HAK asasi yang dituntut dan diamalkan oleh manusia berkait rapat dengan makna kebebasan. Kebebasan adalah sesuatu yang fitrah. Faham kebebasan yang dikembang di Barat dan di Timur sekiranya terpaut dengan etika dan nilai adalah sesuatu yang serasi dan manusiawi sifatnya.

Manusiawi atau tidak terhubung dengan nilai dan etika supaya penunaian hak asasi terpedoman dan mempunyai landasan. Kebebasan tidak boleh diertikan ibarat burung yang boleh hinggap di mana-mana atau semut yang boleh melata di mana-mana.

Insan adalah makhluk sosial yang memiliki nilai dan kepercayaan serta kebebasan yang dipedoman oleh nilai yang fitrah dan percaya bahawa di samping manusia ada Pencipta yang mengatur perjalanan alam dan kehidupan manusia memberikan pedoman dan arah supaya tabie manusia sejahtera dan interaksi manusia dalam kerangka adab.

Hak asasi yang ingin dikembangkan di Barat berasaskan rasionaliti semata-mata. Kekuatan akliah (reason) digunakan tanpa terhubung dengan naqliah (nilai) yang diperjuangkan oleh Islam.

Hak asasi dalam Islam memberi ruang untuk kebebasan terjadi tetapi dipedoman oleh syarak. Syarak yang sumbernya al-Quran dan Sunnah Rasulullah memandu manusia dalam aplikasi hak asasi kerana tanpa pedoman daripada kedua sumber itu penyelewengan dan penyimpangan boleh terjadi.

Dalam al-Quran terkandung suatu kisah pada zaman Nabi Lut as yang menjadi sumber ibrah atau pedoman kepada umat Islam mengenai kecenderungan melakukan hubungan sejenis.

Kisah itu memperlihatkan ketegasan Nabi Lut mempertahankan kehidupan yang fitrah. Keingkaran yang terjadi dalam kalangan kaumnya termasuk isteri dan anaknya telah membawa musibah dan murka daripada ALLAH.

Di Barat hari ini hubungan sejenis dibenarkan oleh undang-undang. Amalan LGBT yang bercanggah dengan fitrah kejadian manusia dibenarkan terjadi atas nama hak asasi. Ia bakal membawa musibah kerana ia dikeji oleh ALLAH.

Kecenderungan penolakan terhadap agama selain daripada Islam di Barat sudah semakin nyata. Mengambil pedoman pemikir Barat Nitstze yang mengatakan “Tuhan telah mati” membentuk faham liberalisme tanpa agama.

Dalam masa sama perkembangan Islam di Barat amat menarik untuk dibicarakan. Kegiatan dakwah berlaku dengan rancak dan pembangunan masjid, musolla dan Islamic Centers berlaku dengan subur sekali.

Meski sebahagian orang Barat masih berpaut dengan etika Kristian dalam pedoman hidupnya namun ajaran Kristian sudah mula ditinggalkan dan kebanyakan gereja kosong malah dibeli oleh orang Islam untuk dijadikan masjid.

Justeru hak asasi yang tidak berasaskan aqidah dan syariah Islam cenderung untuk mendukung faham liberalisme yang menolak agama sebagai suatu sistem kepercayaan dan cara hidup.

Hak asasi yang Islami tidak saja menjadikan asas kebebasan untuk mempertahankan kebenaran dan keadilan tetapi sifatnya tauhidik dan berlandaskan syara’. LGBT tidak dibenarkan oleh Islam kerana ia bercanggah dengan fitrah kejadian dan memberi kesan kepada status keturunan.

Hak Asasi Islami memberikan asas kesejahteraan dalam kehidupan supaya asas aqliah dan naqliah disantuni dan kehidupan umat Islam terpandu supaya tidak terjebak dengan kemungkaran dan maksiat.

Al-Quran dalam dalam Surah al Hujurat ayat 13 menyatakan dengan jelas sifat kejadian manusia yang berpasang-pasang supaya berlaku litaarrafu atas rasa kekenalan berasaskan syara’ dan ia adalah terbaik kerana bakal membangunkan insan-insan muttaqeen (God-conciousness).