SISTEM atau program jaminan keselamatan makanan (PJKM) merupakan sistem atau program yang dapat mengawal tahap kebersihan dan keselamatan makanan yang dihasilkan. Pada umumnya terdapat beberapa PJKM yang diperakui di peringkat antarabangsa iaitu seperti Amalan Pengilangan Yang Baik (Good Manufacturing Practices), GMP dan Analisis Bahaya Titik Kawalan Genting (Hazard Analysis Critical Control Point) atau HACCP.

Produk-produk makanan yang dieksport pada amnya memerlukan Pensijilan GMP atau HACCP bagi memastikan produk yang dihasilkan memenuhi spesifikasi yang ditetapkan. Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut menawarkan PJKM yang inovatif iaitu Pensijilan MeSTI (Makanan Selamat Tanggungjawab Industri) kepada pengusaha dan industri makanan yang ingin memulakan program jaminan keselamatan makanan di kilang. Pada masa ini Pensijilan MeSTI diberikan secara percuma kepada industri yang berminat dan bimbingan akan diberikan oleh KKM.

Untuk mencapai tahap  kualiti yang tertinggi, industri makanan harus menentukan satu sistem yang dapat menjamin produk makanan yang dihasilkan adalah bersih dan selamat. PJKM yang dilaksanakan secara tetap, berterusan dan terkawal dapat menghindarkan makanan dari pencemaran yang disebabkan oleh fizikal, kimia, mikroorganisma patogen (penyebab penyakit) dan radiasi.

PJKM mempunyai elemen-elemen yang menjadi syarat dalam menjamin keselamatan makanan. Elemen-elemen tersebut termasuklah kemudahan infrastruktur dan sanitasi yang baik, binaan kilang yang mengikut spesifikasi, pelan layout yang sesuai mengikut proses dan jenis produk yang dihasilkan, kebersihan diri pekerja dan persekitaran, verifikasi produk akhir dan lain-lain. Seterusnya elemen-elemen ini perlu disediakan di dalam manual PJKM. Kawalan dan pemerhatian harus dilakukan pada sepanjang masa pemprosesan atau mengikut jadual yang telah ditetapkan. Ini dilakukan bagi memastikan pencemaran dan ralat tidak berlaku yang boleh menjejaskan kualiti serta keselamatan makanan.

Produk yang dihasilkan dari kilang bertaraf MeSTI, GMP dan HACCP akan memberi pilihan kepada pengguna dan orang ramai untuk memilih produk makanan yang diyakini bersih dan selamat. Seterusnya, bersempena dengan Safe Food Expo 2014 yang akan diadakan pada 13-14 September 2014 di Melaka International Trade Center (MITC), Ayer Keroh Melaka, orang ramai  berpeluang menyaksikan pameran produk makanan selamat, inovasi dan teknologi berkaitan keselamatan makanan. Pengusaha dan industri makanan yang berminat juga adalah dialu-alukan untuk menyertai ekspo ini yang pertama kali dianjurkan di negara ini.

Oleh Datuk Dr. Ghazali Bin Othman, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka