PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong kerajaan untuk menghapuskan peranan orang tengah yang banyak menekan dan mengambil kesempatan ke atas pelbagai pihak.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, orang tengah boleh dihapuskan tetapi bergantung kepada kesungguhan semua pihak dalam membanterasnya.

"Semua pihak khususnya kementerian dan mana-mana persatuan perlu lebih agresif turun padang untuk membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dialami oleh nelayan.

"Ia perlu dilakukan daripada akar umbi dengan membantu menyelesaikan masalah kewangan yang dipinjam oleh nelayan daripada orang tengah," katanya.

Menurutnya, bukan itu sahaja, wakil rakyat juga perlu buka mata dan melihat sejauh mana masalah tersebut dan turun padang membantu golongan itu.

Katanya, jika tidak dapat dibanteras sepenuhnya, mungkin orang tengah selepas ini perlu berdaftar supaya mudah untuk mengawal dan tidak sewenang-wenangnya mengambil kesempatan ke atas semua pihak.

"Jika dapat dihapuskan, harga barang boleh turun berlipat kali ganda.

"Fama juga perlu berjiwa rakyat dan perlu meningkatkan peranan dalam situasi ini," katanya.