Runtuh: Bukan salah jin tanah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Runtuh: Bukan salah jin tanah

*KEJADIAN runtuh nampaknya bukan lagi milik eksklusif Negeri Terengganu Darul Iman. Sejak akhir-akhir ini wabak runtuh telah merebak di negeri lain. Ada hospital runtuh, syiling mahkamah runtuh. Ada kilang runtuh, ada tanah runtuh.

Terkini, Rabu lalu penyakit runtuh sudah berjangkit di ibu negara @ bandar raya Kuala Lumpur, kota metro serba canggih yang menjadi kebanggaan 1Malaysia.

Tiada angin, tiada tsunami, juga tiada gempa bumi, tiba-tiba sahaja sebahagian struktur terowong bawah tanah Jalan Imbi di tengah-tengah pusat bandar raya runtuh dan mendap sedalam lima meter.

Mujur tidak ada yang mati tertimbus dalam kejadian 9.30 pagi itu, tetapi menyebabkan kesesakan teruk. Laluan penting dan selalu sibuk itu sehingga kini masih ditutup.

Mungkin Raja Bomoh Sedunia @ Nujum VIP @ ‘Datuk’ Ibrahim Mat Zain boleh menyiasat kot-kot jin tanah atau mana-mana makhluk ghaib menjadi puncanya.

*PIHAK berkuasa sedang menyiasat keruntuhan yang dikatakan berpunca daripada paip bawah tanah pecah. Ertinya kes Jalan Imbi bukan salah jin tanah, juga tidak boleh tuding jari pada suku sakat makhluk halus.

Ini kesilapan manusia. Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, tindakan tegas akan diambil kepada kontraktor berkenaan jika didapati wujud elemen kecuaian.

Faktanya sudah jelas di depan mata, bahawa paip pecah menjadi punca insiden. Ini bukan paip kecil, tetapi paip besar bawah tanah. Babak jin tanah pun tidak berupaya memecahkan paip besar itu.

Soalan: Siapa yang menyebabkan paip itu pecah? Tidak perlu siasat lama-lama untuk mendapatkan jawapan. Pasti ada kecuaian. Siapa juga yang cuai – tidak kira kulit dan bulu – mesti dihukum.

*KECUAIAN manusia memang boleh meruntuhkan. Minggu lalu seorang pemandu dan penumpangnya cedera parah dan nyaris maut apabila dihempap besi seberat beberapa tan yang terjatuh dari tapak pembinaan projek transit aliran ringan (LRT) di Jalan Lapangan Terbang Subang.

Ini bukan kali pertama, tetapi sudah tiga kali dalam tempoh beberapa bulan insiden sama berlaku di tapak kerja projek LRT.

Kejadian pertama Mac tahun lalu apabila cerucuk terhempap ke atas sebuah kereta menyebabkan satu kematian dan satu kecederaan. Ogos tahun lepas pula, bahan binaan projek LRT menghempap sebuah kereta yang diletakkan berhampiran tapak pembinaan.

Setiap kali kejadian pengurusan LRT dan pihak kontraktor akan mengeluarkan kenyataan, menyatakan keprihatinan dan menegaskan ‘keselamatan sentiasa diutamakan’. Tetapi keruntuhan terus berulang. Ini bukti kes ‘cakap tak serupa bikin’.

*MASIH mengenai keruntuhan, bukan binaan tetapi akhlak. Ada cadangan dari sebuah NGO supaya diadakan sidang kemuncak bagi menangani isu mesin judi haram, spa dan rumah urut serta pusat hiburan yang mendorong keruntuhan akhlak dan mengancam ketenteraman awam.

NGO berkenaan mahu KDN, polis, jabatan agama dan agensi-agensi berkenaan supaya bertindak tegas dan jangan terus membisu. “Rakyat mahu tengok tindakan berkesan dan bukan retorik, atau cepat melenting bila ditegur atau dikritik,” kata NGO tersebut.

Perihal judi haram, rumah urut, spa, pusat hiburan dan lain-lain maksiat bukan perkara baharu di tempat kita. Pada hemat saya tidak perlu sidang kemuncak, sebab apa yang diperlukan ialah ketegasan sebenar pihak berkuasa dalam memerangi isu ini.

Buatlah sidang kemuncak, sidang meja bulat, sidang Tok-Tok Sidang dan lain-lain seumpamanya, semuanya tidak akan berkesan sekiranya pihak berkuasa lagi berwajib lembap dan macam ‘buat dhek’.

Ada pusat hiburan dan rumah urut haram, telah diserbu berpuluh kali, pemiliknya telah didenda, tetapi operasi haram berjalan seperti biasa, sebab tidak siapa berani memusnahkan premis berkenaan.

Semua orang tahu, ini bukan soal sidang kemuncak. Ini soal rasuah!

*AKHIR kalam, masuk minggu kedua Ramadan, saf-saf di surau dan masjid tidak lagi sesak seperti malam-malam awal puasa. Malam pertama dan kedua tidak cukup tempat sehingga ada yang bersolat tarawih di ruang letak kereta.

Sekarang ruang solat semakin lapang, saf pun semakin berkurangan. Biasanya minggu akhir puasa masjid dan surau semakin lapang. Sesetengah orang berebut mencari Lailatulqadar hanya pada awal puasa!
http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/runtuh-bukan-salah-jin-tanah-1.296736
0 Komentar untuk " Runtuh: Bukan salah jin tanah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ