PEMERGIAN Haji Ismael baru-baru ini benar-benar meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa saya.

Dia bapa saudara saya, tetapi barangkali kerana umur kami tidak lari jauh dan antara kami ada 'chemistry', perhubungan kami sangat akrab dari kecil lagi.

Kami rakan sepermainan, sahabat untuk berkongsi pandangan dan tempat mencurah perasaan. Seingat saya, dari kanak-kanak hingga ke penghujung usianya, kami tidak pernah bermasam muka.

Cuma saya sendiri pernah terasa 'kecil' kerana setiap kali dia balik dari Labis, Johor, tempat dia menjadi inspektor kawasan pada pertengahan 70-an, dia pandu kereta baharu dan belanja saya dan kawan-kawan makan minum di kedai. Saya tidak mampu beraksi semewah itu.

Masa kanak-kanak, saya kerap ke rumahnya di Sungai Bakap; sama-sama balik menggigil kesejukan kerana mandi air terjun di bukit, atau ikut bapanya menjual barang-barang dapur di pasar.

Jika dapat izin dan sedikit duit, kami sanggup tahan gigitan pijat untuk tonton filem Hindi, Tamil atau Cina di panggung lama, tidak sampai 20 langkah dari situ.

Di rumah, kami kait manggis (dan jual seringgit bagi setiap 100 biji kepada orang kampung) atau bersila bawah rumah dan makan cempedak dari kebun ayahnya. Ada sekali, kami kantoi apabila ditangkap nenek ketika curi-curi hisap cerutnya di bawah tangga.

Kalau Ismael datang ke rumah saya di Pulau Pinang, kami 'lupa daratan'; pusing hampir seluruh Pulau Pinang, bergambar dengan beruk di taman bunga, atau main kejar-kejar sepanjang pantai Padang Kota atau menikmati keindahan alam dari puncak Bukit Bendera.

Selepas berumah tangga, kami tidak lagi kerap bertemu; masing-masing sibuk dengan keluarga, kerjaya dan kegiatan.

Hampir tidak sedar masa berlalu; tiba-tiba dia sudah meninggalkan pasukan polis selepas memiliki ijazah di bidang undang-undang dan menjadi peguam.

Satu perkara yang saya ingat, dia sangat mengambil berat hal keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan. Tiada kenduri, biar sejauh mana pun diadakan, yang dia dengan anggota keluarga tidak muncul, jika diundang.

Apabila kereta saya melanggar tiang lampu dan terbalik di Yong Peng, Johor, ketika saya dan keluarga dalam perjalanan ke rumah kakak di Johor Bahru pada 1977, Allahyarhamlah yang menguruskan penghantaran kereta ke bengkel 'ketuk bodi' dan yang cedera ke hospital.

Ada secebis kata-katanya yang saya jadikan pegangan dalam hidup. Ketika menziarahinya di Institut Jantung Negara awal tahun lalu, kami berbual mengenai kesihatan.

Katanya, antara lain; "ALLAH bagi kesihatan dan banyak nikmat pada kita berpuluh-puluh tahun, kita tak kata apa pun. Bila Dia bagi kita sakit sikit, kenapa kita perlu komplen!".

Di wad Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, 10 hari sebelum pemergiannya, Ismael buat saya dan saudara-mara lain ketawa dengan gelagat lucunya.

Tubuhnya kurus dan lemah, suaranya hampir tidak kedengaran, tetapi apabila saya membisikkan ingin beli cendol untuknya, tiba-tiba ibu jarinya terpacak tanda setuju.

Saya pusing hampir separuh Alor Setar petang itu untuk mencari cendol untuknya. Dia minum beberapa sudu sahaja, tapi itu sudah cukup buat saya rasa puas.

Saya terfikir. Sebagai peguam, entah berapa ramai orang susah Ismael sudah bantu. Sebagai pegawai polis, entah banyak mana jenayah yang diperanginya dengan jayanya. Dia tidak pernah menceritakan apa-apa. Hanya ALLAH yang tahu dan moga ALLAH juga mencucuri rahmat ke atas rohnya. Amin.

Ismael mendahului saya bertemu Penciptanya, membawa bersama segala bekalan amalan baiknya, ganjaran hasil segala amal jariah semasa hidupnya, di samping empat anak yang pastinya akan terus mendoakan untuknya.

Ketika jasadnya disemadikan, saya duduk merukuk di pinggir pusara, memikirkan nasib sendiri.

Bila pula giliran saya?

Dan apabila sampai masa saya dipanggil, apakah bekalan yang mampu saya bentangkan di hadapan ALLAH nanti?

Hati saya bergetar mengingati apa yang selalu diperdengarkan: "Rebutlah lima perkara sebelum tiba lima perkara; sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sempit dan hidup sebelum mati".

Mati itu satu kepastian!

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/nak-bentang-apa-depan-allah-1.279829