Gaza perlukan sumbangan kita - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Gaza perlukan sumbangan kita

AIDILFITRI tahun ini, seperti tahun lalu, saya selamat lagi daripada terjebak dalam kesesakan di lebuh raya.

Rahsianya? Mudah sahaja; pandu kereta pada hari raya, tak kira sebelum atau selepas solat hari raya.

Bahkan tahun lalu, saya keluar dari Shah Alam jam 6.30 pagi, solat Aidilfitri di masjid Gopeng, Perak, jam 8.30 pagi sebelum sambung perjalanan ke utara.

Masa balik ke Shah Alam, saya pilih untuk memandu tengah malam; selamat daripada menanggung sengsara terpaksa merangkak berjam-jam untuk sampai ke destinasi.

Dengar cerita kawan-kawan ada yang terpaksa menanggung seksa ketika balik kampung sehari dua sebelum raya. Kenderaan bergerak macam kura-kura. Dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan, katanya, ambil masa antara 15 dan 23 jam. Saya tabik kepada yang tabah dan bersabar menempuhnya!

Tapi untuk diri sendiri, minta maaflah, saya pilih untuk pandu dengan selesa. Biar lambat, asal bahagia!

Pada hari raya, lebuh raya lengang. Seperti lirik lagu Madu Tiga, saya rasa 'seperti dunia ana yang empunya'; bebas daripada terjerumus dalam kesesakan, bertembung dengan pemandu panas baran yang suka jerit-jerit, bunyikan hon tak tentu pasal, tunjuk penumbuk, mempamerkan isyarat bukan-bukan dan meluahkan kata-kata yang tidak sepatutnya disebut oleh manusia berfikiran waras hanya kerana dipotong.

Tak tahulah kenapa ramai sangat antara kita buang masa dan wang dan gadai maruah diri hanya untuk melepaskan sikap panas baran.

Apakah kerana cuaca negara yang panas, ekonomi yang memberi tekanan  kepada kehidupan atau suasana politik yang tidak menentu. Wallahualam!

Setiap kali Ramadan, ramai menanam keazaman mahu membuang sikap ego dan panas baran dan mengamalkan sikap suka memaafkan, tapi dalam masa sama, kita terus rancak maki-hamun, bercakaran, dan serang-menyerang sesama sendiri.

Seolah-olah kita mahu jadikan sikap buruk sebagai hobi dalam hidup kita.

Selepas kes wanita muda naik angin dan kemekkan bonet kereta warga emas dengan steering lock menjadi viral di laman sosial, apa lagi selepas dikenakan denda RM5,000 dan khidmat masyarakat 240 jam heboh di seluruh negara, saya ingat mereka yang pasang niat mahu jadi samseng dan pembuli jalan akan insaf dan bertaubat, tetapi saya silap.

Hanya seminggu lepas itu, sudah ada cerita baru samseng jalanan, bahkan lebih teruk daripada kes steering lock itu.

Anda baca kes pemandu wanita cedera dibelasah dengan topi keledar oleh lelaki 54 tahun hanya kerana wanita itu bunyikan hon untuk menarik perhatian pakciknya di Kajang?

Si lelaki itu berang kerana sangka hon itu ditujukan kepadanya. Untuk sikap panas barannya, lelaki itu bayar harganya; ditahan polis untuk siasatan.

Terdapat dua tiga kes lagi pengguna jalan raya cedera diserang selepas kemalangan. Apa dah jadi?

Sampai bila kita nak begini?

Kata Maryam Jameelah (Margareth Marcus, daripada keluarga Yahudi, sebelum memeluk Islam pada 1961) yang hasilkan lebih 30 buku mengenai budaya dan sejarah Islam: "Manusia boleh terbang seperti burung, boleh berenang seperti ikan, tapi tidak mampu berjalan di muka bumi seperti manusia".

Sebenarnya, tak perlu jadi samseng atau pembuli kalau nak jadi hero atau selebriti.

Banyak perkara penting dan berfaedah boleh dilakukan.

Gunalah kepanasbaranan, wang yang perlu dibayar sebagai denda dan masa yang terpaksa dihabiskan dalam penjara kerana buat kerja salah, untuk perjuangan yang diredai.

Hentikanlah percakaran sesama sendiri atas perkara remeh-temeh, jaga perkataan supaya tidak menghina bangsa dan agama, yang merugikan diri dan keharmonian masyarakat.

Ikut laporan semalam, sejak 8 Julai lalu, jumlah kematian di Gaza akibat serangan tentera Israel yang pengecut itu mencecah 1,732 orang, termasuk kanak-kanak, wanita dan warga emas.

Jadi, apakah kita mahu terus naik angin dan serang pemandu hanya kerana dia pintas kereta kita? Atau bermusuhan disebabkan perbezaan fahaman politik?

Cukuplah. Hentikan bercakaran sesama kita dan cuba sumbang kebendaan atau moral, masa, tenaga, wang dan apa sahaja yang terdaya untuk mereka yang teraniaya di Gaza. Gaza perlukan sumbangan kita sekarang.

Paling tidak, boikot barang Israel, di samping doa. Takkan itu pun tak mampu!

0 Komentar untuk " Gaza perlukan sumbangan kita "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ