PERNIAGAAN barangan terpakai dikenali sebagai bundle bukan perkara baharu di Malaysia.Ia merujuk kepada aktiviti menjual barangan terpakai atau reject yang dibeli pemborong secara pukal dan dijual kepada pembeli dengan kaedah tawar menawar.

Tetapi sejauh mana perniagaan bundle mampu membantu peniaga tempatan untuk terus bertahan kerana ada yang melihat bundle tiada nilai eksklusif?

Harga cecah ribuan ringgit

Bagi pemilik Sharin’s Bundle, Shahrin Darus, pakaian bundle kini mampu mencecah harga ribuan malahan puluhan ribu ringgit.

“Sambutan barang bundle dahulu dan sekarang tiada beza, hanya situasi yang berubah. Golongan muda kini lebih teruja mencari barang bundle terutama yang dikeluarkan sekitar 20-an hingga 90-an.

“Ini kerana pakaian tersebut ada nilai vintage selain berkualiti dan tahan lama.

“Pakaian bundle bersih kerana ia dicuci dahulu dengan bahan kimia selain mempunyai kualiti terjamin,” katanya.

Sharin yang memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam perniagaan bundle akui industri itu semakin berkembang dan tumbuh bagai cendawan.

Beliau berkata, kebanyakan pembeli bundle tergolong daripada penggemar barangan sukan dan kumpulan muzik.

“Baju, kasut, tali pinggang antara barang paling digemari orang muda yang mengumpulnya sebagai koleksi,” katanya.

Barang bundle bagai harta karun

Menurut Shahrin, barangan bundle boleh diibaratkan seperti harta karun dalam kalangan peniaga kerana ada antara barangan yang dijual mampu memberi keuntungan berganda.

"Tetapi ada juga barangan yang diterima daripada pembekal tidak boleh dijual dan dipakai. Kami biasanya menggunakan empat istilah dalam barang bundle untuk mengklasifikasikan setiap guni bundle yang diterima, iaitu sampah, ekor, badan dan kepala.

"Sampah ialah pakaian tidak boleh dipakai langsung dan biasanya akan dibuang. Ekor merujuk kepada pakaian yang boleh dijual pada harga RM5 sehelai atau RM10 bagi empat helai pakaian.

"Badan pula merujuk kepada pakaian yang agak baik dan boleh dijual pada harga sekitar RM10 sehelai dan akhir sekali kepala iaitu pakaian berjenama dan masih elok dengan nilai harga ratusan ringgit," kata Shahrin.

Untung tidak menentu

Untung besar atau kecil, segalanya bergantung kepada apa yang dijual kerana barangan bundle tidak sama seperti barang baharu di pasaran.

“Jika barangan vintage atau rare pasti boleh cecah puluhan ribu ringgit.

“Kebiasaannya pendapatan sebulan boleh mencecah ribuan ringgit. Bagi yang berniaga dalam talian atau di pasar malam dan tepi jalan boleh memperoleh sekitar RM4,000 sebulan,” katanya.

Menurut Shahrin, apabila terlibat dengan perniagaan bundle, peniaga perlu bersedia menerima apa jua keadaan.

“Macam saya kadang-kala dalam sehari hanya dapat RM10, ada hari pula dapat untung sehingga RM500 sehari, terpulang kepada rezeki daripada ALLAH.

“Kadang-kala kami juga ditipu pembekal. Guni bundle yang dibeli tidak ada pakaian yang dapat dijual langsung,” katanya.

Katanya, dalam perniagaan bundle, pemilihan lokasi juga penting selain dapat dijalankan di pasar malam, pasar tani, festival jualan bundle ataupun car boot sale (jualan terus dari but kereta).

Shahrin turut menyarankan orang muda yang menganggur atau sedang mencari pekerjaan menceburi perniagaan bundle untuk memperoleh pendapatan.

“Lebih-lebih lagi sekarang zaman sudah maju sudah ada laman sosial yang boleh digunakan sebagai medium jualan.

“Selain itu mereka tidak perlukan kedai, kerana setiap Jumaat dan Sabtu malam mereka boleh datang ke Vintage Night Market di Jalan Raja Bot, bentang kanvas dan jual barangan bundle mereka di situ,” katanya yang merupakan penganjur pasar malam itu.

Menurut Shahrin, Vintage Night Market dibuka setiap Jumaat dan Sabtu bermula jam 10 malam hingga 5 pagi dan peniaga bundle seluruh negara akan berkumpul di situ untuk menjual barangan bundle kepada orang ramai.