SAYA masih hingusan, baru berusia tiga tahun ketika negara diisytiharkan bebas daripada cengkaman penjajah. Hidup di sebuah kampung solok @ tempat jin bertendang, hanya setahun dua selepas 31 Ogos 1957 barulah saya mendengar teriakan ‘merdeka!’.

Berhari-hari orang kampung berteriak siang malam. Hendak ke masjid menjerit ‘merdeka!’, balik dari masjid ‘merdeka!’ lagi. Turun ke bendang ‘merdeka!’, kait kelapa ‘merdeka!’, memotong getah pun ‘merdeka!’.

Sambil mengejar ayam keliling rumah, saya dan kawan-kawan pun ikut menjerit ‘merdeka!’. Pada hal saya langsung tidak tahu apa maknanya perkataan yang saya jeritkan.

Abah kata, merdeka ertinya bebas daripada penjajah. Makin tercengang saya sebab tidak tahu erti penjajah. Akhirnya saya faham apabila abah menjelaskan: “Merdeka ertinya kita sudah bebas, boleh buat apa sahaja.”

Memang merdeka, sebab sejak kecil saya dan kawan-kawan sama usia bebas melakukan apa sahaja di kampung. Antara kebebasan itu ialah melastik burung ‘wak-wak’, mengait sarang tempua, korek lubang tikus, makan buah senduduk hingga merah gigi.

Satu lagi kebebasan yang kami gunakan sepenuhnya ialah mandi dan terjun sungai dalam keadaan telanjang bulat. Kami main ‘Tarzan-Tarzan’, iaitu melaungkan suara sebelum terjun ke sungai, berkejar-kejar dan bersiram-siram air dalam keadaan serba-serbi bogel.

Di kampung terpencil itu rutin harian amat sederhana. Tidak ada air paip, sungai menjadi sumber kehidupan. Mandi sungai, minum air sungai, cuci pakaian, mandi junub, basuh berak dan lain-lain semua di sungai.

Tidak ada elektrik, pelita minyak tanah menjadi penerang kegelapan. Tidak ada telefon, ‘ketuk-ketuk’ di masjid menjadi alat komunikasi. Waktu solat ada bunyi ketuk, jika ada kecemasan dan kematian lain pula bunyi ketuknya.

Hari ini setelah lebih setengah abad merdeka, kampung saya sudah menjadi bandar. Pekan Bukit Gambir yang dulu sebagai pekan koboi dengan sederet rumah kedai papan, kini muncul sebagai bandar satelit dengan serba-serbi prasarana moden. Apa yang ada di KL, ada di kampung saya.

Sekiranya prasarana dan pembangunan dijadikan ukuran, pengisian kemerdekaan jelas kelihatan di seluruh negara. Gaya hidup berubah, cara berfikiran pun tidak kolot seperti dulu. Semua dikatakan serba canggih, serba moden. Malangnya nilai-nilai murni kemanusiaan semakin terhakis.

Ada sesuatu yang saya lakukan lebih setengah abad lalu, kini menjadi ikutan sesetengah orang yang dikatakan bertamadun dan moden. Dulu, ketika kanak-kanak berusia tiga-empat tahun, saya telanjang. Hari ini orang dewasa pula suka berbogel.

Bulan lalu 15 orang, termasuk dua wanita, bertelanjang bulat di pantai Teluk Bahang dalam apa yang dipanggil ‘Penang Nude Sports Games 2014’. Tanpa seurat benang di tubuh, mereka bersantai dan bergembira melakukan pelbagai kegiatan pantai.

Beruk dan monyet – juga haiwan lain – pasti bergembira sebab mendapat rakan baru menyertai kumpulan mereka. Polis telah menyoal siasat penganjur dan beberapa orang yang terlibat dalam sukan bogel pertama negara itu.

Beberapa hari lalu seorang jejaka bertubuh sasa yang hanya berseluar tanpa baju, mendukung seorang wanita yang hanya memakai seluar dalam dan coli, melintasi simpang trafik berhampiran sebuah cawangan CIMB di Jalan Sultan Yussuf di Ipoh.

Adegan semi-bogel di siang hari itu tentu menjadi tontonan umum. Banyak kenderaan berhenti untuk menonton aksi tersebut. Polis sedang menyiasat pasangan tidak malu itu di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana berkelakuan tidak senonoh.

Ada kalangan berpendapat berbogel seperti di Pulau Pinang dan Ipoh itu tidak menyalahi undang-undang. Mereka berhujah itu adalah salah satu hak asasi mereka sebagai manusia bebas. Apa agaknya mereka rasa sekiranya yang bertelanjang bulat di tempat umum itu adalah anak mereka sendiri?

Aksi bogel-bogel ini perlu disekat sebelum menjadi satu trend. Mesti ada tindakan tegas ke atas mereka. Kalau tidak nanti mereka beramai-ramai berbogel di Dataran Merdeka, sebagai kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.

Tidak kira betapa merdeka dan bebas pun, masih ada benda peribadi yang perlu kita sembunyikan. Kecualilah kalau kita betul-betul hilang akal, dan tidak tahu malu!