KEHALALAN dan kebersihan menjadi teras utama pengeluar produk makanan bumiputera Islam demi memberi keyakinan kepada pengguna terhadap produk yang dibeli.

Pengarah Urusan Syarikat Faiza Sdn Bhd, Faiza Bawumi Sayed Ahmad berkata, sebagai salah satu syarikat bumiputera Islam, memang menjadi tanggungjawab pihaknya memastikan segala produk dijamin halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menurutnya, pengguna Islam punyai banyak pilihan ketika membeli produk terutamanya makanan dari pengeluar bumiputera Islam yang mempamerkan logo halal oleh Jakim daripada membeli produk pihak sebaliknya.

“Pilihlah barang buatan orang Islam di mana setiap kandungan produk juga telah mendapat kebenaran oleh Jakim dalam memastikan ia bersih, halal dan selamat untuk dimakan.

“Contohnya produk bihun kami, semua proses akan dinilai mengikut jadual oleh pihak Jakim demi memastikan cara kerja dan proses pembuatan memenuhi garis panduan ditetapkan,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kewajaran pengguna Islam untuk memilih produk keluaran bumiputera yang dijamin halal daripada memilih produk keluaran pihak lain.

Mengulas mengenai gambar digunakan pada pembungkusan produk yang ada antaranya menggunakan imej berciri Islam pula katanya, pengguna sebenarnya harus bijak dalam setiap pembelian.

"Ini kerana sedikit ketelitian akan memastikan keyakinan ke atas sesuatu produk,” katanya.

Selain daripada bihun jenama Faiza, terdapat lagi beberapa jenama bumiputera yang boleh dipilih oleh pengguna antaranya Jasmin, Safi, HPA, Sufi dan Beras Era.