BARU-BARU ini, sebuah blog yang dikenali sebagai Bangkit telah mendedahkan kononnya penulis terlibat sama dalam merangka tiga rang undang-undang yang dipersembahkan oleh Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (NUCC) untuk konsultasi umum.

Tiga rang undang-undang ini yang dikenali sebagai rang undang-undang Jenayah Kebencian Kaum dan Agama (JKKA), Harmoni dan Rekonsiliasi dan Suruhanjaya Harmoni dan Rekonsiliasi bertujuan menggantikan Akta Hasutan.
Seperti telah penulis kupas sebelum ini, Akta Hasutan adalah suatu peninggalan kolonial Inggeris yang sudah lapuk dan wajar dimansuhkan. Akta Hasutan sering disalahgunakan oleh pihak kerajaan, juga terdapat kritikan bahawa terdapatnya pendakwaan terpilih oleh pihak Peguam Negara.

'Pendedahan' ini sebenarnya suatu pendedahan sia-sia kerana penulis tidak pernah menafikan atau menyorok peranan penulis dalam membantu Jawatankuasa Undang-Undang dan Dasar NUCC dalam merangka rang undang-undang (RUU) tersebut.

Malahan, penulis telah pun mendedahkannya dalam Twitter awal-awal lagi.

Namun demikian, penulis terpanggil untuk menulis rencana ini bagi memberi penjelasan yang lebih mendalam tentang salah satu RUU yang dirangka, iaitu RUU Jenayah Kebencian Kaum dan Agama.

Walaupun ketiga-tiga RUU dirangka untuk menggantikan Akta Hasutan, RUU JKKA ini adalah RUU yang secara khusus memansuhkan Akta Hasutan.

RUU JKKA ini mewujudkan 4 jenis kesalahan.

Kesalahan pertama adalah kesalahan mendatangkan perasaan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana Raja. Sesiapa yang dengan sengaja melakukan perbuatan sedemikian boleh disabitkan dengan kesalahan tersebut.

Kesalahan kedua dan ketiga adalah kesalahan melakukan perbuatan yang bertujuan untuk mengugut, menghasut atau menghasut orang lain untuk mengugut kecederaan atau kerosakan fizikal terhadap seseorang atau harta benda, atas dasar kaum atau agama.

Kesalahan terakhir adalah kesalahan melakukan perbuatan berdasarkan kaum atau agama, dengan tujuan untuk mengenakan atau menyebabkan kecederaan fizikal terhadap orang lain atau harta benda, atau mengetahui bahawa dengan berbuat demikian ia akan mendatangkan kecederaan tersebut.

Apa beza RUU JKKA dengan Akta Hasutan?

Perbezaan yang paling ketara adalah RUU JKKA juga telah meletakkan julat untuk pendakwaan jauh lebih tinggi daripada apa yang ada pada Akta Hasutan.

Kesalahan-kesalahan yang terkandung dalam RUU JKKA mempunyai elemen niat iaitu orang yang melakukan perbuatan-perbuatan yang dijenayahkan harus berniat untuk melakukannya.

Tidak seperti Akta Hasutan, di mana seseorang itu tidak perlu mempunyai niat untuk menghasut tetapi masih boleh didapati bersalah. Malahan, perbuatan itu tidak perlu menghasut, hanya mempunyai kecenderungan menghasut sudah mencukupi.

Dengan RUU JKKA, ia jauh lebih sukar untuk mendakwa seseorang berbanding dengan Akta Hasutan.

Ini bertujuan memastikan terdapat imbangan yang baik di antara kebebasan bersuara dan menjenayahkan apa yang dikenal pasti sebagai ucapan kebencian (hate speech). RUU JKKA sendiri memperuntukkan bahawa kesalahan-kesalahan tidak sama sekali melarang atau menyekat perbincangan atau kritikan terhadap mana-mana kaum atau agama.

Di samping itu RUU JKKA ini tidak lagi menjenayahkan perbuatan ‘menghasut’ terhadap mana-mana kerajaan seperti yang terkandung dalam Akta Hasutan.

RUU JKKA merupakan suatu RUU yang belum dimuktamadkan lagi. Proses konsultasi sedang dijalankan, dan kesemua maklum balas yang diterima akan dipertimbangkan untuk memperkukuhkan lagi RUU ini.

Yang paling penting, kita harus faham bahawa undang-undang bukan jawapan bagi semua permasalahan. Keharmonian tidak boleh timbul hanya dengan menggubal undang-undang. Undang-undang adalah langkah terakhir dan bukannya langkah mukadimah dalam mencipta satu masyarakat yang harmoni dan menerima satu sama lain.

*Penulis ialah seorang peguam muda