Agenda merosakkan identiti Islam Negara bukan perkara baru - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agenda merosakkan identiti Islam Negara bukan perkara baru

Isu Malaysia sebagai sebuah negara Islam mula hangat diperkatakan semula. Yang pasti perdebatan mengenainya seperti tiada penghujung. Walhal, sebagai sebuah negara yang telah meletakkan Islam di kedudukan tertinggi seharusnya tidak ada mana-mana pihak lagi yang mempertikaikan tentang status negara Malaysia. Bahkan, secara logiknya, kedudukan itu sudah pun mengesahkan dan memperakui Malaysia sebagai sebuah negara Islam sekalipun mempunyai penduduk dari kalangan pelbagai bangsa dan agama.
Peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia Perkara 3 (1) sendiri dengan jelas memberikan kedudukan yang istimewa kepada Islam. Peruntukan Agama Islam ialah agama bagi Persekutuan, maka Malaysia boleh diperkenalkan sebagai negara Islam.
Begitu juga dengan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 3-4 Februari 1986 telah mengambil keputusan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam. Ini berikutan setelah mengambil kira berbagai pandangan, hujah dan keadaan yang wujud di Malaysia, serta akibat buruk dari penolakan Malaysia sebagai negara Islam.
Sekaligus ia memberi makna dengan jelas dan menolak anggapan bahawa kononnya Malaysia negara sekular kerana ciri-ciri sekularisme yang bermatlamatkan keduniaan semata-mata sebagaimana yang kita difahami. Dalam masa yang sama, maksud sekular itu juga telah dengan sengaja dipolemikkan sehingga masyarakat kita terjerat dengan pelbagai tafsiran. Yang pasti, istilah sekular itu sendiri tidak wujud dalam falsafah dan pengurusan pentadbiran negara, apatah lagi dalam pegangan hidup rakyat Malaysia yang beragama Islam.
Namun begitu apa yang dikesalkan, masih terdapat suara-suara pihak yang mempertikai hakikat tersebut. Ini terbukti apabila DAP dan parti bukan Islam yang lain seperti MCA dan Gerakan secara konsisten menyatakan pendirian mereka untuk menegakkan negara sekular, menentang pelaksanaan negara Islam dan undang-undang berdasarkan syariah.
Misalnya pendirian parti DAP tidak pernah berubah sejak sekian lama malah secara terang-terangan sehingga hari ini masih lagi menunjukkan sikap penentangan mereka terhadap sebarang usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam.
Hakikat mereka untuk menjadikan Malaysia ini sebagai negara sekular sudah lama berlaku dan ianya bukan suatu perkara baru. Buktinya, pada 20 Mei 1992, DAP pernah mengeluarkan Deklarasi Cameron Highlands bagi memberi amaran kepada Pas untuk menggugurkan hasrat menubuhkan negara Islam. Begitu juga ketika mana DAP pernah menolak Dokumen Negara Islam yang dilancarkan Pas 11 tahun lalu. Penasihat DAP Lim Kit Siang ketika itu membantah dokumen tersebut kerana dianggapnya tidak demokratik dan melanggar hak asasi rakyat bukan Islam dan semangat kontrak sosial, Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Rukun Negara 1970 serta Manifesto bersama pembangkang 1999.
Manakala pada tahun 2000, Lim Kit Siang dalam satu teks ucapannya bertajuk “Islam dan Demokrasi” menyatakan bahawa DAP akan berusaha ke saat akhir demi mencapai matlamat keadilan, kebebasan, demokrasi dan pentadbiran baik sementara mempertahan sistem sekular Malaysia yang berdasarkan nilai-nilai bersama dalam agama di Malaysia.
Bahkan pemimpin veteran parti itu, Mendiang Karpal Singh sentiasa mengulangi perkara yang sama tanpa segan silu, katanya ‘sekalipun agama rasmi Malaysia ialah Islam tetapi tidak bermakna ia sebuah negara Islam, dan pelaksanaan hukum syariah tidak akan dilaksanakan’.
Nyata, polemik ini masih berlarutan. Baru-baru ini pemimpin DAP yang merupakan Ahli Dewan Negara, Senator T.Chandra Mohan a/l S. Thambirajah sekali lagi memperkuatkan pendirian mereka bahawa Malaysia adalah negara sekular sekaligus tidak sesuai dengan perlaksanaan undang-undang Islam. Kenyataan itu adalah untuk menafikan ketegasan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom bahawa Malaysia bukan negara sekular.
Rentetan itu, baru-baru ini kita pula dikejutkan dengan satu pendedahan berkaitan tuntutan Malayan Christian Council oleh seorang blogger, Helen Ang. Ditemui beberapa helaian kertas sulit yang dibuka untuk rujukan umum yang diperolehi dari Pejabat Rekod Awam di Kew, London. Ianya menyatakan bahawa  Malayan Christian Council telah mengemukakan permintaan kepada Suruhanjaya Reid yang merangka Perlembagaan Persekutuan supaya Malaya dijadikan sebuah negara sekular, supaya Islam tidak diletakkan sebagai agama persekutuan dan supaya orang Melayu diberikan kebebasan beragama dan dasar-dasar menyekat kegiatan dakwah Kristian diketepikan.
Ini membayangkan perkembangan semasa dan perdebatan mengenai Malaysia negara Islam atau sekular ini adalah rentetan daripada tuntutan-tuntutan yang dibuat gereja pada tahun 1956 kepada British, kini sedang dihidupkan kembali dan itu menjadi agenda berterusan penjajah yang telah mengganas di Tanah Melayu.
Jadi ianya sekaligus membuktikan bahawa usaha pihak bukan Islam untuk menafikan negara ini sebagai negara Islam sudah lama berlaku itulah perjuangan dan agenda yang dituntut oleh mereka sehingga hari ini. 

Siti Fatimah Ishak
Wartawan ISMAweb
0 Komentar untuk " Agenda merosakkan identiti Islam Negara bukan perkara baru "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ