ISLAM dikatakan maju dan mampu membina tamadun suatu ketika dulu disebabkan kemajuannya dalam bidang diniah atau agama dan juga sains dan teknologi. Al-Quran tidak saja dibaca secara harfiah tetapi dijadikan pedoman untuk meneroka bidang sains dan teknologi.

Sebelum lahirnya tamadun Islam, tamadun kebendaan daripada pihak lain sudah lahir. Tamadun Greek dan Yunani, tamadun Babylona, Mesir, Parsi, Cina dan India telah ada. Meski tamadun itu lahir dengan caranya sendiri dan bukan mendukung maksud ketauhidan tetapi ada manfaat berbanding terdapat terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Al Farabi, Ibn Rusyd dan Al Biruni umpamanya menekuni aspek berbanding ini walaupun dilihat kontroversi oleh setengah pihak melakukan penyaringan supaya akhirnya ia menyumbang kepada khazanah ilmu umat Islam.

Dalam pendekatan kini proses integrasi ilmu dan Islamisasi pendidikan cuba melakukan sinergi ilmu-ilmu konvensional yang sifatnya bermanfaat disantuni dengan nilai, etika dan tasawwur Islami supaya ia tidak bercanggah dengan Islam terutama dalam bidang ilmu-ilmu sains kemanusiaan.

Dalam konteks negara Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) cuba melakukan integrasi ilmu naqliah (wahyu) dan aqliah dengan UIAM memberi fokus kepada integrasi major dan minor dan USIM integrasi naqliah-akliah.

Walaupun ia tidak mudah, ia dilihat penting kerana Malaysia ingin melahirkan modal insannya yang memiliki tasawur yang integratif supaya mampu berperanan membangunkan negara kerana memiliki latar ilmu dan kemahiran yang lebih integratif dan Islamik.

Telah sekian lama negara-negara umat Islam mengalami proses dualisme dalam ilmu dan pendidikan. Rumusan Persidangan Pendidikan Islam di Makkah pada tahun 1977 menyarankan sistem pendidikan di negara-negara umat Islam kembali kepada landasan yang tauhidik.

Prof Taha Jabir al Alwani seorang tokoh integrasi ilmu dalam Islam mencadangkan pendekatan eklektik untuk mencapai maksud integrasi dan akhirnya Islamisasi.

Pertama, teliti semula metodologi pendidikan Islam yang dihubungkan sebagai autentik dan hubungkan dengan metodologi semasa supaya memiliki visi dan misi yang lebih dinamik.

Kedua, teliti pendidikan moden yang sedang berjalan. Dapatkan maklumat berbanding yang sesuai supaya berlaku proses integrasi dan Islamisasi.

Ketiga, lakukan integrasi secara eklektik dengan mengisi tasawur Islami supaya ia tidak bercanggah dengan syarak.

Umpamanya komputer sebagai alat umumnya memberi manfaat. Yang penting diberi perhatian ialah perisiannya. Terdapat maklumat berbanding yang bermanfaat kepada pengguna Islam dan terdapat banyak maklumat dan program yang bercanggah dengan syariat.

Yang pakar dalam bidang perisian dan programming dalam kalangan warga umat perlu tampil menggunakan kepakaran dan keilmuannya untuk menghasilkan perisian dan program yang beretika dan tidak menyalahi syarak supaya pengguna dalam kalangan warga umat tidak dirosakkan pemikiran dan pemahamannya.

Inilah cabaran sebenar dalam kalangan ilmuwan dan profesional Islam kini menampilkan program alternatif yang Islami supaya generasi muda dan pengguna Islam mendapat manfaat daripadanya.