AKTA Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (IFSA) yang diperkenal tahun lepas, mampu mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab kewangan Islam global, dengan negara ini sudah menerbitkan dua pertiga daripada sukuk dunia.
  
Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu) berkata akta berkenaan yang berkuat kuasa pada 30 Jun tahun lepas, akan menyediakan kelengkapan teras bagi tadbir urus dan mengikut prinsip Syariah untuk industri kewangan Islam di Malaysia.
  
"Untuk itu, IFSA akan berperanan sebagai premis undang-undang bagi pembangunan rangka kerja pengawalseliaan berasaskan kontrak yang menggambarkan perincian khusus pelbagai jenis kontrak berprinsip Syariah," katanya dalam Laporan Tahunan 2013 Program Transformasi Ekonomi yang dikeluarkan hari ini .
  
Kata Pemandu akta ini akan menyokong penyampaian pelbagai cadangan nilai kewangan Islam dengan memastikan penggunaan berkesan kontrak Islam dalam menawarkan produk dan perkhidmatan kewangan Islam, merangkumi kaedah-kaedah pemindahan dan perkongsian risiko.
  
Katanya Malaysia juga akan meneruskan laluan pertumbuhan sektor kewangan Islam dengan menumpukan fokus kepada tiga bidang penting - kepakaran, tadbir urus dan amalan Syariah, serta rangka kerja undang-undang dan pengawalseliaan.
 
Menurut Laporan Sukuk Global 2013 yang dikeluarkan oleh KFH Research Ltd, Malaysia kekal sebagai peneraju global dalam penerbitan sukuk, mewakili 67.8 peratus, atau RM132.1 bilion bon Islam baharu yang diterbitkan secara global dalam setengah tahun pertama 2013.
 
Kata Pemandu dengan tahap kecairan yang tinggi dalam pasaran sukuk Malaysia pada 2013, penerbit asing semakin berminat untuk memanfaatkan sektor domestik ini.
  
Katanya Bursa Malaysia meraih kedudukan sebagai bursa teratas dalam penyenaraian sukuk yang berjumlah RM102 bilion sehingga Ogos tahun lalu.
  
Antara penyenaraian utama tahun lepas ialah syarikat gadai janji nasional, Cagamas Bhd, berjumlah RM3.8 bilion iaitu penawaran sukuk komoditi Murabahah terbesar bagi 2013.
  
Penyenaraian lain ialah sukuk Syarikat Prasarana Negara Bhd berjumlah RM1 bilion untuk membiayai pengembangan rangkaian pengangkutan awam negara.
  
Mengenai transformasi Institusi Kewangan Pembangunan (DFI), Pemandu berkata beberapa inisiatif dan garis panduan berhemat yang diperkenalkan mengukuhkan lagi keupayaan dan kemampuan DFI telah meningkatkan jumlah pembiayaan tertunggak DFI.
  
Katanya dalam lapan bulan pertama tahun lepas, jumlah pembiayaan tertunggak DFI meningkat 8.5 peratus kepada RM117 bilion berbanding tempoh sama tahun 2012.
  
"Pencapaian tersebut adalah hasil pembiayaan yang lebih tinggi yang diberikan untuk kredit penggunaan, sektor maritim dan industri berorientasikan eksport," katanya.
 
Katanya kredit penggunaan sebahagian besarnya disalurkan oleh Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) dan Bank Simpanan Nasional, yang mencatat pertumbuhan pinjaman 11 peratus kepada RM60.8 bilion pada akhir Ogos 2013. 

Di samping itu, pembiayaan sektor perkhidmatan perniagaan berkembang kepada RM3.6 bilion, berbanding RM3.2 bilion sehingga akhir tahun 2012, terutama kerana pembiayaan yang lebih tinggi yang diberikan kepada koperasi.
  
Pada tempoh sama, katanya     pinjaman kepada sektor maritim kembali pulih dan meningkat 11.4 peratus kepada RM2.4 bilion, disalurkan terutama untuk pembinaan kapal tentera laut.
  
Kata Pemandu pembiayaan kepada industri berorientasikan eksport turut menunjukkan pertumbuhan yang kukuh pada 18.2 peratus, berjumlah RM5.4 bilion pada akhir Ogos 2013 walaupun dalam keadaan persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.
  
Katanya jumlah pinjaman perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang disalurkan oleh DFI tumbuh 6.8 peratus kepada RM13.1 bilion pada akhir Ogos 2013.   

Menurut Pemandu jumlah deposit yang diterima dan pinjaman daripada Kerajaan kekal sebagai sumber utama pembiayaan bagi DFI, mewakili 70.5 peratus daripada jumlah keseluruhan.
  
Sementara itu, Pemandu berkata untuk mempercepat dan mengekalkan industri pengurusan aset penting, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memperuntukkan dana untuk pengurus dana luaran sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian dan untuk membangunkan industri pengurusan dana di Malaysia.
  
Pada April katanya, KWSP menyalurkan RM57.67 bilion kepada pengurus dana luaran, atau kira-kira 11 peratus daripada aset pelaburan skim KWSP.  

"KWSP mendapati bahawa industri pengurusan dana telah berkembang dari segi saiz dan juga keupayaan, daripada hanya sebilangan kecil pengurus tempatan sebelum ini, kepada pengurus dana hebat yang turut merangkumi pelabur asing hari ini," katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/ifsa-kukuhkan-malaysia-hab-kewangan-islam-global-1.279426