Tragis! Ulama’ Melayu sahaja yang enggan perjuangkan bangsanya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tragis! Ulama’ Melayu sahaja yang enggan perjuangkan bangsanya




Satu-satunya bangsa yang para alim ulama’nya tidak mengambil berat, malu alah dan enggan memperjuangkan kepentingan kaumnya adalah ulama’ Melayu di Malaysia. Kalau ada pun hanya segelintir yang faham tentang fiqh ini tetapi enggan menyatakan pendirian dan tidak yakin boleh melawan arus kuat yang menolak perjuangan bangsa untuk Islam ini.
Rata-rata ulama’ atau para asatizah di sini bertanggapan bahawa memperjuangkan bangsanya adalah sifat ‘asobiah’ atau ‘qaumiah’ yang ditegah Islam. Ulama’ Islam bangsa-bangsa lain tidak pula faham sedemikian. Di Mesir, Libya, Palestin, Jordan, Indonesia malah di Selatan Thai yang pernah saya berbincang dengan mereka tidak berfahaman sedemikian.
Mengapa pula mereka yang di Malaysia faham sebaliknya? Adakah kefahaman ulama’ Melayu di Malaysia lebih hebat berbanding dari tempat lain? Apakah rujukan mereka? Atau ulama’ Malaysia yang mahu berlebih-lebih dalam perkara yang tak disuruh atau mereka sendiri yang salah tafsir perkara ini? Sesetengah mereka itu belajar di universiti-universiti di Mesir, Jordan, Yaman dan lain-lain. Saya terpaksa bahasakan mereka ini sebagai ulama’ ‘terlanjur baik’ dengan maksud tersalah baik.
Sebenarnya tidak ada satu pun dalil atau nas yang qat’ie (jelas) melarang sesiapa memperjuangkan atau mempertahankan kepentingan bangsanya. Yang dilarang adalah sekiranya wujud sifat ‘kekitaan’ atau ‘asobiah’ atau ‘sense of belonging’ yang melampau dan menzalimi kaum lain. Apatah lagi di dalam konteks bangsa Melayu yang beragama Islam di buminya sendiri dan ia sudah dianggap bangsa Islam  seperti mana bangsa Arab dan bangsa Turki. Tambahan, negara ini termasuk Sabah dan Sarawak adalah warisan bangsa Melayu dan diperintah secara Islam sehinggalah datang penceroboh-penceroboh asing.   Maka memperjuangkan kepentingan Melayu bermakna memperjuang kepentingan umat Islam sekaligus memenuhi maqasid syarak dan objektif berpolitik dalam Islam.
Begitu ramai ulama’ termasuk mereka yang diangkat oleh pengikut-pengikut mereka sebagai ulama’ atau Tuan-tuan Guru sudah ‘terlanjur’ yang amat merugikan kedudukan umat Islam khususnya orang Melayu apabila berpegang kefahaman sedemikian. Pada zaman pemuda dahulu, saya juga berfahaman demikian. Barangkali tanpa disedari, kefahaman ini timbul dari salah faham memahami penulisan tokoh-tokoh seperti Abul A’la Al-Maududi dan juga Sayyid Qutb. Tokoh-tokoh itu sendiri tidak menolak  kepentingan bangsa. Tambahan, bangsa itu rata-ratanya beragama Islam dan menjadi tonggak kekuatan Islam di realiti setempat mereka. Ulama’ terlanjur baik ini tidak pula merujuk kepada tokoh besar  sosiologi dan siasah Islam lampau seperti Ibnu Khaldun yang secara jelas mengiktiraf kepentingan kaum pendokong kuasa politik Islam.     
Salah faham ini tragis dan amat merugikan hingga nasib bangsa Melayu makin terancam dan kekuatan politik Islam yang ada pada bangsa Melayu menjadi terhakis. Salah faham ini juga membuat ahli politik dan pengikut-pengikut mereka berpecah-belah dan sukar dapat bersatu atau sekurang-kurangnya bersepakat untuk mempertahankan kaum bangsa ini. Pengikut ulama’ yang minda tertutup serta orang-orang Melayu yang lain terus sepi dan tidak merasa bertanggungjawab untuk pertahankan saki-baki hak mereka yang tinggal sedikit di bumi mereka sendiri.
Aduhai! Malang sungguh nasib bangsa Melayu yang pernah tersohor di dunia dan begitu banyak berjasa mendokong Islam suatu masa dahulu. Sudah jatuh ditimpa tangga. Bilakah agaknya ulama’ terutama ulama’ politik partisan itu akan membuka minda dan sedar akan kesilapan mereka? Atau terus mendokong politik perbalahan sesama umat Islam sehingga nasi sudah menjadi bubur, kuasa sudah tergadai baru mereka mahu sedar daripada kesilapan? Tragis dulu, apabila kerajaan Islam Melayu Melaka jatuh akibat permusuhan dalaman, kaum Melayu menanggung derita melarat kehinaan  sehingga lebih 500 tahun. Ketika itu tangisan darah tidak berguna lagi. Kesannya kita tanggung sehingga hari ini. 
Kini tragis lagi!
Abdul Rahman Mt Dali
Naib Presiden ISMA
http://www.ismaweb.net/2014/06/tragis-ulama-melayu-sahaja-yang-enggan-perjuangkan-bangsanya/
0 Komentar untuk " Tragis! Ulama’ Melayu sahaja yang enggan perjuangkan bangsanya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ