SUNGGUH menyayat hati setiap kali terpampang gambar anak kecil di Gaza bergelimpangan di samping ibu bapa yang terbujur kaku lantaran dibom dan ditembak oleh tentera Zionis Israel.
Dalam menghadapi realiti penganiayaan dan penindasan berterusan pihak Israel dan sekutunya Amerika Syarikat hari ini, penulis menyokong penuh usaha untuk masyarakat memboikot barangan keluaran Israel. Pemboikotan merupakan manifestasi solidariti kita sebagai umat yang satu, sanggup berkorban demi saudaranya yang teraniaya.
Sememangnya umat Islam perlu menterjemahkan kemarahan mereka secara lebih berkesan melalui tindakan lebih bermakna. Umat perlu menggunakan kuasa ekonominya untuk menekan kuasa besar yang bongkak dengan kuasa ketenteraannya.
Apa yang pasti umat perlu berkorban demi saudara seislamnya yang ditindas, agar mereka tidak terus diperkotak-katikkan oleh musuh sesuka hati. Selagi umat tidak bersedia untuk melakukan jihad ekonomi ini, selagi itulah mereka akan terus dianiayai.
Cuma dalam kita bersemangat untuk memboikot barangan dan perkhidmatan yang terkait langsung dengan kerajaan Zionis Israel, jangan melampau dalam menghukum saudara seislam dengan pelbagai label jika masih ada yang berterusan membeli produk terkait dengan Israel.
Di sinilah keperluan untuk kita memahami secara tuntas kedudukan hukum sebenar dalam Islam perihal berurusan dengan orang kafir termasuk Yahudi.
Secara asasnya, hukum bermuamalah seperti berjual beli dengan Yahudi adalah diharuskan sebagaimana hukum berkahwin dan memakan sembelihan mereka yang tergolong sebagai ahli kitab. ALLAH SWT berfirman: “Pada hari ini dihalalkan bagimu yang baik-baik. Makanan (sembelihan) orang yang diberi al-Kitab itu halal bagimu, dan makanan kamu halal pula bagi mereka. (Dan dihalalkan mengahwini) wanita yang menjaga kehormatan di antara wanita yang beriman dan wanita yang menjaga kehormatan di antara orang yang diberi al-Kitab sebelum kamu, bila kamu telah membayar mas kahwin mereka dengan maksud menikahinya, tidak dengan maksud berzina dan tidak (pula) menjadikannya gundik-gundik...” (Surah Al-Maidah: 5)
Dalam konteks jual beli pula, diriwayatkan Nabi Muhammad SAW berurus niaga dengan seorang Yahudi: “Sesungguhnya Nabi SAW membeli makanan daripada seorang Yahudi dengan pembayaran secara bertangguh, dan mencagarkan baju besi Baginda SAW.” (Riwayat al-Bukhari)
Menurut Imam Ibn Hajar Al-Asqolani dalam kitabnya Fath al-Bari, dalil hadis Nabi Muhammad SAW inilah yang menjadi hujah mengharuskan berurus niaga khususnya dalam membeli senjata daripada orang bukan Islam. Ini kerana Nabi Muhammad SAW sendiri mencagarkan baju besi Baginda yang hanya digunakan untuk berperang.
Justeru tidak salah untuk bermuamalah dengan orang kafir termasuk Yahudi selagi mana kaedah dan pendekatan urus niaga yang dilakukan berpandukan prinsip yang digariskan syarak. Ini termasuklah membeli barangan keperluan dan kelengkapan dengan cara berhutang seperti cagaran yang dilakukan Baginda SAW.
Dalam kalangan ulama fikah, hampir sepakat mengharuskan jual beli dengan bukan Islam sebagaimana yang diterangkan oleh Imam An-Nawawi dalam kitabnya Syarah Sohih Muslim: "Telah ijma’ atau sepakat seluruh umat Islam keharusan berurus niaga dengan ahli zimmah dan lain-lain orang kafir selagi mana (urus niaga itu) tidak jatuh dalam perkara haram. Tetapi umat Islam tidak boleh (haram) menjual senjata kepada musuh Islam yang sedang memerangi Islam, dan tidak boleh juga membantu mereka dalam menegakkan agama mereka." (Syarah Sohih Muslim, An-Nawawi, 11/40)
Di sini jelas ulama sepakat atau telah ijmak berkenaan keharusan membeli dan menjual kepada orang bukan Islam termasuk Yahudi selagi mana mereka tidak terlibat secara langsung dalam memerangi Islam dan kaedah urus niaga yang dijalankan juga menepati prinsip Islam.
Berbalik kepada isu memboikot barangan dan perkhidmatan milik syarikat Yahudi yang mempunyai hubungan langsung mahupun tidak dengan rejim Zionis dalam melakukan kezaliman dan penyembelihan terhadap umat Islam, sudah tentulah memerlukan suatu panduan hukum yang jelas daripada ulama kontemporari.
Dalam konteks ini, belum ada satu fatwa yang jelas daripada pihak pemerintah yang mempunyai kuasa pemutus dalam penentuan hukum memboikot barangan tertentu yang berhubung kait dengan Zionis sebagaimana disenaraikan oleh pelbagai pihak.
Justeru penulis bersependapat dengan pandangan ulama seperti Dr Yusuf Al-Qaradawi yang menggalakkan usaha memboikot barangan yang ada hubungan langsung dengan rejim Israel demi menzahirkan keprihatinan kita terhadap mangsa keganasan Zionis.
Namun dalam keghairahan kita memboikot barangan yang tersenarai ini, jangan pula kita sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman sesat, kafir dan pelbagai lagi kepada sebahagian umat Islam lain yang masih membeli barangan tersebut.
Selagi mana tiada fatwa hukum daripada pihak berwewenang dalam hal ini, ia kekal sebagai satu pandangan yang boleh diikut atau sebaliknya.
Jangan pula dalam kita bersemangat menentang penindasan orang lain, sesama sendiri pula bertelingkah hingga terlerai ikatan ukhuwah yang lebih utama dipertahankan.
*Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 Komentar untuk " Boikot tapi jangan menghukum "