SHAH ALAM - MAS digesa menghentikan penyediaan arak dalam penerbangan kerana ia bertentangan dengan ajaran Islam.

Exco Pengerusi Biro Agama Pemuda Umno, Azmir Yuzaimi Mohd Yunos berkata, MAS perlu menampilkan budaya ketimuran berlandaskan syariat Islam.

“Bukan sahaja MAS, malah syarikat penerbangan lain yang beroperasi di negara ini pun perlu berhenti menghidangkan arak di dalam pesawat mereka.

“Saya rasa MAS boleh bertindak secara drastik kerana perkara berkenaan tidak akan memberi impak kepada hasil pendapatan mereka,” katanya.

Menyentuh soal pakaian seragam kru kabin pula, beliau berkata, sudah tiba masanya MAS menukar pakaian seragam pramugari mereka demi menampilkan imej lebih sopan.

“Royal Brunei Airlines telah menukar imej pakaian mereka kepada lebih sopan dan menutup aurat.

“MAS merupakan syarikat penerbangan negara yang menyediakan perkhidmatan terbaik dunia. Penukaran imej ini tidak akan memberi kesan kepada syarikat penerbangan negara malah mampu menarik lebih ramai masyarakat dunia menggunakan perkhidmatan mereka," katanya.

Menurutnya, MAS perlu terus mempertingkatkan perkhidmatan mereka sebagai syarikat penerbangan utama Malaysia yang disegani dunia.

Beliau, yang juga Exco Pemuda Umno, turut mencadangkan MAS supaya mempraktikkan amalan berdoa sebelum memulakan penerbangan.

“Saudi Airlines, sebagai contoh, menekankan juruterbang mereka membaca doa (bagi orang Islam) sebelum melakukan penerbangan.

“Mengapa kita tidak berserah pada ALLAH SWT dalam setiap perjalanan? Sebagai seorang Islam, kita perlu memohon perlindungan daripada-Nya,” katanya.