TIDAK selalu Nazri Aziz mendapat perhatian pembangkang. Biasanya beliau disanggah malah digasak  kasar oleh pembangkang atau mereka yang tidak senang dengan pemikirannya.

Namun ada ketika, Nazri dilihat satu-satunya tokoh Umno yang open minded serta boleh dibawa berbincang. Yang lain lazim dituduh undemocratic jauh sekali bersikap pragmatik.

Agak berlainan pula sikap pembangkang apabila berdepan dengan Pas. Ternyata mereka lebih senang menerima Pas daripada Umno walau pada dasarnya Umno berbanding dengan Pas yang jauh lebih liberal.

Keadaan ini dimanfaatkan Pas apabila sejak kebelakangan ini mereka ibarat gula yang diminati semut.

Pengundi Cina sanggup berkompromi dengan isu keagamaan. Dulunya Pas dibenci secara tiba-tiba pula mereka menjadi parti yang disokong. Pengundi Cina sanggup melupakan hudud dan kerajaan Islam serta dasar dogmatik Pas semata-mata bagi menolak Umno.

Nazri pula dilihat bersikap lebih profesional ketika menjalankan tugas sebagai seorang menteri Kabinet.

Dia tidak meminggirkan kerajaan DAP di Pulau Pinang ataupun mana-mana kerajaan negeri. Dia mahu kerajaan negeri kreatif dalam menjadikan pelancongan sebagai tarikan baru. Malang dalam insiden terbaru beliau dikritik hebat khusus MCA.

Ini gara-gara beliau menyokong langkah kerajaan Pulau Pinang melarang pengusaha warung di negeri itu menggaji warga asing sebagai tukang masak. Selain isu ini dimanipulasi, Nazri digambarkan seolah-olah menyokong Ketua Menteri Lim Guan Eng.

Pengkritiknya  tidak boleh membezakan Nazri sebagai pemimpin Umno dengan tugasnya sebagai seorang  menteri.

Mereka tidak harus lupa, Nazri ialah Menteri Pelancongan. Matlamat utama Nazri menjadikan Malaysia destinasi pelancongan tersohor di rantau ini. Usaha ini bukanlah mudah, apatah lagi Malaysia kini dibayangi isu panas seperti peristiwa Lahad Datu, kes penculikan warga China di Semporna, tragedi MH17  dan kehilangan pesawat MH370.

Sebagai menteri bertanggungjawab, Nazri berdepan pelbagai cabaran untuk memulihkan imej Malaysia. Ia memerlukan perancangan rapi serta rebranding Malaysia.

Ini termasuklah melalui anjuran pesta makanan. Malaysia popular dengan street food jauh mengatasi yang ada di Singapura. Namun langkah proaktif republik itu menyebabkan street food mereka jauh lebih menarik, yang kini berjaya menggamit dunia.

Barangkali Pulau Pinang mampu menyaingi Singapura dalam aspek ini. Melalui dasar baru Guan Eng berazam memulih imej masakan jalanan di negeri itu agar lebih kompetitif. Faktanya selama ini sama ada di Pulau Pinang ataupun di Selangor, premis makanan menggaji tukang masak warga asing.

Nazri sebenarnya tidak menyokong DAP ataun Guan Eng. Gambarnya bersama Guan Eng yang disebar adalah sebahagian daripada tugas. Kalau tak salah MCAlah yang memulakan apabila  mengkritik langkah berbaik-baik  Nazri itu. Konon ia memberi tafsiran Putrajaya menyokong kerajaan DAP.

MCA tidak sepatutnya menyempitkan skop pemikiran. Bukan semua dibuat Nazri atau mana-mana pemimpin Umno ke arah memperlekeh parti itu. MCA ada peranan tersendiri begitu juga Nazri.

Kritikan Nazri terhadap MCA adalah reaksi terhadap kritikan MCA bukannya sebaliknya. Nazri tidak cari gaduh terlebih dulu cuma pandangannya seperti biasa agak keras.

Komen Nazri tidak dapat dielakkan agak kasar serta menimbulkan kontroversi.Namun hakikatnya MCA sejak 2008 seperti hilang pengaruh dalam kalangan pengundi Cina. Contohnya, BN Perak tewas dalam PRU  2008  kerana kegagalan MCA mengekalkan sokongan pengundi Cina.

Dalam PRU lepas sekali lagi terbukti hampir semua peti undi majoriti Cina di kawasan Parlimen Padang Rengas iaitu kawasan ditandingi Nazri tidak mengundinya. Mana pengaruh MCA sehingga Nazri hampir hilang jawatan?

Seperti diketahui Nazri merupakan tokoh popular jika tidak masakan dalam PRU11 beliau peroleh undi majoriti 4,772 mengalahkan pencabarnya Zulkafly Yahaya (PKR). Dalam pilihan raya berikut, majoritinya jatuh 1,749. Ia naik pada PRU13 dengan memungut 2,230 undi.

Kita sebenarnya bukan nak berdebat sama ada MCA relevan ataupun tidak dalam konteks politik hari ini. Itu biarlah MCA sendiri tafsirkan berasaskan beberapa perkembangan lebih-lebih lagi keputusan PRU13 tempoh hari.

Namun bagi Nazri, dasar utama kementeriannya menarik kemasukan pelancong serta menjadikan Malaysia destinasi paling popular jauh lebih penting daripada melayan isu remeh-temeh MCA.

Kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2014 sudah menampakkan kesan apabila mengikut statistik bulan April kehadiran pelancong meningkat 10.9  peratus berbanding bulan sama tahun lepas.

Sementara menunggu perkembangan terbaru, pada masa sama kita  menunggu reaksi negeri-negeri lain menjadikan street food sebagai satu lagi daya tarikan istimewa lebih baik berbanding yang ada di Pulau Pinang atau Singapura. Ini jauh lebih relevan daripada seperti sikap MCA yang tak habis-habis mempolitikkan semua perkara.

Janganlah nanti apabila kita gagal mencapai sasaran menarik kemasukan 28 juta pelancong asing, Nazri juga dipersalahkan.