Siapa kata wanita tidak layak? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Siapa kata wanita tidak layak?

*MAAF cakap, saya tidak fikir Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, isteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Menteri Besar Selangor, menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim. Ada dua sebab:

Pertama, Khalid menegaskan tidak akan melepaskan jawatan tersebut, sehingga pilihan raya umum akan datang, sebab itulah janjinya ketika mengangkat sumpah jawatan untuk penggal kedua selepas PRU lalu.

Walaupun didesak oleh sesetengah pihak dalam partinya sendiri, beliau tidak akan tunduk dan akan terus duduk di kerusi No.1 itu hingga tempohnya tamat. Ertinya, buat masa ini Dr Wan akan kekal sebagai YB, bukan YAB.

Kedua, rasanya ada banyak lagi calon lain yang lebih sesuai menjadi MB Selangor sekiranya Khalid sudah tamat tempoh. Dr Wan kena tunggu dulu!

*PERLU saya tegaskan bukanlah kerana Dr Wan seorang wanita, maka dia tidak boleh menjadi MB. Bagi saya, wanita dan lelaki sama sahaja, kalau ada kebolehan bukan sahaja boleh jadi MB, malah PM pun boleh.

Kita kerajaan pilihan rakyat. Kalau rakyat ada keyakinan kepada seseorang, tidak kira dia bin atau binti, orang itu boleh menjawat jawatan tertinggi, baik dalam parti mahupun dalam kerajaan.

Hatta sekiranya satu hari nanti Datin Seri Rosmah Mansor, isteri Datuk Seri Najib Tun Razak, menang pilihan raya, ada kebolehan dan mendapat kepercayaan majoriti, beliau pun boleh menjadi perdana menteri.

Telah terbukti baik di tempat kita atau di bahagian-bahagian lain dunia, jantina bukanlah faktor penentu sama ada seseorang itu layak atau tidak menjawat jawatan penting. Orang kita tidak ada diskriminasi seks.

*ADAPUN yang nampaknya ada keraguan dan tidak yakin terhadap keupayaan wanita ialah orang Umno sendiri. Peguam parti terbesar Melayu itu, Datuk Mohd Hafarizam Harun mengeluarkan kenyataan yang berbau diskriminasi gender.

Peguam tersebut berkata Dr Wan tidak layak menjadi menteri besar sebab beliau ada tempoh ‘uzur’ @ haid @ datang bulan. Konon kalau dalam tempoh ‘uzur’ MB wanita tidak dapat mengiringi sultan solat.

Tentu sekali isu ‘keuzuran’ itu telah dihentam hebat oleh bukan sahaja kumpulan pejuang wanita, malah oleh parti-parti politik, termasuk MCA, MIC yang menjadi rakan kongsi Umno dalam BN.

Mereka menganggap kenyataan Hafarizam terlalu dangkal dan ketinggalan zaman, sekali gus merendahkan martabat wanita. Hanya kerana haid, wanita tidak boleh menjadi pemimpin, dan itu datang daripada seorang peguam! Kelakar betul.

*SAMA ada uzur atau tidak, wanita memang tidak kalah dengan lelaki, termasuk dalam hal ala-ala ‘gedebe’. Terbukti ada wanita yang lebih kasar daripada lelaki, seperti yang kita tonton di media sosial.

Seorang wanita, dalam usia 30an yang kereta baharunya – buatan luar negara! –bergesel dengan kereta yang dipandu oleh seorang warga emas berusia 67 tahun, telah bertindak terlajak kasar dengan memaki hamun warga emas tersebut.

Dia juga telah mengetuk kereta warga emas itu dengan pengunci stereng hingga kemik, sambil mengherdik dan menjerit: “Awak nampak tak nombor plat kereta saya? Saya minta ganti RM2,000 sekarang!” Fuhhh!

Hatta Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang melihat aksi itu pun berkata: “Garang betul wanita itu, ketuk sana, ketuk sini...” Polis akan menyiasat kes samseng jalanan itu.

Walaupun kedua ‘uncle’ dan wanita tersebut sudah saling bermaafan, insiden itu membuktikan wanita layak melakukan apa sahaja. Tetapi, saya tidak setuju wanita seperti ini dipilih menjadi MB atau PM.

*AKHIR kalam, hari-hari terakhir Ramadan al-Mubarak, umat Islam meningkatkan lagi amal ibadat dengan membanyakkan solat-solat sunat, selawat, zikir, tasbih dan sebagainya.

Malah, ada yang meninggalkan anak dan isteri untuk beriktikaf di surau atau masjid setiap masa. Masing-masing memohon dipertemukan dengan malam Lailatulqadar, atau malam seribu bulan.

Tetapi dalam pada itu jemaah di surau dan masjid untuk solat terawih semakin lenggang. Ini bukti bukan semua mengutamakan Lailatulqadar. Ada juga yang mengutamakan langsir dan semprit!

0 Komentar untuk " Siapa kata wanita tidak layak? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ