PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa usahawan muda Bumiputera sentiasa peka dan sama-sama membantu kerajaan memperkasakan golongan tersebut dalam bidang keusahawanan.
Menurut Najib, terdapat tiga kategori yang perlu diberi perhatian dalam memperkasakan usahawan muda Bumiputera iaitu pertama dari segi soal kepimpinan di mana usahawan muda mempunyai kepimpinan berwawasan, berkesan dan berakhlak serta bermoral.
“Kedua, melalui penguasaan ilmu dan kemahiran kerana tanpanya tidak mungkin kita akan berjaya.
“Manakala kategori ketiga pula adalah golongan muda tidak boleh bergantung untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor kerajaan sahaja kerana peluang tersebut amat terhad,” katanya ketika berucap di majlis penutup Kongres Usahawan Muda Bumiputera 2014 di Kuala Lumpur, kelmarin.
Najib juga menyarankan usahawan muda supaya berfikir ke depan bahawa mereka mampu menyediakan puluhan mahupun ratusan peluang pekerjaan kepada orang lain apabila menjadi usahawan yang berjaya.
“Kerana itulah saya amat menyokong program kongres usahawan muda yang dianjurkan Pertubuhan Usahawan Generasi Muda Berjaya Malaysia ini.
“Saya juga telah melihat pelan perangkaan yang diperolehi melalui pembentangan usul sepanjang kongres ini sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.
0 Komentar untuk " Tiga kategori perkasa usahawan muda "