Pasar tanpa orang tengah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pasar tanpa orang tengah

SEBUAH pasar raya agro menjual pelbagai barangan segar keluaran peladang dan usahawan tani dijangka memulakan operasinya di Petaling Jaya, November ini, sebagai sebahagian program Jihad Memerangi Orang Tengah yang diterajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasar raya itu akan menjual produk segar seperti ayam, daging, bawang, rempah ratus, buah-buahan dan sayur-sayuran hasil ladang daripada petani dan peladang.
“Harganya akan lebih murah sebab kita ambil terus daripada penternak dan peladang serta tidak menggunakan orang tengah,” katanya.
Ismail berkata, kementerian itu menyasarkan untuk memperluaskan kewujudan pasar raya agro di setiap negeri.
“Selepas ini, kita akan bangunkan pasar raya agro di Tanjung Agas di Muar, Johor. Lokasinya sudah dikenal pasti dan ia akan dibuka pada bila-bila masa mungkin tahun ini,” katanya.
Menurutnya, pasar raya itu diwujudkan hasil inisiatif Pertubuhan Peladang Kebangsaan Malaysia (Nafas) dan akan dibangunkan di aras satu bangunan pejabat operasi baharu pertubuhan itu.
Selain itu, katanya, pusat pengumpulan dan pengedaran turut akan dibangunkan di aras sama pejabat Nafas.
“Tingkat bawah bangunan pejabat Nafas yang baharu ini akan diubahsuai terlebih dahulu untuk menempatkan pasar raya agro dan pusat pengumpulan dan pengedaran. Ia dijangka siap dalam tempoh dua bulan dan proses pengubahsuaian ini akan menelan belanja kira-kira RM5 juta.
“Nafas juga akan ambil produk dari luar negara seperti daging lembu import dari Sudan dan kubis dari Acheh. Ia akan ditempatkan di pusat pengumpulan dan pengedaran kerana 70 peratus keperluan kita adalah diimport, manakala 30 peratus lagi dikeluarkan dalam negara,” katanya dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Nafas dan Agrobank di Kota Damansara, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Nafas, Datuk Seri Saipolbahari Suib dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman.
Menerusi perjanjian yang dimeterai, Agrobank membiayai RM58 juta kepada Nafas untuk pertubuhan itu membeli bangunan tiga tingkat baharu di Kota Damansara sebagai rancangan pengembangan dan pembangunan pertubuhan itu.

0 Komentar untuk " Pasar tanpa orang tengah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ