ISLAM adalah agama risalah. Misi tauhid dalam proses nubuwwah atau kenabian disantuni dengan dakwah. Dakwah dan tarbiah pada lazimnya berjalan seiring. Dakwah memberi cetusan kepada hati dan fikir supaya perubahan ke arah fitrah terjadi.

Melakukan dakwah dan tarbiyyah memerlukan cara. Al-Quran memberikan asas dustur atau pedoman seperti yang terungkap dalam Surah An Nahl: 125. “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah, tampilkan contoh teladan yang baik dan bila berhujah gunakan hujah yang terbaik”

Pedoman dakwah memberi asas keseimbangan. Ia tidak saja menghubungkan dakwah dengan bijaksana (hikmah) sebagai cara tetapi juga dengan contoh watak yang baik sebagai sumber teladan dan ikutan.

Dakwah juga melibatkan pemikiran dan hujah. Madu’ atau sasaran perlu diyakinkan dengan hujah. Hujah-hujah yang terbaik boleh membawa kesedaran dan keinsafan.

Manusia tidak tiba-tiba lahir dalam keadaan tahu. Manusia perlu diberikan ilmu dan dididik supaya menjadi faham dan akhirnya menerima makna yang membawa perubahan ke arah diri, tindakan dan amalan.

Dakwah dan tarbiah yang betul amat dituntut supaya manusia disantuni dengan penuh kebijaksanaan kerana dakwah tidak sekadar silat lidah tetapi juga silat hati. Ia tidak saja berbicara mengenai hal-hal yang tampak tetapi juga hal-hal yang ghaib.

Meyakinkan madu’ atau sasaran mengenai hal-hal yang tampak, boleh dilihat dan dipegang tidaklah payah tetapi menghubungkan yang tampak dengan hal-hal ghaib tidaklah mudah.

Ia menuntut penjelasan apa yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis supaya timbul kesedaran, keinsafan dan keyakinan mengenai ALLAH dan kebesaranNya iaitu hasil ciptaanNya yang terkandung rahmat dan nikmat.

Kehidupan yang serba kompleks kini memerlukan dakwah yang lebih berwibawa. Pada diri pendakwah itu wujud sifat kasih sayang yang tinggi, kesabaran yang kuat dan rasa belas kasihan yang melimpah. Rasulullah SAW memperlihatkan watak itu, berjiwa besar, memiliki darjah kesabaran yang tinggi dan yakin bahawa asbab memberikan cetusan kesedaran dan keinsafan ialah tugas kita para dai’ dan murabbi. Memberi hidayah adalah kerja ALLAH.

Rasa kebencian, dendam kesumat bukanlah bahasa dakwah dan tarbiah. Para dai’ harus berjiwa besar, mengambil pendekatan berimbang (wasat) supaya antara keazaman untuk mencetuskan perubahan dan cara fikrah disampaikan menuntut kebijaksanaan.

Dakwah dan tarbiah harus sifatnya merangkumi. Sekadar mempunyai ilmu tidak memadai tetapi cara ilmu itu disampaikan sangat penting. Yang amat diharapkan dalam usaha dakwah ialah keberkesanan.

Dakwah bil lisan tidak memadai. Dakwah bil hal amat dituntut. Islam adalah agama yang indah. Keindahan Islam terlihat pada watak, peribadi dan sahsiah yang dimiliki.

Watak yang penyayang, sabar dan tidak putus asa adalah ciri dai’ yang diperlukan. Peribadi contoh yang dimiliki boleh dijadikan sumber ikutan oleh mad’u. Sahsiah mithali menjadi sumber ikutan dan teladanan.

Sikap gopoh, melakukan label-label, sangka buruk terhadap orang lain bukanlah pekerti seorang dai’ dan murabbi.

Tidak ada jalan pintas dalam melakukan dakwah. Ia menuntut istiqamah yang tinggi, upaya merancang yang teliti. Strategi dan maslahah yang bijaksana dan selalu memberi harapan dan keyakinan bahawa perubahan boleh berlaku kepada sesiapa yang ALLAH kehendaki.

Para dai’ dan murabbi tidak bersifat memusuhi. Senyum dan kata-katanya memikat. Nasihat yang diberi tidak pernah hilang pertimbangan. Mereka tidak menjadikan permusuhan sebagai jalan terbaik. Strategi memenangi hati, meyakinkan pemikiran adalah menjadi fokus.

Mereka mengamalkan pendekatan “cakap serupa bikin”. Fikrah dan amali berjalan seiring. Para dai’ dan murabbi tidak bersifat riak dan sombong. Kepayahan yang dihadapi dalam usaha dakwah dan tarbiah sering diikuti dengan rasa syukur dan tawakal yang tinggi.

Inilah kunci kekesanan dakwah dan tarbiah kepada orang lain kerana orang lain umumnya tidak tahu. Menjadikan mereka tahu dan akhirnya berpengetahuan tidaklah mudah.

Para dai’ dan murabbi harus mempunyai ilmu dan kemahiran dalam mendekati sasaran. Kalau dakwahnya ditolak, tidak harus wujud rasa putus asa. Kelemahan harus dihubungkan kepada diri. Membaiki diri, pendekatan dan cara adalah jalan bijaksana supaya akhirnya sasaran berubah dengan izin ALLAH.

http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/wasatiyyah-dalam-berdakwah-1.280283