JIKA anda lekas sesak nafas jangan baca "Saya tidak mahu menjadi pengkhianat kepada agama Islam dan bangsa Melayu”  oleh Tun Abdul Hamid Mohamad, bekas Ketua Hakim Negara (Utusan Malaysia, 2 Julai) dan “Elakkan versi kedua peristiwa 13 Mei"  oleh Raja Petra Kamaruddin juga dalam akhbar sama hari sama, petikan dari Malaysia Today (www.malaysia todaynet).

Ramai Melayu Islam, mengikut pemerhati dan penyelidik, kini dalam keadaan tidak sedar atau sengaja tidak kisah dengan situasi bahaya menunggu kerana sibuk berlumba dalam rat race.  Tegas Speaking: "a continuous round of competitive contest about status, politics, money and opportunity” yakni ketaksuban  berjaya dalam perlumbaan merebut kekayaan dan status dalam politik dan masyarakat hingga meletakkan masa depan negara  berisiko tinggi.

Tun Hamid menolak jadi Pengerusi Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) kerana “khuatir akan jadi alat bagi memanjangkan tuntutan pihak tertentu yang sentiasa mencari peluang menguatkan kedudukan mereka dengan menghakis hak-hak orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta kedudukan agama Islam sambil mengekalkan hak-hak mereka.”

Tambahnya: “Saya takut sekiranya saya akan menjadi pengkhianat kepada bangsa Melayu dan agama Islam. Saya berbuat demikian sebelum saya ketahui komposisi dan nama ahli MKPN. Apabila saya melihat komposisi dan nama ahli MKPN, saya lebih yakin bahawa keputusan saya itu adalah betul."

“Besar kemungkinan MKPN akan menjadi saluran untuk pihak yang mendukung program parti pembangkang terutama DAP dan PKR (manakala Pas, seperti biasa akan menurut sahaja) dan ahli Melayu/ Islam tidak akan dapat mempertahankan kedudukan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, malah ada yang tidak akan mempertahankannya kerana fahaman mereka yang liberal itu.”

Tun Hamid tidak menentang pembangkang dirunding mengenai rang undang-undang, tetapi janganlah sampai menyerahkan penentuan dasar dan penggubalan kepada mereka tidak kepada Peguam Negara! Mereka tentu sekali, mengikut Tun Hamid, akan menetapkan dasar dan menggubal mengikut kehendak mereka. Ini kita dapat lihat daripada kandungan draf undang-undang yang digubal mereka di bawah naungan MKPN.

Sambung Tun Hamid: “Kerajaan BN, terutama Umno dan Pas akan bertanggungjawab jika undang-undang itu diluluskan dan ia akan menghakis hak-hak orang Melayu serta kedudukan agama Islam. Pemimpin dan anak watan Sabah dan Sarawak juga tidak akan terlepas daripada tanggungjawab ini."

Keluhan Tun Hamid ini bukan datang daripada sembarangan anak bangsa. Satu perkara yang terkecuali kerana keinsafan yang timbul daripada tulang dan minda anak watan sejati. Parti Pembangkang riuh gembira seperti Riuh Rio! Sila baca artikel Tun

Hamid dan buatlah keputusan sendiri. Apa pun madah seorang kawan "Jika ada manusia Melayu Islam dan Peribumi lain tidak menitis air mata mengenang nasib mereka setelah membaca rintihan Tun Hamid yang budiman itu, orang itu tiada perasaan.

Orang itu mempunyai hati batu”.

Kisah Raja Petra berliku-liku. Apa pun bacalah tulisannya yang akan memberi anda food for thought kalaupun tidak memprovokasi minda anda. Madahnya “anda (Cina, India dan Melayu liberal) mungkin benci akan Umno atau Barisan Nasional tetapi kenapa perlu mencaci Malaysia, orang Melayu, orang Islam dan agama Islam untuk melepaskan kemarahan dan kekecewaan anda?  ...jadi mengapa pula mereka marahkan Umno, boleh bertindak mencaci dan memperolok-olok negara sendiri, orang Melayu, orang Islam dan agama Islam?

“Kita tidak lagi mampu mengenal siapa penyerang dan siapa jadi mangsa. Kedua sama agresif dan mahu mencari gaduh.  Akhirnya pihak yang memiliki banyak senjata (dan wang dan ekonominya kuat) akan menang... berwaspadalah dengan apa yang anda hajatkan kerana anda mungkin tidak suka apa yang diterima kelak”. Tegas seorang Islamis Melayu dengan marah, nampaknya dia bersetuju dengan Raja Petra apabila kedua berkata mereka bukan Islam dan non Melayu jangan berselindung sebagai mangsa kerana mereka juga membuat provokasi kaum dan agama.

Perhatian saya dan saya bersetuju dengan Tun Hamid, kelemahan besar orang Melayu Islam mereka terlalu sensitif terhadap perasan orang lain sehingga orang lain tidak perlu sensitif lagi terhadap perasaan Melayu Islam. Kepada mereka the best defence is to attack- serang terus serang sebaik pertahanan. Madah seorang yang berkecuali - Melayu jati- sambil melaknat pemimpin Melayu Islam: "Pegar makan tanaman. Mereka mengkhianati apa yang rakyat majoriti amanatkan”.

Sebenarnya adakah pemimpin yang dilaknat itu begitu buruk? Jelas kepada pembangkang mereka anjing dan kepada orang seperti Tun Hamid, Raja Petra dan mereka yang sependapat dengan kedua, mereka musang berjanggut / musang berbulu ayam kepada Melayu Islam, Peribumi di Sabah dan Sarawak.

Seorang bekas pemimpin tertinggi Melayu minta saya sampai mesej ini kepada majoriti penyokong kerajaan dan majoriti Melayu Islam yang berakal (sensible)- Tolonglah jangan gadai dan  hilang negara kerana obsesi dengan rat race dan juga kerana mahu populariti, acceptance dan approval (mahu disanjungi dan dipuji) oleh  bukan Peribumi dan pemimpin negara barat. Jangan yang dikejar tak dapat dan yang dikelek tercicir atau seperti ungkapan Inggeris a bird in the hand is better than two in the bush.

Guna psikologi, jangan hanya kutuk sahaja

Khutbah Jumaat di Masjid Wilayah Persekutuan minggu lalu mendakwa seolah ramai Melayu Islam tidak menunaikan tugas mereka kerana menonton pesta bola. Mana panel penulis khutbah tahu? Saya dan ramai lagi tidak ada masalah menunaikan solat subuh dan bertarawih juga menonton pesta bola. Kalau mahu menarik muda-mudi kan elok jika psikologi digunakan bukan sahaja mengetuk dan mengkondem saja! Ramai orang tidak solat pada masa bukan pesta bola pun. Kalau nak solat seribu daya dan kalau tak mahu sembahyang seribu dalih. Tiada kena mengena dengan musim.  Bercakap tanpa selidik senanglah!