KECUNDANGNYA pasukan bola sepak England merupakan sebuah tragedi yang menyayat hati kerana England yang pernah menjuarai Piala Dunia begitu mudah ditendang keluar dalam pusingan pertama.

Apakah sebabnya? Jutaan peminat England mencari mangsa untuk dihukum. Salah siapa? Peminat yang menilai, mengadili dan menghukum ini sememangnya berasa sedih tetapi sedih sebagai penonton di kedai kopi sahaja yang tidak pernah turun ke padang bola secara aktif untuk melatih.

Dalam masa seminggu, tragedi bola ini akan dilupakan. Penonton-penonton di kedai kopi ini pula akan beralih ke tragedi-tragedi lain dan akan terus menonton dan menilai di kedai kopi.

Baru-baru ini, kita melihat seorang remaja OKU bernama Firdaus telah dibiarkan tidak terurus sehingga seolah-olah menjadi “mayat hidup” di dalam rumahnya sendiri.

Wardina, seorang artis dan juga aktivis sosial, lantang mengkritik birokrasi kerajaan yang gagal menyediakan peruntukan sewajarnya kepada golongan OKU.

Jika dibandingkan di Britain, keluarga OKU diberi gaji yang secukupnya oleh badan-badan kebajikan untuk menjaga anaknya sehingga ibu kepada OKU tidak perlu bekerja selain menjaga anaknya.

Tetapi siapakah dalang yang sebenarnya? Kita perlu tanya diri kita kembali, “adakah budaya kita hanya sekadar menjadi penonton tragedi Firdaus sahaja sebagaimana kita menonton kecundangan pasukan bola sepak England?

Seramai manakah artis seperti Wardina yang turun padang untuk mengubah budaya?”

Firdaus tidak berupaya untuk membantu dirinya. Sekurang-kurangnya, kita berupaya untuk bersimpati melihat penderitaan Firdaus. “Kejamnya!” Kita berteriak seolah-olah kita menjerit “Gol!” apabila pemain bola berjaya menjaringkan gol. Sebelum kisah ini terjadi, kita berteriak “kejamnya!” apabila mendapati seorang gadis di Kelantan dirogol oleh sekumpulan lelaki.

Walaupun kita mempunyai anggota badan yang sempurna, kita hanya mampu menonton dan berteriak. Tidak lebih dari itu. Siapa yang sebenarnya OKU? Firdaus yang tidak berupaya berjalan sendiri atau kita yang berupaya melompat, menari dan berkungfu tetapi hanya sekadar menonton dan rasa sebak di kedai kopi?

“Xifu, jangan suruh saya berdakwah sekarang kerana saya tidak berupaya lagi. Saya bukan ustaz. Saya tak hafal ayat-ayat al-Quran,” kata seorang sahabat kepada saya.

Saya jawab, “Adakah dakwah itu bermakna sekadar suruh orang masuk Islam? Memperjuangkan kebajikan manusia bukan dakwah? Kamu dikurniakan akal dan anggota badan yang kuat dan kamu kata bahawa kamu tidak berupaya untuk berdakwah? Siapa yang sebenarnya OKU! Seorang sahabat Nabi yang buta sekalipun mampu mengibarkan bendera Islam semasa perang!”

Sekumpulan pelajar Malaysia (bukan Melayu) yang cerdik Matematik yang telah mempelajari bahasa Malaysia sejak sekolah rendah lagi masih tidak berupaya untuk membuat sebaris ayat dalam Bahasa Malaysia tanpa kesalahan tatabahasa yang asas. Dan sekarang mereka bakal mengikuti program ijazah. Siapa yang sebenarnya OKU?

Seorang suami yang tidak bekerja menyimpan kad ATM isterinya yang bekerja. Dia cukup kuat untuk mendera isterinya walaupun semua perbelanjaan ditanggung oleh isteri. Siapa yang sebenarnya OKU?

Seorang jutawan berkata kepada saya dalam nada marah, “Kamu tak patut cabar hak istimewa kami. Malaysia milik kami.” Saya jelaskan kepadanya, “Saya tak cabar hak istimewa Bumiputera.

Saya cuma hairan mengapa seorang jutawan seperti kamu masih lagi layak menggunakan alasan hak istimewa untuk mendapat projek berjuta-juta seolah-olah kamu selama-lamanya OKU yang tidak akan berupaya berdiri tanpa tongkat!”

Persoalannya, kalau OKU diberi peluang untuk mendapat rawatan supaya dapat berdiri dan berdikari tanpa tongkat, sudah tentu mereka akan berlumba-lumba mendapatkan rawatan ini. Tetapi jutawan ini dan yang sepertinya tidak mahu langsung berjalan tanpa tongkat.

Saya masih tertanya-tanya, “Siapakah yang sebenarnya OKU?”

Saya tertarik dengan falsafah Dr Yamin Cheng yang berpendapat bahawa dakwah bukan sekadar menyampaikan Islam tetapi mengajar insan untuk menjadi insan atau untuk menjadi ‘ren’ (perkataan Cina). Ramai OKU berjaya menjadi ren tetapi pada hakikatnya, ramai yang bukan OKU menjadi OKU kerana gagal menjadi ren.

* Abdul Naser Abdul Rahman ialah tokoh pendakwah  Perak.