PUTRAJAYA, 3 Julai – Rakyat di negara ini dinasihati memahami makna sebenar jihad serta mengambil kira pandangan pihak berwajib sebelum bertindak menyertai peperangan di negara luar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata ini bagi memastikan mereka memperoleh maklumat yang lebih jelas sebelum membuat keputusan dan memilih pihak yang mahu disokong.
“Sebelum buat keputusan memihak kepada mana-mana pihak yang berada dalam kancah peperangan, ambil kira pandangan pihak-pihak berwajib terutama pihak pejabat mufti, Kementerian Luar dan sebagainya supaya kita dapat maklumat yang lebih jelas tentang kedudukan itu,” katanya mengulas penglibatan rakyat negara ini dalam peperangan di Syria.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Mufti Wilayah Persekutuan dan Anggota Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Bagi Sesi 2013-2016, di sini semalam.
Jamil Khir juga berpandangan pejuang di Syria sendiri tidak mengharapkan rakyat negara ini membantu dengan menyertai peperangan sebaliknya lebih memerlukan bantuan dari segi kemanusiaan seperti makanan, pakaian dan ubat-ubatan.
Sementara itu Mufti Wilayah Persekutuan yang baharu Dr Zulkifli Mohamad berkata misi kemanusiaan jauh lebih baik daripada berjihad dengan menyertai peperangan, lebih-lebih lagi apabila puak yang benar tidak dapat ditentukan.
Kitab-kitab tulisan ilmuan Islam yang menyentuh mengenai jihad termasuk oleh Yusuf al-Qaradawi juga wajar diteliti bagi memahami konsep jihad dengan lebih baik, katanya.
Merupakan lulusan Universiti Madinah, Zulkifli, 45, memulakan tugasnya sejak 17 Jun lalu bagi tempoh dua tahun, menggantikan Datuk Wan Zahidi Wan Teh yang tamat tempoh perkhidmatan.
Jamil Khir berkata pelantikan itu diharap dapat meneruskan pelaksanaan tugas dan kecemerlangan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam menerajui agama di Wilayah Persekutuan.
“Saya berkeyakinan tinggi dengan ilmu dan kemampuan Zulkifli akan dapat lagi membantu menyemarakkan aktiviti keagamaan di Wilayah Persekutuan,” katanya.
Mengulas mengenai Jawatankuasa Fatwa Negeri Terengganu yang memutuskan kenyataan bekas aktivis politik dan sosial Kassim Ahmad pada satu seminar Februari lalu sebagai pemikiran yang kufur dan murtad, Jamil Khir berkata itu keputusan di peringkat negeri.
“Bagi negeri-negeri lain terpulang kepada mereka untuk buat keputusan berdasarkan perbincangan dan fatwa masing-masing,” katanya. — Bernama
0 Komentar untuk " Fahami konsep jihad dan dapatkan maklumat daripada pihak berwajib – Jamil Khir "