PERISTIWA Hijrah al Rasul suatu titik tolak penting dalam sejarah Islam. Ia adalah perintah ALLAH dan pertimbangan Rasulullah SAW mengatur strategi bijaksana supaya akhirnya Islam diterima di jazirah Arab dan seluruh umat manusia.

Peristiwa Rasulullah SAW dicederakan di Taif tidak membuatkan Baginda berputus asas dan tidak pula mendoakan kebinasaan kepada golongan Jahiliyah. Rasulullah SAW berjiwa besar kerana peribadinya adalah siddiq, amanah, tabligh, fatanah.

Siddiq bermakna Baginda membawa risalah kebenaran mengenai aqidah tauhid. Jahiliyyah adalah golongan yang syirik dan mengembalikan mereka kepada Tuhan Yang Esa adalah suatu amanah. Amanah itu disempurnakan dengan tabligh atau dakwah yang bijaksana. Fatanah atau bijaksana merupakan jalur wasatiyyah dimiliki Baginda.

Jiwa kehambaan yang tinggi dimiliki Rasulullah SAW menyebabkan Baginda akur dengan perintah ALLAH untuk melakukan hijrah. Hijrah adalah pendekatan strategik mengambil pertimbangan ALLAH (hablum minallah) dan manfaat manusia (hablum minannas) sebagai jalan perjuangan.

Strategi manusiawi adalah mengaturkan tempat tidur Rasullullah SAW digantikan dengan Saidina Ali, pemuda Islam yang tangkas dan berani dan teman ke Gua Thur diiringi Saidina Abu Bakar As Siddiq, yang cintakan kebenaran.

Pemilihan dua sahabat Nabi ini amat strategik kerana melakukan hijrah adalah suatu kerja besar dan memerlukan pengorbanan bersama orang yang dipercayai.

Mengapa persembunyian awal di Gua Thur Selatan Makkah tidak di lokasi utara mengarah ke Madinah adalah suatu pertimbangan strategik. Penglibatan Abdallah dan Asma anak Saidina Abu Bakar pembekal makanan dan rahsia musuh amat membantu.

Tindakan labah-labah membuat sarang di permukaan gua adalah ketentuan ALLAH dan menyebabkan musuh yang memburunya terkeliru. Ia adalah campur tangan dan pertolongan ALLAH.

Hijrah yang mengambil pertimbangan ALLAH (ihsan) dan mengambil pertimbangan manusia (insan) adalah asas yang sangat penting dijadikan landasan berfikir strategik.
Jaminan ALLAH ini jelas terungkap dalam al Quran: “Pihak kafir terus melakukan tipu daya dan ALLAH akan mengatasi tipu daya mereka”.

Rasulullah SAW sewaktu bergerak ke Madinah menggunakan seorang jurupandu bukan Islam. Apabila dikejar oleh Surakah bin Malek, kuda Surakah terbenam di pasir dan menyebabkan Rasulullah SAW terlepas daripada ancaman musuh. Sekali lagi ketentuan ALLAH membantu Hijrah al Rasul yang amat bermakna itu.

Setibanya di Madinah, Rasulullah SAW membina masjid. Ia amat penting sebagai pusat ibadah dan mempertautkan hati-hati Muhajirin dan Ansar akhirnya. Inilah strategi wasatiyyah yang cemerlang kerana penerimaan golongan Ansar terhadap Rasulullah SAW adalah petanda baik bagi perjuangan Islam itu sendiri.

Di Madinah, Rasulullah SAW membuat perjanjian dengan kelompok Yahudi dan Nasrani. Sahifah Madinah yang dimeterai adalah suatu tahalluf (kerjasama) penting di mana orang Islam menjadi dominan. Apabila kaum Yahudi ingkar, Rasulullah SAW mengusir mereka. Mematuhi muafakat adalah prinsip, melakukan khianat dihadapi dengan ketegasan. Itulah sebenarnya prinsip perjuangan Islam.

Apabila Rasulullah SAW bersedia melakukan Futhul Makkah (kembali semula ke Makkah) rombongannya terhenti di Hudaibiyyah. Di Hudaibiyah, Baginda didatangi kelompok Jahiliyah supaya menangguhkan kepergian Baginda pada tahun hadapan.

Rasulullah SAW yang bijaksana bersetuju dengan permintaan itu walaupun dibantahi Saidina Omar. Pertama, golongan Jahiliyyah sudah mengiktiraf akan Rasulullah SAW. Melakukan Futhul Makkah tahun berikutnya membolehkan Rasulullah dan rombongannya menjejaki bumi Makkah yang amat bermakna bagi perjuangannya.

Ternyata strategi Rasulullah SAW berhasil. Inilah pendekatan wasatiyyah, berhemah dan berimbang, melakukan pendekatan undur setapak untuk meraih pendekatan maju ke hadapan lima tapak lagi.

Peristiwa Futhul Makkah itu adalah suatu lembaran penting kerana penerimaan masyarakat Makkah terhadap kedatangan Rasulullah SAW memberi kesan positif terhadap perkembangan Islam di jazirah Arab.

Banyak perkara dipelajari daripada peristiwa Hijrah al Rasul ini. Pertama, hijrah kerana ALLAH akan sentiasa dilindungi dan dibantu ALLAH. Kedua, strategi manusiawi yang titik tolaknya kerana ALLAH (ikhlas) akan membawa barakah yang tinggi.

Ketiga memperjuangkan yang haq atau benar menuntut kesabaran yang tinggi (watawa saubil haq, watawa saubissabr). Inilah jalan wasatiyyah yang akhirnya membawa kepada kemenangan.