BAGI Pengerusi Bertindak Badan Pemantau Jenayah (MyWatch), R Sri Sanjeevan, penguatkuasaan lemah menjadi punca warga asing berani berniaga sehingga menjejaskan ekonomi peniaga tempatan.

Sanjeevan berkata, pendatang asing memberikan masalah kepada peniaga tempatan  dan kegiatan mereka perlu dibendung secara konsisten oleh pihak berkuasa.

“Jika penguatkuasaan terhadap pendatang asing dilakukan setiap minggu, pendatang asing akan takut untuk berniaga kerana pendapatan mereka terjejas, takut ditangkap dan dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Bagaimanapun Sanjeevan mendakwa, peniaga warga asing berani berniaga di Malaysia kerana penguatkuasaan lemah dan dilihat hanya pandang sebelah mata terhadap kegiatan tersebut.

“Penguatkuasaan perlu cekap dan tegas untuk membendung kegiatan perniagaan haram di kalangan warga asing terutamanya di Lembah Klang, Nilai;Negeri Sembilan, Melaka dan seluruh negara,” katanya.

Menurutnya, pendatang asing bijak mengambil kesempatan terutamanya berniaga pada bulan puasa kerana penguatkuasaan jarang dilakukan.

“Tindakan rakyat tempatan yang 'mengali babakan' lesen perniagaan juga perlu diambil tindakan tegas oleh penguatkuasaan dan PBT.

"Penguatkuasaan perlu dilakukan secara konsisten,” katanya.

Tambahnya, sebanyak 90 peratus pendatang asing yang berniaga di negara ini tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

“Mereka berani berniaga makanan dan minuman di tepi jalan raya, menjual barang- barang tiruan dengan harga yang murah kerana kegiatan mereka tidak diambil tindakan. Mereka akan berani.

“Saya berharap penguatkuasaan dilakukan terhadap peniaga asing dengan cekap dan tegas,” katanya.

Peniaga rakyat asing akui guna lesen orang tempatan

Bagi Mohd Amin Momin (bukan nama sebenar), 30-an berasal dari Pakistan sudah menjalankan perniagaan memasang gril rumah sejak beberapa tahun lalu di sekitar Lembah Klang.

Ketika ditemui Amin berkata, syarikatnya juga mempunyai kilang membuat gril di Puchong dan beroperasi lebih dua tahun.

“Di mana sahaja ada rumah baru buka, pasti kami ke sana untuk menjadi kontraktor memasang 'awning' dan kerja-kerja besi seperti memasang gril rumah,” katanya.

Amin turut mengakui bahawa syarikat itu adalah miliknya. Apabila ditanya bagaimana dia mendapat lesen perniagaan itu, Amin hanya menjawab bahawa dia mendapat lesen itu secara sah.

Selepas berkali-kali wartawan Sinar Harian memujuknya untuk mendapatkan jawapan daripada mana lesen itu diperoleh dengan memberikan beberapa fakta bahawa hanya penduduk tetap sahaja yang layak mendaftar perniagaan dan mendapat lesen, barulah Amin bersetuju untuk memberitahu, tetapi dengan syarat tidak mendedahkan nama syarikat dan nama sebenarnya.

“Saya kongsi dengan orang sini,” katanya singkat.

Dengan harga minimum RM1,800 bagi pemasangan gril rumah bagi satu rumah dengan keluaran rumah bersaiz kecil, kemungkinan pendapatannya boleh mencecah ratusan ribuan ringgit bagi satu projek perumahan yang telah siap walaupun hanya mendapat tempahan separuh daripada pemilik apartmen itu.

Dilihat Amin  juga menggunakan kenderaan mewah Mercedez Benz yang hanya lewat beberapa siri sebelum ini.


Tindakan senarai hitam pemilik lesen tempatan

Pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak memberikan lesen perniagaan kepada warga asing yang berniaga di gerai atau premis yang disediakan oleh mereka.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, MBSA hanya memberikan lesen perniagaan gerai dan premis yang dibinanya kepada penduduk tempatan sahaja.

“Jika didapati penduduk tempatan 'mengali babakan' lesen perniagaan mereka atau  memberikan lesen perniagaan kepada pihak ketiga, MBSA akan menarik balik lesen tersebut.

“Pada masa yang sama, peniaga tersebut akan disenaraihitamkan kerana ingin mendapatkan keuntungan atas angin dan tidak bertanggungjawab atas kelulusan yang diberikan,” katanya.

Bagi Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Klang (MPK), Mohamad Affaizul Abdul Majid berkata, PBT itu tidak mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing tetapi mengakui banyak peniaga tempatan menjual lesen perniagaan kepada pihak ketiga.

“Kita akan mengambil  tindakan tegas iaitu membatalkan lesen perniagaan tersebut jika mereka tidak menghiraukan amaran dan kompaun yang diberikan,” katanya.
Mohamad Affaizul berkata, MPK juga tidak akan memperbaharui lesen yang dipohon sekiranya mendapati pemilik lesen perniagaan yang merupakan warga tempatan bertindak menjual lesen itu kepada warga asing.
Sementara itu, jurucakap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, pihaknya tidak akan meluluskan permohonan lesen perniagaan warga asing di premis atau gerai yang dibinanya.

“Secara automatik, DBKL tidak memberikan lesen kepada warga asing. Kita hanya memberikan lesen perniagaan kepada warga asing yang berdaftar atas nama syarikat dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM),” katanya.


Peniaga haram jejaskan ekonomi penduduk tempatan

Tindakan peniaga asing yang bijak mengambil kesempatan telah menjejaskan ekonomi peniaga rakyat tempatan akibat pelanggaran kawasan dan jenis perniagaan.

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, perniagaan haram perlu dibanteras dan kerajaan perlu menguatkuasakan undang- undang terhadap untuk membanteras perniagaan haram.

"Pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil tindakan tegas terhadap peniaga haram. Kita bimbang perniagaan makanan yang diusahakan mereka akan memberikan kesan kepada pelanggan terutamanya. Kita tidak tahu cara penyediaan makanan mereka, adakah mereka menjaga kebersihan, mungkin menggunakan makanan yang telah tamat tarikh luput dan sebagainya.

"Peniaga haram mempunyai keberanian luar biasa. Mereka dilihat kebal dan tidak menghiraukan tindakan yang diambil oleh penguatkuasaan.

"PBT perlu membanteras peniaga haram bagi membantu peniaga tempatan yang mahu berniaga," katanya.