Bila Kuala Lumpur mahu berubah? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Bila Kuala Lumpur mahu berubah?

KETIKA kerajaan negeri Terengganu sedang sibuk dengan program transformasi, tertanya-tanya saya, bilakah lagi Kuala Lumpur? Adakah cukup dengan bangunan yang melata dan melakar langit? Bagaimana dengan aktiviti-aktiviti mendidik jiwa manusia?

Jika sebelum ini kita mahu bersihkan Kuala Lumpur daripada pengemis, bagaimanakah dengan pembersihan maksiat?

Bandaraya Kuala Lumpur hidup 24 jam. Berbanding di Barat, negara bukan Islam, kebanyakan bandar raya mereka mati pada waktu malam. Tidak banyak aktiviti. Jika adapun, hanya pada hari minggu. Ketika itulah, mereka melepaskan ‘nafsu dan geram’.

Tetapi Kuala Lumpur tidak sedemikian, setiap hari kita melepaskan nafsu dan geram. Kenapa jadi sebegini? Tidakkah sepatutnya bandar raya kita perlu menjadi lebih Islamik selaras dengan konsep negara Islamik yang kita canangkan selama ini?

Jika di Terengganu, terpampang sebesar-besarnya kata-kata “ALLAH Peliharakanlah Terengganu”. Bagaimana dengan Kuala Lumpur? Bilakah kita mahu pampangkan kata-kata “ALLAH Peliharakanlah atau Selamatkanlah Kuala Lumpur”.

Saya fikir ramai yang akan bersetuju. Apatah lagi, orang bukan Islam yang mahu kita benarkan penggunaan kalimah ALLAH. Jika mereka benar-benar ikhlas, saya tidak fikir bukan Islam akan menentang.

Ayuh! kita pampangkan nama ALLAH sebesar-besarnya di tempat-tempat tinggi bandar raya Kuala Lumpur. Paling baik dan cantik di Menara KLCC, Menara Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan bukit yang strategik seperti Bukit Bintang.

Biarkan Kuala Lumpur di kelilingi kalimah ALLAH. Saya amat yakin, ia dapat sedikit sebanyak mendidik dan menakutkan jiwa manusia. Ini amat penting, sebagai salah satu cara, mengingatkan manusia kepada Tuhan.

Jadikan Kuala Lumpur bandar raya beridentiti jawi. Jika tidak, kita tidak banyak bezanya dengan Barat. Malah lebih barat dari Barat. Saya tidak nampak ada sepatah pun huruf jawi di Kuala Lumpur seperti Kelantan dan Terengganu.

Kerja kita hanya menyerbu pelaku maksiat. Kenapa kita tidak berusaha untuk didik mereka menjauhi maksiat?

Justeru, sudah sampai masanya, beberapa berikut diambil perhatian.

Pertama, matikan Kuala Lumpur pada waktu malam, jika kita mahu ikut cara Barat, jangan jadi lebih barat dari Barat. Kita akan menjadi keparat.

Kedua, hiasi Kuala Lumpur dengan identiti negara ini yang bertunjangkan agama Islam. Kita tidak perlu takut, kerana Islam adalah agama Persekutuan.

Ketiga, hidupkan Kuala Lumpur dengan program ilmu, bukan hiburan yang melampau. Lambakan pusat-pusat hiburan mesti dihentikan.

Keempat, cantikkan sungai-sungai dan longkang-longkang Kuala Lumpur yang kotor dan tersumbat. Jika di Barat, sungai dan longkang yang merentasi bandar raya, airnya begitu jernih, spesies air seperti ikan dapat dilihat dengan jelas, berenang-renang ‘kegembiraan’.

Keenam, banyakkan pusat-pusat ilmu di Kuala Lumpur, seperti perpustakaan mini di tengah-tengah bandar raya. Biarkan pejalan kaki, merehatkan badan dan minda mereka dengan membaca.

Cuba tiru apa yang dilakukan  Darul Arqam di Singapura. Pusat ini menjadi singgah pejalan kaki untuk berehat. Kesannya, ramai  memeluk Islam.

Ketujuh, adakan program untuk mendidik golongan LGBT dan anak muda. Jika tidak, Kuala Lumpur akan dipenuhi dengan golongan ini pada waktu malam yang meriah itu.
Kelapan, kembalilah kepada agama.

Negara-negara Barat hari ini mula sedar, mereka harus kembali kepada agama. Agama sahaja yang boleh menyelamatkan manusia daripada kehancuran. Kuala Lumpur tunggu apa lagi!

Kesembilan, pembangunan Kuala Lumpur mesti seiring dengan pembangunan insan. Jika tidak, Kuala Lumpur akan hancur dan pasti tenggelam suatu hari nanti.

Jangan fikir Genting Highlands yang terletak di puncak bukit tidak akan tenggelam. Kuasa ALLAH mengatasi segala-galanya.

Kesepuluh, pembangunan perumahan kos rendah di bandar raya, biarlah untuk didiami manusia. Jika dahulu, satu bilik, sekarang tiga bilik.

Tetapi bilik-biliknya langsung tidak mesra pengguna. Keadaan yang sempit, menjadikan warganya tidak mahu duduk lama di rumah. Tidak wujud konsep rumahku syurgaku.

Melaburlah untuk manusia, pastinya manusia ini akan mengimarahkan Kuala Lumpur. Di Singapura, kawasan terhad, rumah flatnya besar. Di sini, tanahnya luas, rumahnya sempit.
Saya amat yakin, jika semua ini dapat dipraktikkan, bandar raya kita akan mendapat keberkatan dan peliharaan ALLAH SWT.

0 Komentar untuk " Bila Kuala Lumpur mahu berubah? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ