KRITIKAN terhadap Perdana Menteri berkesudahan dengan anggapan dasar yang dilaksanakan kerajaan adalah diputuskan secara peribadi oleh Najib Razak. Amatlah malang jika kita mempercayai Kabinet atau jemaah menteri tidak ada peranan.

Justeru tentulah kelihatan ia bersifat membazir wang rakyat dengan menggaji mereka jika mereka tidak berfungsi seperti yang diharap-harapkan.

Atau barangkali juga Tun Dr Mahathir Mohamed yang mengkritik Najib tersalah tanggap ataupun mempunyai maksud tersendiri. Salah satu dasar digubal mantan PM itu tidak lagi disokong dan diteruskan. Lantas memberi bayangan Najib, juga macam Pak Lah, mahu memadam legasinya.  

Tetapi hakikatnya tidak begitu seperti dijelaskan Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengulas isu ini di Permatang Pauh baru- baru ini. Katanya keputusan kerajaan dibuat secara kolektif.

Hal seperti ini sebenarnya tidak memerlukan perdebatan serius kerana sebagai PM selama 23 tahun, Dr Mahathir sangat arif dengan sistem Kabinet kita.

Walaupun jemaah menteri mempunyai pelbagai pandangan, juga mewakili semua kaum, dengan masing-masing condong ke parti mereka, akhirnya mereka akur sebaik Kabinet membuat keputusan.

Kita tidak arif stail dipraktikkan Dr Mahathir sepanjang menjadi PM namun kita percaya dan yakin ia sama sahaja. Setiap keputusan dibuatnya dan diambil kerajaan mendapat sokongan jemaah menteri, begitu juga sebaliknya.

Pemecatan Anwar Ibrahim dari Umno pada 1998 walau dibantah sebilangan ahli-ahli Majlis Tertinggi ketika itu tetap berlaku. Ini kerana apabila pengundian dibuat, majoriti memihak pada Dr Mahathir.

Justeru bagi kebanyakan orang kritikan ini dianggap tidak sama macam terhadap Pak Lah tempoh hari. Najib bukannya Pak Lah malahan Najib memperlihatkan kecekapan serta wawasan selain sangat telus serta bersifat inklusif dalam banyak hal sejak menjadi PM pada 2009.

Dasar kerajaan dan politiknya menjelang PRU13 sama ada program melalui BR1M atau konsep 1Malaysia dan sebagainya adalah dasar popular. Tujuannya tidak lain demi memerangkap pembangkang yang menjajakan isu populis.

Betapa sukar bagi BN menghadapi PRU13 dalam pengetahuan Dr Mahathir. Beliau kini boleh tersenyum pembangkang berjaya dijinakkan. Dalam pilihan raya sebelumnya lima negeri jatuh ke tangan pembangkang sehingga memaksa Pak Lah meletakkan jawatan.

Kini menjadi pengetahuan umum sikap pengundi Cina dan rakyat yang keliru terhadap dasar kerajaan serta stail kepimpinan BN gara-gara kritikan Dr Mahathir terhadap Pak Lah.

Kita juga lihat pada ketika tidak ada Presiden Amerika Syarikat ingin melawat Malaysia selepas kali terakhir dilakukan Johnson pada 1966, Najib berjaya mengubah landskapnya. Lawatan Presiden Obama baru-baru ini sangat signifikan serta  strategik sehingga berjaya mengukuh semula hubungan dua hala.

Malaysia tak perlu tunduk atau melobi dengan pergi ke Rumah Putih untuk bertemu presidennya. Dengan perubahan stail dan hala tuju, Malaysia di bawah Najib tidak lagi dilihat an unfriendly country.

Dr Mahathir juga menyindir Khazanah Nasional kerana menggaji CEO secara lumayan sedangkan hakikatnya zaman sekarang, gaji CEO di syarikat swasta jauh lebih baik. Bukankah ada pepatah Inggeris berbunyi, you give peanut you get monkey.

Kerajaan berhati-hati menangani isu penghijrahan ini kerana ia merugikan kita. Selain  kehilangan kepakaran,  'rahsia' kita turut dibawa bersama apabila beralih majikan. Ia pernah berlaku serta ramai lagi bakal mengikut jejak seperti berlaku pada seorang pegawai kanan sebuah syarikat kita yang kini berkhidmat di Singapura.

Tanggapan bahawa Khazanah tidak diurus tadbir dengan efisien serta banyak dipengaruhi CEOnya yang didakwa membelakangkan dasar affirmatif perlu diberi perspektif baru.

Contohnya prestasi 17 GLC setakat April lepas. Sejak 2004, nilai modal pasaran 17 GLC ini meningkat dari RM140 bilion kepada RM421 bilion. Dengan itu kerajaan memperoleh RM94 bilion dalam bentuk dividen serta hasil cukainya RM57 bilion.

Dr Mahathir terlepas pandang, kritikannya adalah mengenai keputusan diambil secara kolektif. Ia termasuk dasar-dasar yang diputuskan kerajaan seperti pemansuhan ISA dan sebagainya.

Zaman selepas merdeka kebanyakan keputusan dibuat kerajaan adalah setelah jemaah menteri bersepakat. Benar Perdana Menteri mempunyai kata pemutus namun beliau tentu tidak berani bertindak jika semua anggota jemaah menteri tidak bersetuju.

Kita pernah melihat Tunku Abdul Rahman mengumumkan penyingkiran Singapura dari Malaysia pada 1965. Ramai memprotes namun keputusan itu kemudian dipersetujui Kabinet.

Kemunculan Muhyiddin mempertahankan Najib berhubung kritikan itu tentu berasaskan fakta daripada lebih dipengaruhi isu peribadi. Katanya lagi: "Saya dapati Datu Seri Najib bersikap terbuka sedia menerima komen dan pandangan. Bila sesuatu nak diputuskan beliau akan mengambil kira termasuk pandangan dalam jemaah menteri. Sebenarnya apa jua yang dikritik oleh Tun, saya juga terasa... kita adalah yang menggubal dasar secara bersama.”

Muhyiddin harus dipuji kerana sanggup menjadi dirinya benteng terakhir Najib.  Kalau ibaratkan PM kelemasan dalam sungai politik dia sanggup berpaut walau pada sebatang lidi.

Timbalannya boleh memilih menjarakkan diri. Namun sebaliknya Muhyiddin membuktikan kesetiaan ala-ala Hang Tuah, tenggelam dan timbul bersama-sama bosnya.