Masyarakat Cina Muslim lebih rapat untuk berdakwah kepada kepada Cina bukan Islam - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Masyarakat Cina Muslim lebih rapat untuk berdakwah kepada kepada Cina bukan Islam

IPOH, 18 Julai – Masyarakat Cina Muslim berupaya memainkan peranan memberi gambaran yang tepat kepada masyarakat Cina bukan Islam di Malaysia terhadap intipati sebenar ajaran Islam, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah anggota Persatuan Cina Muslim Malaysia, yang boleh berbahasa Cina dan lebih rapat hubungan budaya dan sosial dengan masyarakat itu, boleh menjadi jambatan komunikasi untuk mengurangkan jurang salah faham di kalangan komuniti Cina Malaysia terhadap Islam.

“Salah faham agama boleh membawa kepada salah tafsiran, berpotensi mencetuskan konflik, juga perselisihan,” titah baginda pada Majlis Perasmian Masjid Muhammadiah (Masjid Cina) di sini, hari ini.

Baginda bertitah konflik dan perselisihan yang dibiarkan berlarutan berpotensi merebak hingga berkemungkinan mencetuskan suasana berkrisis dan konfrontasi.

Konflik, perselisihan, krisis dan konfrontasi antara agama, jika dibiarkan berlarutan berpotensi menjadi faktor yang boleh menjejaskan keharmonian, keamanan, ketenteraman serta kestabilan masyarakat dalam sesebuah negara, titah baginda.

“Untuk itu ia tidak boleh dibenarkan berlaku, malah tidak harus dicetuskan oleh mana-mana pihak, dan jika berlaku, amat wajib dihentikan  segera,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah Islam menerima dan mengizinkan kepelbagaian budaya dan bahasa yang diamalkan pelbagai kaum di negara ini.

“Perkembangannya tidak boleh disekat, tidak harus dihalang, selagi ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.  Oleh itu, persepsi ummah terhadap Islam jangan disempitkan,” titah baginda.

Baginda bertitah setiap kaum mempunyai nilai budaya dan mereka dibenarkan menyambut peristiwa penting serta menganjurkan sambutan hari kebesaran Islam bersandarkan amalan budaya masing-masing asalkan ia tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

“Dakwah Islam akan lebih mudah diterima, pengajaran Islam akan lebih diberikan apresiasi, jika dilakukan melalui perantaraan bahasa serta kaedah  budaya yang dapat difahami oleh kaum masing-masing. Islam adalah agama untuk seluruh ummah,” titah baginda. – BERNAMA

0 Komentar untuk " Masyarakat Cina Muslim lebih rapat untuk berdakwah kepada kepada Cina bukan Islam "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ