FACEBOOK sudah jadi seperti rukun hidup kebanyakan kita. Hidup bukan sahaja tidak ceria malah teramat sunyi tanpanya. Putaran bumi juga seakan terhenti jika dalam sehari, wall Facebook tidak dapat dikemaskini.

Itulah kesan hidup terlalu akrab dengan teknologi pada zaman ini. Seperti ada yang tidak kena, ada yang tidak sempurna jika tidak mencatat apa-apa aktiviti untuk dihebahkan di Facebook.

Ya, saya juga seorang aktivis Facebook. Hal itu diketahui oleh semua kawan-kawan yang selalu bertandang ke wall saya. Tetapi aktifnya saya bukanlah sampai ketagihan selfie.

Dengan usia dan rupa yang sudah begini – mengusung tembikai susu dari ladang yang paling subur ke sana ke sini – kiranya saya hanya bikin semak wall kawan-kawan jika berselfie. Sekurang-kurangnya saya masih sedar diri!

Sebagai wartawan/penulis, wall Facebook  saya biasanya diguna untuk mengutarakan pandangan berhubung sesuatu isu, juga mendapatkan maklum balas kawan-kawan yang bagi saya boleh dianggap mewakili orang awam.

Dan lagi, apa-apa yang saya utarakan di Facebook biasanya adalah kesan pertama atau first impression saya terhadap sesuatu perkara yang bagi saya adalah yang paling tulus, jujur dan amat bermakna.

Kerana itu, saya perlu mengutarakannya dengan segera, dan selepas dihadam, itulah yang saya jadikan modal dalam penulisan.

Sebut pasal Facebook, saya tidak boleh lupa akan satu insiden beberapa tahun lalu.

Majikan saya dalam satu perhimpunan bulanan mengingatkan kami supaya jangan berFacebook pada waktu pejabat melainkan untuk urusan kerja. Katanya, berFacebook atas perkara-perkara yang tidak ada kaitan dengan kerja boleh dianggap sebagai menyeleweng daripada tanggungjawab.

Ya, tiada siapa boleh nafikan kenyataan itu kerana aktiviti itu sememangnya mengasyikkan.

Selepas bersurai, bos besar saya itu masuk ke biliknya dan saya kembali ke meja.

Kerana sudah terbiasa pastinya, tidak lama selepas itu, saya buka Facebook dan melihat ‘status’ yang baharu dikirim bos besar: “Baru ingatkan kakitangan, jangan asyik main Facebook pada waktu kerja. Boleh hilang tumpuan dan jejas produktiviti.” Begitulah lebih kurang!

Pun juga kerana sudah terbiasa pastinya, saya apa lagi, terus sahaja like pos itu.

Selepas itu baharulah saya teringat, bos baharu sahaja ingatkan jangan buka Facebook pada waktu kerja.

Alamak! Matilah!

Dalam keadaan gubra, dada yang berdebar kencang, saya cuba buang tanda like itu. Malangnya, yang keluar selepas itu, unlike.

Lagilah haru. Saya kira sebagaimana keluar tanda like,  apabila kita unlike yang keluar sudah tentulah tanda unlike di wall yang empunya pos itu.

“Habislah!”

Kalau tadi dada berdebar 100 kali seminit, kali ini mahu 150. Mati dua kalilah nampaknya!

Selepas beberapa lama berada dalam situasi yang tidak ketahuan hala itu, saya ambil jalan untuk merujuk kepada kawan daripada Jabatan IT.

Alangkah leganya apabila diberitahu bahawa yang tertera di skrin hanyalah tanda like sahaja dan apabila kita unlike sesuatu pos, ia hanya memadamkan tanda like dan tanda unlike tidak akan muncul seperti yang saya sangkakan.

FUHHHH! Lega!

Akhirnya saya percaya Mark Zuckerberg daripada awal lagi sudah dapat menjangka bahawa hal yang seperti itu pasti akan berlaku.

Pemadaman tanda unlike secara automatik adalah langkah pemurnian yang berkesan bagi mengelak bala lebih besar menimpa orang yang seperti saya.

Zuckerberg bukan sahaja orang yang cerdik tetapi juga berhati mulia, macam bos besar saya juga.

Walaupun bos saya itu melarang kakitangan melayan Facebook hingga keasyikan pada waktu pejabat dalam hal yang tiada kaitan dengan urusan kerja, beliau sendiri adalah pengguna Facebook dan lain-lain akaun media sosial yang aktif.

Namun aktifnya bos saya bukan dalam hal-hal yang tiada faedah, sebaliknya perkongsian dalam perkara-perkara yang memberi manfaat dan maslahat ummah.
Bodek?

Oh, tidak! Saya bukan mahu membodek bos saya, sekadar memberi penjelasan atas ketelanjuran saya meletak tanda like pada kenyataannya dalam waktu kerja, yang kemudian ditukar kepada unlike pula.

Apa yang pasti, Facebook amat penting, mustahak dan berguna bagi urusan kerja saya, termasuk untuk mendapatkan idea menulis Kelab 40.
Sumpah, saya bukan bodek bos!