KETIKA menulis artikel ini, penulis sudah berada di Melbourne setelah tiga hari di Sydney dalam rangka lawatan bersama delegasi Datuk Seri Mustapa Mohamed Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ke Australia.

Pada kesempatan ini, penulis dan Datuk Seri Mustapa atau lebih mesra dipanggil Tokpa sempat menziarahi rumah-rumah pelajar Malaysia tidak kira di peringkat ijazah sarjana muda mahupun yang sedang menghabiskan penyelidikan di peringkat phd dan sarjana.

Australia sememangnya sejak berpuluh tahun dahulu menjadi antara destinasi utama buat pelajar-pelajar Malaysia menimba ilmu pengetahuan sama ada yang datang melalui pembiayaan kerajaan, syarikat-syarikat korporat mahupun persendirian.

Walaupun berada di perantauan, pelajar-pelajar Malaysia hakikatnya amat mengikuti perkembangan tanah air secara dekat. Maka tidak hairanlah dalam sesi-sesi dialog antara pelajar dengan Tokpa dan penulis, pelbagai persoalan dilontarkan yang kebanyakannya menyentuh isu-isu semasa negara masa kini.

Antara isu paling hangat dibangkitkan termasuklah mengenai kemelut politik tanah air. Sebenarnya apabila disebut politik tanah air, maka tergambarlah seribu satu persepsi di kalangan pelajar di sini yang menanggapi politik dengan segala kekotoran, kejelikan dan keserabutan.

Memang tidak dinafikan bagi sesetengah pihak, ada yang terus menolak politik atau lebih senang mengambil sikap tidak peduli political apathy. Di satu pihak yang lain pula semacam terlalu ghairah dan paranoid dengan budaya berpolitik.

Sama ada sedar mahupun tidak, dunia politik tanah air hari ini semacam sudah tercabut nilai-nilai moral dan etika hingga menggejala secara meluas apa yang sering diistilahkan sebagai politik dangkal, politik ampu, politik fitnah, politik adu-domba, politik kuasa, politik wang dan sebagainya.
Sememangnya politik perebutan kuasa yang lompong nilai dan akhlak amat mudah menjerumuskan umat ke dalam kancah polemik persengketaan. Ini kerana kuasa sering menjadikan manusia alpa terhadap hakikat keinsanan sehingga mengesampingkan prinsip dan etika keagamaan.

Amat jarang hari ini untuk kita dapati nilai-nilai kenegaraan atau ‘statesmanship’ dalam kalangan ahli-ahli politik. Malah yang lebih terzahir adalah politikus-politikus yang diistilahkan political animal yang sanggup melakukan apa sahaja sehingga melangkaui sempadan agama dan tatasusila hanya kerana kemaruk kuasa.

Penulis sendiri tertarik dengan pemerhatian sinis salah seorang pelajar di Sydney yang dulunya amat mengagumi beberapa politikus yang sering menonjolkan diri sebagai pejuang politik baru tetapi turut terjebak dalam politik londeh-melondeh yang mengakar dalam budaya berpolitik masa kini.}

Umpamanya dalam kemelut perebutan jawatan Menteri Besar Selangor antara dua tokoh berbinkan ‘Ibrahim’ iaitu Anwar Ibrahim dan Khalid Ibrahim, jelas bagi pelajar ini suatu manifestasi budaya berpolitik yang hanya mementingkan tembolok diri berbanding kepentingan rakyat terbanyak.

Anwar yang bersungguh-sungguh mahukan isterinya Wan Azizah menggantikan Khalid iaitu pemimpin yang hanya beberapa bulan lalu dinobatkan sendiri oleh Anwar dan beberapa pimpinan PKR sebagai menteri besar paling bersih, amanah dan berkesan.

Namun individu-individu daripada parti yang sama hari ini membuat pendakwaan tanpa pembelaan di khalayak terhadap Khalid dengan melondeh segala aib beliau kononnya terjebak dengan pelbagai skandal penyelewengan termasuk kes mahkamah mengenai hutang beliau dengan Bank Islam.

Peliknya kes tersebut bukannya suatu yang baharu tapi sudah berlarutan sebelum Khalid menjadi menteri besar lagi iaitu ketika Khalid bergelar tokoh korporat. Mustahil pimpinan PKR khususnya pakar perancang strateginya Rafizi yang terkenal sebagai seorang yang paling bijaksana dalam kalangan pemimpin-pemimpin PKR baru menyedari mengenainya.

Penulis sendiri amat dekat dengan kes ini kerana pernah ditawarkan menjadi saksi pakar bagi pihak Bank Islam untuk menjelaskan mengenai isu-isu pematuhan syariah dalam urus niaga pembiayaan bank yang langsung tidak terkait dengan isu penyelewengan sebagaimana dakwaan.

Namun kemelut sebeginilah yang ditanggapi pelajar-pelajar Malaysia di Australia ini sebagai suatu yang amat menjengkelkan. Sebab itulah di mana-mana pertemuan yang penulis dan Tokpa hadiri, isu yang sama dibangkitkan para pelajar. Mereka benar-benar inginkan budaya politik londeh-melondeh yang mengakar di Malaysia segera dihentikan dan dijernihkan.

* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)