PAGI kelmarin saya bawa Amir, 10, dan Aliff, 5, ke Aeon Anggun, Rawang. Selepas beli-belah, saya hantar mereka ke tempat permainan. Melihat seronoknya mereka bermain, saya teringat nasib anak-anak sebaya di Gaza.

Ya, anak-anak usia itu, apa tahunya mereka selain keseronokan menikmati kasih sayang, belaian dan perhatian kita yang dewasa.

Tetapi di Gaza, nasib mereka tidak sama. Anak-anak dibunuh tanpa berkira. Kepala yang ubun-ubunnya masih lembut, bersepai dan bertaburan isinya dibom.  Yang masih bernyawa, kaki dan tangannya pula hancur.

Apa yang mampu disuarakan anak-anak yang masih terlalu mentah ini untuk menceritakan azab yang ditanggung?

Bayangkan kalau ini terjadi di tanah air kita... dan yang dibom anak-anak kita. Kalau kita semua tahu sayangkan anak, apa kurang ibu bapa di Gaza?

Tengok pula rumah kita, rumah yang kita dapatkan dengan pengorbanan atas seluruh kehidupan. Siang malam kita bekerja untuk bayar pinjaman. Semua kita lakukan dengan satu tujuan, untuk hidup bahagia dan selamat bersama keluarga.

Pernahkah kita terfikir kalau-kalau suatu hari nanti, datang orang asing halau kita keluar dari rumah yang kita beli atau kita bina dengan begitu bersusah payah?

Mereka ambil alih kesemuanya tanpa sedikit pun rasa berdosa. Tiada siapa dapat kita adu kerana pemerintah juga menyebelahi mereka. Pemerintah merampas tanah sedang konco-konconya merampas rumah kita. Tinggallah kita sehelai sepinggang. Jika membantah, bila-bila masa sahaja raifal di tangan mereka akan meletup dan merobek dada.

Sebak dada saya melihat video seorang wanita tua Palestin yang merayu-rayu ketika rumahnya dirampas sekumpulan anak muda Yahudi kelmarin.

Gaza, hidup rakyatnya terkepung. Bagaimana kalau kita jdipaksa hidup dalam penjara besar seperti mereka? Sedang pandangan saya hanya ke dinding tembok!

Seorang kawan yang pernah ke Gaza bercerita dia dipaksa berlari melalui terowong hanya dalam tempoh beberapa minit tanpa silap. Kalau tersadung, akibatnya mungkin kena bom!

Bagi kita, ini sekadar cerita di Gaza. Dan mereka alaminya bukan seminggu dua, sudah terlalu lama. Sudah terbiasa dan tidak ada yang luar biasa bagi mereka. Tetapi ingatlah, mereka juga manusia, lebih lagi mereka saudara Islam kita.

Mereka juga tahu sakit, terluka dan menderita. Mereka juga ada jiwa, ada rasa dan tahu menangis apabila orang yang mereka sayang, hancur robek tubuhnya ditembak atau dibom. Bagaimana jika kita yang hadapi situasi hiba itu?

Jadi tidak ada bezanya kita dengan mereka. Tidak ada bezanya anak-anak kita dengan anak-anak mereka.

Pada 1998, saya ke Palestin melalui Jordan. Tiba di satu pusat pemeriksaan Imigresen Israel, sewaktu menunggu giliran, datang seorang wanita Palestin sambil menangis bercerita keadaan dirinya, keluarganya dan Palestinnya. Dia datang bercerita begitu sahaja, hanya kerana yakin saya dan kawan-kawan orang Islam.
Ceritanya adalah seperti apa yang sudah kita tahu - rumah dirampas, kampung dirampas, dia dan keluarganya dihalau keluar, ada yang dibunuh. Dia mahu kami dengar ceritanya. Dia mahu kami lihat air matanya. Dia mahu kita tahu bahawa dia dan orang Palestin yang lain, amat memerlukan kita, untuk mendengar dan berkongsi rasa.
Seluruh dunia meminggirkan mereka. Lobi Zionis berjaya mempengaruhi dunia untuk memencilkan Palestin. Malang sekali kalau kita orang Islam juga terpedaya, anggap apa yang berlaku itu sudah takdir bagi mereka, mereka sudah biasa hidup menderita dan tidak ada yang luar biasa lagi bagi mereka. Atas alasan itu, kita pun teruskan hidup seperti tiada apa-apa!
Benarlah seperti apa yang diceritakan, ketika dalam perjalanan ke Baitulmaqdis kemudiannya, kami ditunjuk kawasan banglo penempatan imigran Yahudi yang dibina di atas tanah yang dirampas daripada warga Palestin manakala penduduk asal pula hidup merempat di dalam khemah di tepi jalan bersama kambing mereka.     
Ingatlah, saudara kita di Palestin diburu, dibunuh, disiksa, kerana mereka Islam. Mereka hadapi tekanan kerana mempertahankan Islam. Mempertahankan tanah mereka, yang juga tanah dan maruah kita. ALLAH sudah menjanjikan bahawa si pemburu tidak akan berhenti selagi mereka tidak menyerah dan andai mereka menyerah, bererti maruah kita sendiri juga turut musnah!
Pembulian Zionis melampaui batas kemanusiaan. Bukan sahaja orang Palestin malah semua manusia yang bukan Yahudi, bagi mereka bukan manusia tetapi 'goyem' atau binatang. Sebab itulah mereka membunuh sesedap rasa tanpa berkira.
Hari ini hari mereka, entah esok lusa hari kita. Kerana itu, dalam bersyukur, kita mesti berwaspada. Dalam bersyukur, jangan lupa untuk bersimpati dan membantu mereka yang menderita.