LEMBAGA Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyasarkan untuk mewujudkan 100 pasar nelayan seluruh negara menjelang hujung tahun ini sebagai sebahagian usaha jihad memerangi orang tengah dalam sektor perikanan.

Pengerusinya Datuk Irmohizam Ibrahim, berkata, setakat ini terdapat 50 pasar nelayan seluruh negara dan tambahan 50 lagi menjelang tahun ini di lokasi berhampiran kawasan pendaratan ikan.

“Menerusi usaha ini nelayan dapat menjual ikan terus kepada orang ramai tanpa perlu melalui orang tengah, sekali gus meningkatkan pendapatan nelayan.

“Selain itu, saya juga difahamkan kini lebih ramai peserta daripada Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) dan nelayan individu menjadi peserta di 290 daripada 500 Pasar Tani di seluruh negara,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut beliau, menerusi program yang diatur, pengguna turut mendapat manfaat dengan membeli ikan lebih segar pada harga lebih murah sehingga 30 peratus berbanding harga di pasaran.

Menurut Irmohizam, walaupun harga ikan di pasaran kini semakin stabil, LKIM akan sentiasa memastikan bekalan ikan mencukupi terutama menjelang musim perayaan akan datang.

Setakat ini, terdapat 23 pusat pengumpulan dan pengedaran ikan basah di bawah seliaan LKIM dan sembilan lagi dikendalikan Nekmat.

Menurutnya, bilangan itu akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memastikan stok bekalan ikan basah mencukupi.

“Nekmat juga berusaha meningkatkan bekalan ikan basah daripada 50 juta tan setahun kepada lebih 100 juta tan setahun,” katanya.

Beliau yang turut turun padang meninjau maklum balas terhadap program jihad memerangi orang tengah dalam sektor perikanan di beberapa kawasan di Sabah baru-baru ini mendapat maklum balas positif daripada nelayan.

“Mereka (nelayan) faham dan menyambut baik usaha yang dilakukan terutama dalam membantu memerangi orang tengah,” katanya yang bakal melakukan tinjauan sama di Sarawak pada 21 dan 22 Mei ini.

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/lkim-mahu-wujudkan-100-pasar-nelayan-1.277294