Peranan imam bimbing masyarakat Islam di Sabah - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Peranan imam bimbing masyarakat Islam di Sabah



SEMPORNA, 22 Jun – Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyarankan semua imam di negeri ini agar sentiasa kreatif dan meneroka pelbagai ilmu bagi membimbing dan memberi tunjuk ajar kepada masyarakat Islam di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, sikap suka mempelajari pelbagai ilmu itu sangat penting sesuai dengan cabaran semasa khususnya untuk menarik golongan muda mendekati dan mendalami ilmu agama.
Usaha seperti ini amat penting kerana sejak kebelakangan ini, terdapat laporan berhubung kealpaan masyarakat Islam di negeri ini terutamanya tindakan golongan muda yang tidak mengikut tuntutan sebenar ajaran sebenar Islam, katanya.
“Selaku pemimpin agama kita perlu mengingatkan serta membimbing umat Islam di kawasan masing-masing. Jangan kita biarkan mereka hanyut. Kita perlu tegur mereka melalui Khutbah Jumaat atau ceramah agama.
“Kita perlu mengubah masyarakat yang lupa dengan agama Islam, kita perlu membawa gelombang untuk menyedarkan mereka yang alpa…kita harus berikan tunjuk ajar agar mereka kembali mengikut tuntutan sebenar agama Islam,” katanya pada majlis perjumpaan bersama Imam, Bilal dan Pemimpin Masyarakat, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Anggota Parlimen Semporna berkata, para imam berkenaan juga perlu melaksanakan tugas dan bertanggungjawab mengenai bidang agama dan social setempat dalam menyebarkan ajaran agama serta memenuhi khidmat kepada masyarakat setempat.
“Imam yang ideal akan sentiasa kreatif dan tahu bagaimana mendekati dan menyelesaikan hal-hal keagamaan di kawasan kariah mereka,” tambah Mohd Shafie.
Katanya, selain itu imam bukan sahaja memainkan peranan penting dalam mengetuai solat fardu berjemaah tetapi juga pelbagai masalah agama seperti kematian, akikah, kenduri, nikah dan kahwin.
“Oleh itu mereka perlu meneroka pelbagai ilmu dan kemahiran sesuai dengan cabaran semasa khususnya untuk menarik golongan muda mendekati dan mendalami ilmu agama,” katanya. – BERNAMA
0 Komentar untuk " Peranan imam bimbing masyarakat Islam di Sabah "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ