PENGALAMAN ketika berkhidmat dengan beberapa buah syarikat membolehkan Rohani Hassan, 46, mengetahui selok-belok bidang pentadbiran dan perniagaan.

Graduan Diploma Pentadbiran dari Stamford College, Kuala Lumpur ini memulakan kariernya sebagai kakitangan di BBMB International Offshore Labuan selama dua tahun sebelum berkhidmat dengan Petronas juga dua tahun dalam bidang sama.

Oleh kerana ingin menimba pengalaman kerja yang lebih mencabar, Rohani mengambil keputusan bekerja dengan Fuji Bank Limited selama lima tahun setengah.

Selepas suaminya, Aminuddin Rased, 47, yang bertugas sebagai jurutera ditukarkan ke Kuala Lumpur, Rohani terpaksa mengikut suami dan berkhidmat pula dengan Mitsui Sumitomo Reinsurance Offshore Labuan cawangan Kuala Lumpur selama 10 tahun sebagai Eksekutif Operasi dan Pentadbiran di syarikat tersebut.

Pada tahun 2007 setelah memikirkan komitmen terhadap keluarga dan anak-anak yang semakin membesar, Rohani bertekad untuk berhenti kerja.

Sepanjang lima tahun menjadi suri rumah, Rohani belajar memasak dan cuba menu baharu untuk disediakan kepada suami dan anak-anak. Dari situlah Rohani mula minat terhadap dunia masakan dan tidak pernah jemu belajar.

Kebetulan pula rumah yang didiaminya berdekatan dengan surau dan setiap kali ada aktiviti keagamaan Rohani dan suami akan memasak bersama untuk dijamu kepada orang ramai.


Dapat kerjasama suami sepenuhnya

Menurut Rohani, berkat daripada pengalaman yang diperoleh sejak beberapa tahun sebelum itu membuatkan dia dan suami terfikir untuk membuka sebuah restoran.

“Cuma yang menjadi tanda tanya adalah apakah konsep dan menu utama yang ingin disediakan sebagai daya tarikan kepada pelanggan nanti.

“Dengan kerjasama suami, kami sama-sama melayari internet untuk membuat pilihan tepat bagi mendapat maklumat lengkap mengenai sesuatu menu.

“Setelah menyenaraikan beberapa menu akhirnya kata sepakat dibuat untuk membuka sebuah restoran yang menyediakan makanan Arab kerana persaingannya tidak banyak.

Pada Mei 2012 hasrat kami untuk membuka perniagaan Restoran Aroma Hijrah dipermudahkan dan kini setelah lebih dua tahun berkecimpung dalam bidang tersebut rezeki kami bertambah murah,” katanya ketika ditemui di TTDI Jaya baru-baru ini.

Bagi menjamin mutu dan kualiti makanan di restoran, pasangan suami isteri ini sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk mengikuti beberapa kelas masakan khusus untuk menu makanan Arab.

Rohani berkata, bukan tidak mampu membayar gaji chef tetapi disebabkan ingin memastikan restoran ini menjadi milik perniagaan keluarga pada masa depan apa salahnya dia dan suami bersusah dahulu.


Variasi menu ikut cita rasa pelanggan

Menawarkan lebih 20 menu dan dibantu oleh 17 pekerja membuatkan Restoran Aroma Hijrah cukup dikenali oleh warga Shah Alam dan Kuala Lumpur. Biarpun masih baharu dalam kalangan peminat makanan Arab tetapi kelainan yang dilakukan oleh pemiliknya membuatkan restoran ini menjadi salah satu restoran pilihan.

Rohani turut berkongsi kejayaannya dalam mengemudi perniagaan makanan. Antaranya dia berjaya meluaskan lagi perniagaan dengan menyewa premis bersebelahan untuk memastikan pelanggan yang datang tidak kecewa.

“Jika awal pembukaan restoran hanya dua lot sahaja disewa tetapi kini setelah permintaan makin menggalakkan saya dan suami bersetuju menyewa tiga lot lagi dengan kapasiti 530 orang dalam satu-satu masa.

"Saya bersyukur walaupun bersaing dengan 12 restoran makanan Arab di sekitar Shah Alam semua itu tidak menggugat rezeki kami dalam perniagaan makanan," ujarnya.
Katanya lagi, konsep mesra pelanggan amat dititikberatkan bagi memastikan pelanggan yang datang akan terus datang selepas itu.

"Malah saya dapati rata-rata pelanggan suka nasi Arab ikut cita rasa Malaysia. Jadi saya cuba variasikan rasanya dengan mengekalkan keaslian rempah dan cara masakan orang Arab.


Fokus dalam perniagaan

Ibu kepada empat anak berusia antara 23 hingga sembilan tahun ini turut menyatakan tanpa kesungguhan tidak pasti kejayaan dapat diperoleh.

"Saya betul-betul akan fokus terhadap sesuatu perkara. Berjaya atau tidak itu perkara nombor dua. Apa yang penting saya sudah buat yang terbaik. Selepas itu baharulah boleh berserah kepada ALLAH SWT meminta pertolongan-Nya.

"Tak semestinya bergelar pemilik restoran saya boleh berada di zon selesa kerana untuk mengukuhkan perniagaan ini bukan satu perkara yang senang. Semuanya memerlukan kesabaran dan komitmen tinggi semua pihak.

"Harapan saya dalam bidang ini adalah untuk menjadi pengusaha Melayu berjaya menjalankan perniagaan makanan Arab di Malaysia," katanya.