KUALA LUMPUR - Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) akan mewujudkan muzakarah ekonomi Melayu dalam usaha memperkasakan ekonomi Bumiputera.

Pengerusinya, Tan Sri Dr Rahim Tamby Chik berkata, muzakarah itu akan dianggotai NGO berkaitan ekonomi Bumiputer bagi mencapai sasaran diharapkan.

“Sesetengah NGO ini ada program sendiri dan kadang kala program yang dianjurkan mereka bertindih dengan NGO lain walaupun ia aktiviti yang sama.

“Jadi perlu untuk kita tingkatkan keberkesanan program melalui perbincangan sesama NGO supaya kita dapat laksanakan program bersama” katanya pada sidang media dan majlis berbuka puasa di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengenalpasti beberapa NGO terlibat dan akan mengadakan pertemuan dengan mereka dalam masa terdekat.

“Kami berhasrat mahu menjadikan muzakarah ini satu rangkaian yang boleh mengeluarkan suara Bumiputera sama seperti NGO ekonomi Tionghua.

“Bila dapat duduk semeja, kita akan lebih sepakat uruskan hal Bumiputera dan sampaikan suara kita kepada Perdana Menteri, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.

Dalam pada itu, Rahim berkata, Gabem juga dalam usaha menjalin kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta untuk membuat pemantauan terhadap GLC yang terlibat dengan penyertaan Bumiputera.

“Dengan kerjasama ini, kita akan buat kajian untuk lihat setiap GLC yang dipertanggungjawabkan buat keuntungan supaya suburkan ekonomi masyarakat Bumiputera.

“Memang kita sudah ada saluran rasmi melalui Majlis Ekonomi Bumiputera, tetapi kita perlu pandangan kedua untuk pastikan apa yang berlaku itu benar-benar memanfaatkan ekonomi negara,” katanya.