TABUNG Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) menyasarkan lebih banyak usahawan teknologi dapat dilahirkan melalui penyaluran dana sebanyak RM500 juta tahun ini untuk usahawan memulakan perniagaan.

Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Rahim Hassan berkata setakat ini, separuh daripada dana itu sudah diagihkan kepada hampir 15,000 usahawan.

Tekun menyalurkan pinjaman kepada 293,000 usahawan dalam pelbagai bidang.

Bercakap kepada media selepas menandatangani perjanjian persefahaman dengan Technology Park Malaysia (TPM) Sdn Bhd semalam, beliau berkata, walaupun tiada jumlah khas diperuntukkan, keutamaan akan diberikan kepada usahawan teknologi.

Melalui perjanjian yang ditandatangani itu, lebih ramai usahawan teknologi akan dapat dibentuk dan dibimbing di bawah seliaan TPM yang akan menjadi pusat rujukan penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti pengkomersilan produk sedia pasaran.

Beliau berkata, 80 peratus daripada usahawan yang menerima skim pinjaman Tekun terlibat dalam sektor perkhidmatan dan runcit manakala 20 peratus dari sektor pertanian dan teknologi.

 Menyentuh kadar bayaran balik pinjaman perniagaan Tekun, Hassan berkata, kadar kejayaan dan bayaran balik pinjaman adalah 80 peratus manakala 20 peratus merupakan perniagaan yang masih belum berkembang dan memerlukan lebih banyak masa.

Diwujudkan pada 1998, Tekun menerima peruntukan RM1.9 bilion daripada kerajaan, dan daripada bayaran balik pinjaman, sejumlah RM1.3 bilion berjaya disalurkan semula kepada usahawan. - Bernama