SEJAK akhir-akhir ini begitu banyak perdebatan di media sosial berkenaan dengan hukum-hakam agama. Kebanyakan perbahasan yang diperhatikan penulis berkisar seputar isu ranting atau cabang agama.
Malangnya perbezaan tersebut tidak ditangani secara bijaksana, adab dan penuh terhormat. Sebaliknya, cercaan, makian dan tuduhan menjadi fenomena lumrah, bagaikan membudaya dalam diri apabila sesuatu pendapat itu tidak seiring dengan pendiriannya.
Hakikat harus difahami, perselisihan atau bahasa Arabnya disebut khilaf terutamanya dalam isu fikah adalah suatu yang bersifat tabii, malahan tidak terpisah daripada isu ijtihadi.
Dimaksudkan ijtihad sebagaimana takrifan Al-Shirazi dalam kitabnya Al-Luma’ ialah “mengerahkan segala keupayaan dan menyerahkan segala daya upaya dalam mendapatkan hukum syarak”.
Ijtihad dalam perbahasan hukum fikah amat relevan terutamanya dalam kes yang memerlukan keputusan hukum dan tidak kedapatan nas yang jelas daripada al-Quran dan As-sunnah. Contoh dalam isu terkini melibatkan perbahasan mengenai istihalah iaitu suatu keadaan yang merubah sifat sesuatu bahan kepada bahan yang lain.
Ulama tersohor Sheikh Wahbah al-Zuhayli dalam kitabnya al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut istihalah adalah “proses perubahan sesuatu benda yang najis (`aynnajasah) kepada sesuatu yang suci sama ada secara tabie atau melalui perantaraan.”
Beliau membawa contoh: “perubahan darah kijang menjadi kasturi, arak yang berubah menjadi cuka dengan secara tabie atau perantaraan sesuatu (yang mempercepatkan proses pemeraman), bangkai binatang atau anjing yang menjadi garam kerana jatuh dalam garam, atau tahi yang menjadi abu kerana dibakar, lelemak najis yang dijadikan sabun, tanah parit (yang mengalirkan benda najis) yang telah kering dan hilang kesan najisnya, atau najis yang ditanam di dalam tanah dan telah hilang kesan najisnya setelah beberapa lama.” (Wahbah al-Zuhayli, 1997: 1:100).
Apabila berhadapan isu baru seperti istihalah yang diperdebatkan kini, ulama fikah daripada empat mazhab utama berijtihad dan cuba menangani pelbagai permasalahan berbangkit lantaran tiada nas yang jelas mengenainya.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang hakim berijtihad kemudian dia tepat dalam ijtihadnya, maka dia mendapat dua pahala. Dan jika dia berijtihad kemudian dia silap dalam ijtihadnya, maka dia mendapat satu pahala”. (Shahih Muslim)
Adalah mustahil memastikan semua imam dan ulam mazhab bersepakat dalam hal tiada kejelasan hukum berpandukan nas syariat. Bahkan Nabi Muhammad SAW tidak menyekat sebarang perbezaan pandangan dalam kalangan sahabatnya.
Ibn Hazm menyatakan: “Adalah suatu yang mustahil untuk mereka kesemuanya bersepakat ke atas mewajibkan satu-satu hukum dengan pandangan mereka, kerana wujud perselisihan dakwaan dan perbezaan mazhab antara mereka”.
Khalifah Umar bin Abdul Aziz menyebutkan: “Aku tidak suka kalau sahabat-sahabat Nabi SAW tidak berselisih pendapat. Kerana jika hanya terdapat satu pendapat sahaja, nescaya manusia berada dalam kesempitan”.
Sebab itulah Nabi Muhammad SAW meraikan perbezaan pandangan dalam kalangan sahabatnya sebagaimana kisah pertanyaan Baginda SAW kepada dua sahabat besar iaitu Abu Bakar RA dan Umar RA mengenai bilakah waktu mereka menunaikan solat witir. Bertanya Nabi SAW kepada Abu Bakar, “Bilakah kamu melakukan solat witir?”
Jawab Abu Bakar, “Aku berwitir pada permulaan malam”. Baginda bertanya Umar, “Bilakah kamu melakukan solat witir?” Jawab Umar, “Di akhir malam”. Baginda berkata kepada Abu Bakar, “Orang ini mengambil langkah berjaga-jaga”. Dan Baginda SAW berkata kepada Umar, “Orang ini mengambil langkah yang kuat teguh”. (Sunan Abi Daud)
Sesungguhnya perbezaan pandangan terutamanya dalam isu khilafiyyah dan ijtihadiyyah adalah suatu rahmat ALLAH bagi memberi keluasan kepada umat dalam menjalani kehidupan duniawi.
Raikan kepelbagaian pendapat yang wujud dan bukannya terjerumus dalam perlakuan mencerca, mengutuk mahupun melabel seseorang yang tidak bersependapat dengan kita. Dosa tohmah, fitnah dan makian jauh lebih besar berbanding dengan perbezaan ijtihad yang masih belum kepastian antara betul dan salah.
Tiba masanya dilakukan penjernihan sikap terhadap budaya perbezaan pendapat yang ada. Nilai kasih sayang, saling menghormati, toleransi, berlapang dada mesti dipasakkan dalam diri setiap individu agar mampu mengurus perselisihan yang melanda.
0 Komentar untuk " Raikan perbezaan jauhi cercaan "