Buat presiden ISMA
Assalamualaikum w.b.t
Tempoh negara kita merdeka telah pun hampir mencapai usia 57 tahun. Ada yang menganggap tempoh ini masih muda dan ada yang merasakan usia ini telah pun mencapai tempoh matang. Apa pun anggapan kita terhadap tempoh usia ini, bagi saya perjuangan kita dalam agenda bangsa dan agama masih belum cukup matang dan kuat. Kita dibesarkan dengan perjuangan yang hanya berlandaskan parti tanpa sebarang agenda yang jelas.
Buat presiden ISMA, saya meletakkan anda sebagai seorang JAGUH yang berani untuk membangkitkan kaum ini yang masih lena dibuai mimpi yang indah. Tanpa perlu menjaga hati sesiapa, anda tampil menyuarakan kesedaran tentang dimana sebenarnya kedudukan melayu dan Islam di bumi tercinta ini. Saya mengharapkan semua orang melayu akan terus menyokong setiap kenyataan yang anda bongkarkan. Malangnya, terdapat juga di kalangan kita yang menolak agenda yang cuba anda perjuangkan. Saya mengambil pendekatan positif, mungkin mereka menyokong tindakan ini dalam senyap kerana ingin menjaga hati sahabat-sahabat mereka yang lain.
Buat tuan presiden ISMA, saya merasakan ramai antara pemimpin hari ini yang sebenarnya ingin menyuarakan perkara yang sama seperti yang telah anda lakukan. Tetapi hanya kerana mereka tidak berani atau kata lainnya saya sifatkan sebagai pengecut dan tidak mahu kehilangan undi maka mereka lebih berminat untuk hanya diam tanpa sebarang kata dan menjadi pemerhati. Apabila mereka disergah, mereka akan mula berundur dan membiarkan hak melayu dan Islam dicabar.
Biarpun sudah tidak ada seorang pun di tanah air yang tercinta ini untuk bersama anda dalam perjuangan ini, saya rela untuk korbankan segalanya untuk terus bersama anda demi melihat hasil dari pengorbanan dan perjuangan yang berliku ini. Saya percaya sekiranya anda terus dengan pendirian ini, maka InsyaAllah kemenangan akan berpihak pada kita. Kerana tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu. Semoga Allah SWT akan sentiasa memudahkan perjalanan anda. Aminnn.
-NafidzRazak-
#SayaSokongPres
#SayaSokongPres
0 Komentar untuk " Saya sokong Presiden ISMA! "