TIGA perkara utama tentang perpaduan yang disuarakan para pemimpin akar umbi ialah etnisiti, politik dan governans, dan pendidikan. Manakala bidang yang paling banyak disentuh ialah undang-undang dan dasar.

Ini adalah dapatan daripada 18 siri Dialog Perpaduan yang dijalankan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pada 25 November 2013.

Dialog itu diadakan secara terbuka di 18 daerah di seluruh negara, pada 22 Februari-31 Mac 2014. Ia dihadiri 5,530 peserta.

Dapatan ini disediakan pasukan daripada Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA), dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Ia diketuai Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin. Ia dilaporkan di Mesyuarat Ketiga MKPN, pada 17 Mei lalu, oleh Datuk Dr Denison Jayasooria, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib dan Profesor Dr Mansor Mohd Noor.

Siri dialog perpaduan itu berlangsung dengan suasana aman. Pelbagai perkara sensitif disentuh dan disampaikan dengan rasional. Pandangan disampaikan bersifat terbuka.
Kekuatan Malaysia diperakukan. Kelemahannya dinyatakan dengan jelas, dan cadangan-cadangan bernas dikemukakan.

Berdasarkan laporan itu, secara keseluruhannya, permasalahan yang ditimbulkan adalah terangkum dalam tiga konteks penting, iaitu tingkah laku, struktural dan institusi.

Bagi etnisiti, konteks tingkah laku melibatkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama untuk semua kaum; penggunaan tulisan rumi bagi akhbar Cina dan Tamil; dan tuntutan agar lagu Negaraku dan prinsip Rukun Negara diperkasakan.

Konteks struktural melibatkan pelaksanaan usaha silang budaya bagi pelbagai kaum; penubuhan Muzium Perpaduan; dan mewujudkan anugerah Tokoh Perpaduan dan Integrasi Nasional.

Konteks institusi pula menyentuh agar sistem meritokrasi diamalkan untuk semua aspek kehidupan, termasuk akses pendidikan, peluang melanjutkan pelajaran, pengambilan pekerja sektor awam, ketenteraan, tender perniagaan dan sebagainya.

Bagi politik dan governans, konteks tingkah laku mengingatkan ahli dan parti politik supaya lebih berhati-hati dalam menuturkan perkara menyentuh sensitiviti kaum; dan parti politik tidak boleh menggunakan isu kaum dan agama untuk manipulasi politik mereka.

Konteks struktural mengingatkan parti politik supaya kembali kepada perjuangan perpaduan dan governans baik.

Konteks institusi pula menyatakan yang konsep 1Malaysia perlu penjelasan bagi mengelakkan salah faham kaum; dan media massa perlu dikawal supaya tidak menampilkan suara ekstrem yang boleh menjejaskan perpaduan.

Dan bagi pendidikan, konteks tingkah laku mencadangkan sistem pendidikan satu aliran dan satu bahasa; dan penegasan serta amalan Rukun Negara dan lagu Negaraku di sekolah dan pusat pengajian tinggi.

Konteks struktural mahu agar program integrasi kaum di peringkat pusat pengajian tinggi dijadikan lebih aktif dan efisien; dan industri filem sebagai platform integrasi bagi penghayatan semangat perpaduan.

Konteks institusi pula inginkan mata pelajaran Sivik dan Moral diselaraskan di seluruh negara; dan mata pelajaran Kajian Etnik dan kokurikulum dilaksanakan di peringkat prasekolah.

Manakala bagi bidang undang-undang dan dasar, MKPN punya sebuah jawatankuasa yang berkaitan, iaitu yang dipengerusikan Ahli Parlimen Parit Buntar Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

Ia telah menyediakan deraf awal akta dan mekanisme yang perlu diwujudkan, iaitu, bagi mengisi kekosongan yang bakal berlaku apabila Akta Hasutan 1948 dimansuhkan, iaitu seperti yang telah diumumkan Perdana Menteri pada 2012; di samping beberapa perkara lain, iaitu selaras dengan apa-apa yang disuarakan melalui siri dialog perpaduan tersebut.
MKPN bercadang menghantar laporan awalnya kepada Perdana Menteri pada Julai ini, manakala laporan penuh dijangka siap pada November ini.

# Saifuddin Abdullah (Twitter: @saifuddinabd) ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Gerakan Kesederhanaan Global.