Trend baju tempah jahit tetap digemari - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Trend baju tempah jahit tetap digemari

REZEKI tukang jahit di rumah atau kecil-kecilan tidak terjejas walaupun berhadapan trend jualan baju pasang siap yang banyak dijual di merata-rata pusat membeli-belah, pasar tani, bazar, butik bahkan rangkaian jualan menerusi atas talian (online).

Sempena Syawal ini misalnya, jelas kehadiran trend baju pasang siap yang melambak dalam pasaran tidak langsung menjejaskan tempahan tukang jahit kecil-kecilan. Trend ini nampaknya masih relevan kerana masih ramai pelanggan lebih selesa memakai baju ditempah kerana ia mengikut ukuran badan si pemakai.

Tempahan meningkat,  terpaksa upah pekerja

Tukang jahit sejak 11 tahun lalu, Elena Portelipo @ Lisa Abdullah, 54 berkata, tempahan saban tahun semakin meningkat. Bahkan permintaan sering kali 'tidak cukup tangan'.

“Tahun ini, saya buka tempahan sejak April dan tutup pada awal Ramadan.

“Tempahan tahun ini sekitar 100 pasang meliputi pelbagai baju kurung sama ada moden dan kebaya serta baju melayu,” katanya.

Menurutnya, rata-rata pelanggan adalah pelanggan tetap.

Katanya, jika dibandingkan tahun lalu, dia peroleh RM4,000 dengan tempahan lebih 100 pasang.

“Tahun ini mungkin RM3,000 sahaja,” katanya yang juga berpendapat persaingan perniagaan menjahit baju tidak mempunyai kesan kepada jumlah tempahan, sebaliknya kepada kualiti hasilnya.

Bagi Muhammad Fareez Zamri, 26 pula, pendapatannya tidak terjejas meskipun terdapat banyak lambakan baju pasang siap kini.

“Tempahan menjahit saya terima sempena Aidilfitri meningkat 50 peratus.

“Walaupun pelanggan boleh mendapatkan baju sudah siap tetapi mereka memilih untuk menempah baju kerana ramai pelanggan mengadu kebanyakan baju sudah siap  tidak memenuhi citarasa mereka,”ujarnya.

Muhammad Fareez boleh menyiapkan empat helai tempahan sehari dengan mengenakan bayaran berdasarkan reka bentuk.

“Jika baju kurung biasa, saya mengenakan bayaran RM50. Lagi rumit rekaan, lagi tinggi harga yang saya letakkan.

“Saya juga menerima tempahan untuk menjahit baju Melayu dengan caj RM120 sepasang," katanya.

Tempahan ikut fesyen terkini

Seorang lagi tukang jahit, Noraida Idris, 34 pula hanya menerima tempahan khusus untuk baju wanita sahaja.

Katanya, tahun lalu, dia hanya menerima tempahan baju kurung biasa tetapi tahun ini permintaan menjahit jubah.

"Sejak tempahan Syawal dibuka Mei lalu, saya terima 60 pasang baju. Sepanjang Ramadan biasanya peroleh pendapatan  sekitar RM1, 500 hingga RM3, 000,"katanya.

Sementara itu, Maszurah Doralip,48,  berkata,  sepanjang 30 tahun mengusahakan perniagaan tersebut, pendapatannya tidak pernah terjejas meskipun pelanggan saban hari disogokkan dengan pelbagai jenis baju pasang siap yang mudah didapati di merata tempat.

0 Komentar untuk " Trend baju tempah jahit tetap digemari "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ