakan.

“Setiap kali kami didatangi penguat kuasa. Maka beberapa hari kami akan tutup kedai.

"Bila reda kami akan berniaga semula. Kami mengalami kerugian besar apabila tidak berniaga.

“Kami mahu mencari wang untuk meneruskan kehidupan. Peluang yang diberikan rakyat tempatan akan digunakan dengan sebaiknya. Kami menyewa premis daripada penduduk tempatan dengan harga yang mahal tetapi itu bukan alasan kami tidak boleh menjana pendapatan,” katanya.

Menurut Hartini, sambutan pembeli yang ramai terdiri daripada rakyat tempatan menyebabkan perniagaannya semakin maju.


Beri imbuhan, untuk terus berniaga

Seorang peniaga buah dari Indonesia, Jamal Hary berkata, beliau memberikan imbuhan kepada rakyat tempatan untuk menggunakan lesen perniagaan rakyat tempatan. Beliau akan memperbaharui lesen setiap tahun atas namanya.

“Saya tidak kisah membayar wang kepadanya kerana dengan berniaga, saya boleh mendapat semula modal yang dilaburkan. Alhamdulillah, walaupun berniaga buah, saya boleh berada di negara ini hampir enam tahun,” katanya.

Menurutnya, bulan Ramadan adalah bulan yang ditunggu-tunggu kerana pada waktu itu dia dan rakan- rakan senegaranya akan memperoleh keuntungan yang berganda.

“Kami seronok berniaga pada waktu itu kerana mendapat wang yang banyak dan boleh pulang berhari raya di negara asal,” katanya.

Tambahnya, kebanyakan kawannya berniaga dan boleh menggaji pekerja lain antaranya di bandar-bandar besar di sekitar Lembah Klang, Nilai, Johor Bharu dan Pulau Pinang.


Belajar daripada penduduk tempatan

Bagi Muslima Maling, 44 berkata, dia  belajar daripada majikannya untuk membuat nasi lemak dan pelbagai kuih- muih kegemaran penduduk tempatan.

“Saya belajar dengan majikan untuk membuat nasi lemak dan kuih- muih antaranya karipap, kuih kacang dan akok.

"Sekarang saya berniaga nasi lemak dan turut membekal nasi lemak ke beberapa kedai sekitar Petaling Jaya.

“Duit yang diperolehi saya kumpul untuk dijadikan modal dan dihantar ke kampung. Kadang-kadang saya memasuki kawasan pasar malam untuk menjual nasi lemak.

"Alhamdulillah, walaupun jumlah keuntungan sedikit tetapi dilakukan secara konsisten, saya boleh menyimpan wang dan dihantar kepada keluarga di kampung,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian ke beberapa kawasan tumpuan peniaga asing sekitar Lembah Klang di kawasan luar bandar dan bandar mendapati mereka bebas berniaga dan pelanggan mereka adalah penduduk tempatan.

Walaupun premis mereka daif, mereka menjual barang runcit yang memenuhi keperluan harian, buah- buahan, kuih- muih, makanan tradisi mereka dengan harga murah.

Bagaimanapun, kebersihan di kawasan sekitar kurang memuaskan. Tinjauan wartawan di sekitar Chow Kit misalnya mendapati kebanyakan pendatang asing berniaga produk kesihatan, pakaian, sayur- sayuran, buah- buahan dan sebagainya.