DISEBABKAN begitu banyak berita hangat lagi kontroversial setiap hari, ramai dalam kalangan kita kadang-kadang terlepas pandang laporan-laporan yang bukan sahaja menarik dan luar biasa, bahkan sangat baik untuk diambil sebagai iktibar. Kita boleh ambil berita tentang apa yang berlaku di stesen kereta api Stirling, Perth, Australia, Rabu lalu, sebagai contoh, kali ini.

Ceritanya, ialah kaki kiri seorang penumpang kereta api itu tersepit antara gerabak dan platform ketika memasuki kereta api berkenaan.

Kejadian itu menarik perhatian penumpang lain yang dalam masa lebih-kurang dua minit mengumpulkan lebih 50 orang penumpang lain untuk sengetkan gerabak untuk membolehkan penumpang tadi mengeluarkan kakinya yang tersepit itu.

Mulanya, ada kakitangan syarikat kereta api itu meminta semua penumpang yang berada di dalam kereta api itu beredar ke sudut gerabak untuk merenggangkan ruang di mana kaki penumpang itu tersepit.

Apabila tindakan demikian tidak membantu melepaskan kakinya, kakitangan syarikat kereta api itu meminta semua penumpang turun, dan bersama dengan yang ada di platform, sengetkan kereta api untuk merenggangkan ruang di mana kaki penumpang itu tersepit.

Lelaki itu tidak cedera dan berjaya diangkat keluar. Dia menaiki kereta api yang menyusul kemudian untuk ke destinasinya.

Ini berlaku di negara luar, tetapi sekiranya ia terjadi di negara kita sendiri, saya yakin semangat kerjasama yang serupa akan wujud.

Tanpa perlu saya ulas lebih lanjut, pembaca budiman sendiri sudah boleh memahami moral di sebalik cerita ini. Itulah kekuatan kita apabila kita bersatu.

Kita ada banyak contoh yang boleh dikaitkan dengan kejadian seperti yang berlaku di stesen kereta api Perth itu.

Antara yang pertama yang terbit di fikiran kita ialah lidi, kalau sebatang, mudah dipatahkan, tetapi apabila banyak, ia menjadi kuat.

Semangat penyatuan, sumbangan, sokongan dan kerjasama yang berlaku di stesen kereta api Perth itu adalah sesuatu yang amat baik sekiranya dapat kita jadikan amalan dalam kehidupan harian kita dan dalam menyumbangkan tenaga dan sokongan untuk mereka di luar negara yang memerlukannya.

Kita sudah tunjuk semangat bersatu hati dalam kes kehilangan pesawat MH370 yang membawa 12 anak kapal dan 227 penumpang dari 15 negara pada 8 Mac lalu dan dalam kes MH17 yang ditembak jatuh di Ukraine pada 17 Julai lalu, dengan kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal terkorban.

Semua, tidak kira yang mewakili kerajaan atau pembangkang, yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, sama-sama bersedih dan mendoakan untuk keluarga yang kehilangan orang dikasihi.

Kita juga menunjukkan kesediaan bagi mempamerkan kemarahan terhadap mereka yang kita tahu memberi sumbangan kepada ekonomi Israel yang tidak henti-henti melakukan keganasan ke atas penduduk di Gaza.

Tindakan ganas tentera Israel yang biadab itu sudah memusnahkan puluhan masjid, hospital dan ribuan bangunan kediaman, dan membunuh hampir 2,000 rakyat tidak berdosa. termasuk wanita dan kanak-kanak, yang tidak berdosa.

Sehingga ini, lebih sejuta orang terlibat dalam krisis Palestin. Lebih 400 kanak-kanak di Gaza terkorban dan sekurang-kurangnya 2,500 cedera.

Kira-kira 1,5 juta orang berhadapan dengan risiko untuk mendapat air minuman, dengan perkhidmatan bekalan air, kebersihan dan kesihatan hanya pada kadar 20 peratus sejak satu-satunya loji tenaga Gaza yang ada diletupkan tentera Israel yang pengecut itu pada 29 Julai lalu.

Penyakit seperti cirit-birit semakin meningkat dan 23 kawasan kemudahan perubatan dimusnahkan.

Tidak kurang daripada 140 sekolah rosak dalam serangan, tiga digunakan sebagai tempat berlindung oleh keluarga.

Itu hanya sedikit daripada apa yang berlaku. Kesengsaraan rakyat Palestin sebenarnya lebih teruk daripada apa yang dituliskan itu.

Hanya sumbangan kita yang sanggup mengetepikan apa sahaja perbezaan dan bersatu dapat membantu mereka yang terseksa di bumi mereka sendiri dapat memberi kesan.

Bayangkan kesannya jika umat Islam di seluruh dunia bangkit menentang tindakan ganas Israel ke atas penduduk Gaza dengan cara apa sahaja yang mampu.