KAJANG, 19 Jun – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kajang Puan Norhazani Hamzah selepas pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Beliau dituduh di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 atas kesalahan menyebut perkataan menghasut dengan membuat kenyataan bahawa menyifatkan kedatangan pendatang Cina ke Tanah Melayu bersama penjajah British suatu ketika dahulu adalah satu bentuk pencerobohan dan menyebut bahawa orang Cina datang ke negara ini bersama penjajah British sebagai penceroboh.
Beliau juga dituduh kerana menyebut ‘Siapa yang bagi mereka hak kerakyatan dan kekayaan sehingga hasil pencerobohan mereka dilindungi sampai hari ini?’ dan ‘Itu semua perbuatan British yang bersekongkol dengan Cina menindas dan membuli orang Melayu’.
Jika sabit kesalahan, beliau akan didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara tidak melebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup dan Ustaz Abdullah diwakili Peguam Haezreena Begum Abdul Hamid.
Hakim kemudiannya menetapkan 18 Julai sebagai tarikh perbicaraan.
Ustaz Abdullah telah diikat jamin sebanyak lima ribu ringgit oleh seorang penjamin.
Lebih 50 orang penyokong Ustaz Abdullah yang terdiri daripada pimpinan dan ahli ISMA hadir ke mahkamah. Turut hadir ialah pimpinan NGO-NGO Islam.
0 Komentar untuk " Presiden ISMA mengaku tidak bersalah "