APABILA beberapa pegawai Jais dikatakan menceroboh majlis perkahwinan Hindu baru-baru ini, beberapa Islamis membela tindakan Jais dengan alasan ia menepati undang-undang negara. Pengantin perempuan India yang ber-kad pengenalan Islam yang ingin berkahwin dengan jejaka Hindu dalam majlis itu seolah-olah patut 'dibawa lari' dari majlis perkahwinannya. Saya bukan hendak menilai tindakan Jais tetapi ingin menarik perhatian kepada kata kunci di sini: Undang-undang.

Timbul persoalan: Mengapa undang-undang yang sama tidak menjaga maslahat pengantin perempuan India itu sejak dia masih budak lagi? Mengapa tidak menghukum ayahnya yang memeluk Islam, hilang diri dan gagal mendidik anaknya tentang Islam?

Sejauh mana kebenaran frasa: undang-undang menjaga maslahat umat? Dari segi undang-undang, pengantin perempuan itu sudah didaftarkan sebagai seorang Muslimah sejak bayi lagi tetapi realiti  keIslamannya bagaimana? Mengapa kita hanya bertindak atas perspektif undang-undang dan tidak mengambil kira realiti di luar sana dahulu supaya maruah Islam tidak difitnah sebagai agama penceroboh?  Mayat mualaf direbut, yang hidup tak disambut.

Prof Madya perundangan, Shamrahayu, telah berhujah bahawa Malaysia bukan negara sekular kerana tiada perkataan sekular dalam perlembagaan. Sekali lagi, kata kuncinya perlembagaan.  Kalau Malaysia bukan negara sekular, ia negara apa? Apa makna negara? Sekadar sebuah entiti perundangan? Hakikatnya ialah para pengamal riba dan para artis Muslim/Muslimah bukan mahram yang berpelukan di kaca tv masih selamat berada di zon undang-undang yang dikatakan tidak sekular ini!

Kursus nikah diwajibkan oleh undang-undang untuk menjaga kebahagiaan rumah tangga. Tetapi hakikatnya ialah Jakim melaporkan perceraian berlaku setiap 10 minit!
Bila Islamis melaungkan hudud, mengapa fokus pada syariat, bukan pada hakikat pembangunan insan seperti pendidikan? Prof Madya Datuk Muhammad Ali Hassan telah memberi amaran baru-baru ini, bahawa jurang antara pelajar miskin dan kaya dalam pendidikan semakin besar kerana guru-guru dibebani birokrasi pentadbiran sehingga tiada masa yang cukup untuk mengajar. Dalam erti kata lain, guru-guru begitu sibuk menyelamatkan diri mereka dari dihukum undang-undang birokrasi sehingga tidak berkesempatan untuk mengajar pelajar-pelajar yang lemah dan tidak mampu ke tuisyen!

Wacana perundangan dalam kalangan Islamis digantikan dengan wacana hak-hak asasi dalam wacana liberalis yang dikatakan lebih bersifat kemanusiaan, bukan perundangan. Walaupun undang-undang mengharamkan Syiah, liberalis berhujah bahawa adalah menjadi hak asasi seorang manusia untuk menganut sebarang agama dan mazhab tanpa paksaan. Hakikatnya ialah kalau seorang liberalis murtad dari mazhab liberalisme dan menentang Syiah, sudah tentu bekas liberalis ini akan dihukum sebagai ekstremis! Kalau liberalis memonopoli kuasa politik, pasti mereka akan menggubal perlembagaan untuk menghukum anti-Syiah seperti anti-semitik dengan penjara. Hak-hak asasi liberalis sebenarnya juga adalah bersifat perundangan dalam penjenamaan yang berbeza.

Demi menjaga hak rakyat dalam wacana liberalis, semua orang patut diberi kebebasan oleh perlembagaan untuk memilih orientasi seksualitinya sama ada heteroseksual atau homoseksual.  Hakikatnya ialah rakyat yang setia menjaga keturunan mereka akan berasa hak mereka akan dicerobohi bila anak-anak mereka diberi kebebasan untuk memilih homoseksualiti. Ini akan menceroboh hak  kemanusiaan mendapat cucu, hak kesinambungan keturunan mereka! Bahkan, hak penganut Islam menjadi perdana menteri juga akan terhakis jika populasi umat semakin berkurangan. Liberalis gagal menjaga hak asasi kemanusiaan golongan rakyat terbesar ini!

Kesimpulannya, sejauh manakah wacana perundangan Islamis dan Liberalis mampu menangani hakikat masyarakat di Malaysia? Bak kata kitab klasik Cina, Dao De Jing:

“Pimpinlah negara dengan adil. Semakin ramai orang pandai menipu dan berkomplot, semakin banyak peristiwa ganjil akan berlaku. Semakin banyak undang-undang diperkenalkan, semakin ramai pencuri dan penyamun muncul.”