*ADA dua perkara yang menarik perhatian umum di Pulau Pinang, minggu lalu. Pertama ada kaitan dengan makan. Kedua ada kaitan dengan main-main dan kelucahan.

Sebuah video ala-ala lucah diedarkan menerusi laman sosial, bertajuk ‘Pesta Bogel di Teluk Bahang’, menunjukkan sekumpulan pengunjung pantai – termasuk beberapa perempuan – bertelanjang bulat.

Dalam keadaan tanpa seurat benang di tubuh, mereka melakukan beberapa aktiviti tidak malu, termasuk mewarnakan tubuh, dan bersukan. Video kira-kira lima minit itu dirakam di Pantai Teluk Kempit, Taman Negara Pulau Mutiara.

Maka boleh dilihat dengan jelas bentuk dan ukuran – ada pendek, ada panjang, ada kontot, ada kembang. Bergantung pada ‘mood’ dan perasaan, video itu boleh mencetus berbagai-bagai reaksi. Ada yang terkejut. Ada juga yang terangsang.

Orang gila sahaja sanggup berbogel dan mempertontonkan kebogelan itu menerusi laman sosial. Apa boleh buat sekarang memang banyak orang gila!

*WALAUPUN ada pihak cuba mengaitkan acara bogel-bogelan itu sebagai kelemahan pentadbiran negeri pimpinan Ketua Menteri Lim Guan Eng, beliau menegaskan pesta gila itu tidak ada kaitan dengan kerajaan negeri.

Polis yang segera menyiasat penyebaran video berkenaan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan, telah mengenal pasti siapakah yang dengan megah menayangkan lembing dan perisai masing-masing pada pesta melampau itu.

Seperti yang dijelaskan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, 15 orang yang telanjang bulat itu telah dikenal pasti, tujuh daripada mereka adalah rakyat Malaysia.

Lain-lain muka tidak malu itu ialah empat dari Singapura, dua Myanmar, seorang dari India dan Filipina.

Harap dalam masa terdekat ini polis dapat mengecam siapa penganjur pesta tersebut, siapa tukang rakam, siapa tukang sebar – pendek kata siapa sahaja yang terlibat.

Tidak kira apa bentuknya, panjang atau pendek, mereka telah memalukan negara kita. Mereka patut dikenakan tindakan tegas.

*SATU lagi ialah perihal makan-makan di pulau tersebut. Guan Eng tidak setuju warga asing diambil bertugas sebagai tukang masak di restoran dan gerai di negeri itu.

Alasannya: tukang masak tempatan dapat mengekalkan rasa asli pelbagai makanan tradisional rakyat seperti pasembur, char kueteow, nasi kandar, laksa Penang, nasi lemak dan lain-lain.

Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nazri Aziz menyokong Guan Eng dalam hal ini. MCA marah kepada Nazri sebagai menteri BN yang menyokong Guan Eng. Nazri pun menuduh MCA sebagai parti tidak relevan, sebab itu ditolak pengundi Cina dalam PRU.

Beberapa pemimpin MCA menghentam Nazri, tetapi menteri itu ‘buat dhek’ sebab beliau pun mendapat sokongan daripada banyak pihak, termasuk Perkasa. MCA bagai anjing menyalak bukit, Nazri mengambil sikap ‘ada aku kisah!’

Pendek kata pasembor punya fasal menteri kanan BN bermasam muka dengan MCA.

*BUKAN menyebelah Guan Eng, tidak juga sebelah Nazri, secara peribadi saya tidak nampak apa perlunya menggaji orang asing sebagai tukang masak di gerai dan restoran kita.

Orang kita pun sejak sekian lama telah membuktikan kemahiran dan kehebatan memasak resipi asli kita. Kalau masakan asli kita pun orang luar tukang masak, saya takut rasa asalnya hilang.

Macam tidak sempurna sekiranya nasi kandar di ‘Line Clear’ Penang Road disediakan oleh tukang masak dari negara China. Tidak tergamak juga hendak minum cendol yang disediakan oleh orang Myanmar.

Tentu saudara Cina kita di sini pun hilang selera sekiranya mengetahui ‘bak kut teh’ yang dihidangkan kepada mereka dibuat oleh tukang masak dari Bangladesh. Pendek kata, makanan asli kita biarlah dibuat tukang masak kita.


*AKHIR kalam, masih mengenai makanan, sehari dua ini ramai orang kita tidak lagi mengunjungi restoran makanan segera yang terkenal dengan burger dan kentang goreng. Ini bukan soal tukang masak, tetapi sebagai boikot produk Israel yang tenteranya menyerang Gaza.

- TOK PERAK